Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar hari ini mengumumkan penutupan secara rasmi Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017.
Beliau turut menyeru seluruh penduduk di negara-negara ASEAN menjadikan sukan sebagai wadah perpaduan dalam kalangan mereka.
Perdana Menteri pada masa sama mengumumkan bahawa Sukan SEA ke-30 akan berlangsung di Filipina pada 2019 dan mendoakan negara tersebut berjaya dalam menganjurkan temasya dwitahunan itu.
Serentak perisytiharan, penutupan obor Sukan SEA yang menyala sepanjang pertandingan berlangsung dipadamkan.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sebelum itu, kontinjen atlet Malaysia yang muncul sebagai juara keseluruhan mengetuai kontinjen negara-negara lain berarak masuk ke dalam stadium.
Turut diraikan lebih 20,000 sukarelawan yang membantu menjayakan Sukan SEA dan diperkenalkan dengan nama-nama mereka terpampang pada skrin. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment