Thursday, March 23, 2017

NURUL IZZAH TINGGALKAN MEREKA DIKALA KESUSAHAN



MUKADIMAH 


SELEPAS Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, DATUK SERI RAJA NONG CHIK RAJA ZAINAL ABIDIN kalah dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), beliau tetap berkhidmat kepada penduduk Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Meskipun tiada jawatan lagi dalam kerajaan, beliau percaya pengundi dan rakyat di dalam dan luar Lembah Pantai mampu menilai khidmat yang mereka terima daripada wakil rakyat PKR di situ, Nurul Izzah Anwar dalam tempoh dua penggal ini.

Raja Nong Chik ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia ZULK IFLI JALIL di ibu negara semalam yang turut disertai Ketua Penerangan UMNO bahagian itu Datuk Mohamad Sazali Kamilan, menarik perhatian isu-isu yang pernah disensasikan oleh PKR di Lembah Pantai. Ini termasuklah isu hangat membabitkan 34 penduduk Kampung Kerinchi yang ‘berputih mata’ gagal menduduki rumah berharga hampir setengah juta ringgit di Residensi Kerinchi.

Apa sebenarnya berlaku di sebalik cerita 34 penduduk flat empat tingkat Kerinchi yang gagal menduduki rumah baharu di Residensi Kerinchi?


RAJA NONG CHIK: Ini semua berlaku kerana hasutan ahli Parlimen di situ. Dia kata dia tidak hasut mereka tetapi kita (UMNO Bahagian Lembah Pantai) ada bukti jelas melalui video bagaimana dia bawa aktivis pelajar dan sebuah pertubuhan alam sekitar Selangor buat onar di Kampung Kerinchi pada waktu itu. Ini sehinggakan dibawa juga masuk orang Cina dengan berseluar pendek ke dalam surau yang hendak dirobohkan (untuk pembangunan). Kalau dia tidak hasut, 100 peratus mereka tidak akan rugi.

Bukankah sepatutnya 34 penduduk ini ikut jejak lebih 400 penduduk Kampung Kerinchi terima tawaran tinggal di rumah baharu?

Sebenarnya banyak manfaat yang mereka peroleh jika tidak termakan hasutan ini. Antaranya, duit sewa kira-kira RM5,000 pun dibayar untuk berpindah (sewa dibayar oleh pemaju). Apabila berpindah balik (ke rumah baharu) pun mendapat amaun sama. Berpindah pun di kawasan bersebelahan sahaja dekat rumah lama (flat empat tingkat Kerinchi).

Apa yang telah disensasikan pembangkang ketika itu?

Bila projek (Residensi Kerinchi) ini sudah hampir siap, mereka masih tidak puas hati sehingga `ukur ’ kenapa projek itu sudutnya tidak tepat berada di kawasan yang diambil alih. Masa itu menjelang PRU-13, mereka main sentimen kerajaan dan tularkan kononnya BN rampas rumah orang Melayu.
 Baki 34 penduduk ini yang enggan berpindah, kemudian tinggal di PPR. Cuma kita persoalkan mengapa projek yang sama dan usia rumah (lama) yang sama dengan flat empat tingkat Kerinchi yang dimajukan PKNS di Datum Jelatek, Taman Keramat, Kuala Lumpur, kerajaan ­negeri PKR Selangor terus pergi ke mahkamah untuk keluar perintah penduduk supaya berpindah. Penduduk tidak dapat rumah pun, sekadar pampasan sahaja. Itulah yang saya kesalkan terhadap Nurul Izzah Anwar. Lebih pelik lagi, selepas 34 penduduk ini terlepas duduki rumah baharu, boleh pula dia `pusing’ kata Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak layak bercakap atau menyentuh isu 34 penduduk ini. Padahal dialah yang tidak layak bercakap lagi.

Barangkali UMNO Lembah Pantai boleh fikirkan cara untuk bantu 34 penduduk ini?

