Tuesday, May 24, 2016

KOTA MEKAH "MENJEMPUT" PAK MANSOR



Setelah sekian lama memasang impian ke Mekah dengan mencari barangan terbuang, cita-cita warga emas tersebut tercapai apabila menerima bantuan pelbagai pihak termasuk penderma misteri, semalam.
Mansor Ariffin, 78, atau lebih dikenali Pak Mansor sebelum ini sanggup berjalan sambil menyorong troli mencari barangan terbuang sejauh enam kilometer setiap hari kemudian dikumpul di pondok tidak jauh dari rumahnya.
Menurutnya, dia terharu apabila ada hamba Allah bermurah hati menghulurkan sumbangan bagi membolehkannya menyampaikan hasrat ke Tanah Suci.
“Saya tak tahu apa hendak dikatakan. Cuma saya teringin berjumpa hamba Allah itu yang menyalurkan sumbangan sejumlah wang kepada saya.
“Saya difahamkan, wang dalam TH sudah mencapai RM10,600 dan sudah cukup untuk membolehkan saya menunaikan rukun Islam itu. Sejak kisah saya tersiar dalam akhbar Harian Metro dua bulan lalu, pelbagai pihak datang melawat saya,” katanya sambil mengesat air mata kesyukuran.
Kisah Pak Mansor pernah disiarkan dalam akhbar ini, 18 Mac lalu hingga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk individu dari Kuala Lumpur yang menyumbangkan sebanyak RM3,000 melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Food Not Bombs (FNB).
Dalam laporan itu, Pak Mansor sanggup mengerahkan kudrat mencari rezeki kerana tidak mahu menyusahkan orang lain termasuk anaknya. Isterinya, Aminah Talib, 75, pula lumpuh separuh badan sejak lima tahun lalu dan tinggal bersama anak kedua tidak jauh dari rumahnya.
Walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, wang itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang isteri.
Sementara itu, Presiden FNB Fariz Shaharuzaman berkata, pihaknya menerima sumbangan wang tunai RM3,000 daripada individu di Kuala Lumpur yang enggan dikenali bagi membantu Pak Mansor mencapai hajatnya itu.
“Kami menerima amanah disampaikan kepada Pak Mansor dan sumbangan ini bagi menambah simpanan sedia ada dalam akaun Tabung Haji (TH) milik Pak Mansor. Untuk keselamatan, kami tidak menyerahkan wang secara tunai sebaliknya memasukkan terus dalam akaun TH hari ini (semalam).
“Ketika kunjungan itu, seramai 30 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut hadir dan mereka berhajat mengadakan majlis gotong-royong membersihkan kawasan sekitar rumah Pak Mansor,” katanya.

sumber harian metro

No comments:

Post a Comment