Wednesday, August 16, 2017

9 TAHUN MEMERINTAH, KILANG HARAM SALAH BN - GUAN ENG




 

UNTUK kesekian kalinya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengulangi kononnya masalah kilang dan struktur haram di negeri itu tidak boleh diselesaikan kerana diwarisi daripada pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Kononnya jika tindakan diambil oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini, maka penduduk negeri ini akan terkesan dan terjejas kerana dasar ditinggalkan kerajaan BN.


Sekali lagi, Kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil langkah mudah dalam menyelamatkan diri setiap kali terbabit dengan kontroversi iaitu dengan menuding jari dan menyalahkan pihak lain khususnya kerajaan BN.


Apabila penduduk negeri ini membuat pilihan menukar kerajaan BN pada 2008 kepada kerajaan DAP, apa yang diharapkan mereka adalah perubahan dasar yang ko­nonnya lebih baik seperti dijanjikan pembangkang.

Jika benar kilang haram itu sudah wujud ketika era pentadbiran BN, maka menjadi tanggungjawab kerajaan DAP untuk merobohkannya kerana itulah juga yang diha­rapkan penduduk.


Mengekalkan kewujudan kilang haram itu bermakna kerajaan DAP menerima pakai dasar kerajaan BN sebelum ini. Maka, mana perbezaan atau perubahan yang dijanjikan mereka kepada rakyat?


Soal kononnya kerana bertimbang rasa dan mahu mencari penyelesaian terbaik dalam isu kilang haram juga adalah alasan yang sekadar mahu melepaskan diri.


Apakah kerajaan negeri mahu menyatakan selepas sembilan tahun mentadbir, mereka masih gagal mencari jalan penyelesaian menghapuskan kilang-kilang haram ini dan masih perlu menggunakan pendekatan bertimbang rasa?


Jika begitu keadaannya, maka penduduk Pulau Pinang boleh menilai Kerajaan DAP Pulau Pinang tidaklah secekap seperti yang digambarkan mereka.


Lebih malang, meskipun di sebalik pelbagai aduan dan laporan membabitkan risiko keselamatan dan kesihatan penduduk, Kerajaan DAP Pulau Pinang tetap mahu menggunakan pendekatan bertimbang rasa dengan pemilik kilang haram ini.


Dalam soal ini, kebajikan siapa yang sepatutnya menjadi keutamaan untuk dilindungi Kerajaan DAP Pulau Pinang? Penduduk atau pemilik kilang haram?


Agak menarik selepas hampir sembilan tahun mentadbir, Guan Eng akhirnya mendakwa akan bertindak ke atas kilang dan struktur haram ini dan memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak menyalahkan kerajaan negeri selepas ini.


Setakat mana keberanian itu, sama-samalah penduduk Pulau Pinang saksikan kerana mereka sudah menunggu sejak 2008 lagi untuk Kerajaan DAP bertindak.

No comments:

Post a Comment