Ada kalangan mereka yang datang berjumpa dengan wakil saya mohon bantu mereka dapatkan rumah. Saya akan cuba berjumpa dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kalau diingatkan balik, hampir dua tahun projek (Residensi Kerinchi) ini terpaksa ditangguhkan disebabkan jadi kes mahkamah (berikutan projek dibantah).  Apabila mahkamah putuskan mereka mesti berpindah, kita juga yang dapatkan mereka rumah PPR dan bantu lagi mereka berpindah. Waktu itu Nurul Izzah pun tinggalkan mereka.

Kalau dia sayangkan mereka, mengapa tidak cuba dapatkan rumah baharu untuk mereka di Selangor? Saya kasihan mereka, lagipun mereka ini sudah berumur, ada yang tidak sihat dan impian mereka untuk duduki rumah baharu pun tidak kesampaian. Kalau dapatkan rumah baharu ketika ini, ia tentu suatu hadiah berharga untuk anak-anak dan cucu mereka. Itu yang saya sebak dan kesalkan.

Apa nasihat Datuk Seri kepada orang Melayu di Wilayah Persekutuan termasuk di Lembah Pantai?

Pengundi Melayu merangkumi 40 peratus populasi pengundi ­keseluruhan di Wilayah Persekutuan dengan enam daripada 13 kerusi Parlimen ditandingi oleh UMNO.
 Saya akui peluang untuk BN ambil balik kerusi Lembah Pantai agak sengit. Memang sukar bertempur dengan pihak yang pakar mensensasikan isu. Dia pasti bawa isu-isu nasional dalam kempen PRU-14 nanti berbanding isu tempatan yang banyak diselesaikan oleh UMNO. 
 Saya harap pengundi di Lembah Pantai dapat menilai ­perkhidmatan Nurul Izzah dalam dua penggal ini. Baru-baru ini dia turun beri bunga kepada kira-kira 40 wanita di pasar malam di Lembah Pantai. Itu sahajalah khidmatnya yang menguar-uarkan sesuatu yang populis. Padahal isu-isu pasar malam banyak diperjuang dan diselesaikan BN.
 Oleh kerana 40 peratus daripada kira-kira 76,000 pengundi di Lembah Pantai berada di luar kawasan itu, saya seru mereka agar kembali untuk mengundi nanti. Mereka ini antaranya yang pernah bekerja di KTM, Universiti Malaya, Tenaga Nasional Berhad dan RTM.

Juga, telah mendapat manfaat di situ sejak bermastautin di Lembah Pantai. Mungkin kini sudah balik kampung dan meninggalkan rumah-rumah sewa mereka di kawasan ini. Malah, di rumah PPR hanya 51 peratus sahaja yang benar-benar tinggal di Lembah Pantai. Maka, UMNO dan BN Lembah Pantai seru mereka kembali untuk mengundi nanti.
Semasa PRU-13, saya lihat ramai orang Cina yang tinggal di luar Lembah Pantai termasuklah yang memakai plat kereta dari Pulau Pinang hatta Singapura pun balik mengundi di kawasan ini.

Adakah Datuk Seri yakin pengundi Cina boleh kembali kepada BN di Lembah Pantai?

Sukar saya mahu beri jaminan. Saya bagi contoh yang paling baik. Isteri saya seorang Cina (mualaf). Dia datang dari kampung baharu Cina. Sebelum PRU-13, kami buka pusat khidmat di Taman Seri Sentosa, yang majoriti penduduknya kaum Cina tinggal di rumah kos rendah flat empat/lima tingkat. Perkhidmatan yang diberikan terbaik. Pernah Perdana Menteri pun turun ke situ dalam program mengecat blok rumah di situ. Rumah nampak cantik selepas itu. Daripada harga RM50,000 kini boleh dijual lebih RM100,000. Pusat khidmat pun diuruskan oleh orang Cina. Tetapi apabila tiba pilihan raya, BN kalah teruk di situ.



No comments:

Post a Comment