Sebaliknya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menegaskan bahawa harga maksimum rumah di negeri itu ditentukan oleh kerajaan negeri sendiri dan bukannya Kerajaan Persekutuan.


“Tidak benar Kerajaan Persekutuan telah bersetuju harga rumah mampu milik di Pulau Pinang ditetapkan pada RM400,000. Ini adalah keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Ahli Parlimen Bagan (Guan Eng).


“Saya tidak mahu rakyat Pulau Pinang menuduh Kerajaan Pusat sedangkan keputusan meletakkan harga rumah RM400,000 datang­nya daripada kerajaan Pulau Pinang sendiri,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang ­ingin mengetahui takrif harga rumah mampu milik yang berbeza harga di antara negeri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.


Mengulas lanjut, Abdul Rahman memberitahu, Guan Eng membuat penipuan tersebut menerusi satu video bertajuk Housing Cost Determined by Federal Housing Ministry di laman Facebook beliau dan Buletin Mutiara pada 13 Mac lalu yang mendakwa kos rumah mampu milik RM400,000 di Pulau Pinang telah ditentukan oleh kementerian.


“Ini adalah satu penipuan. Dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Negara yang lalu, kita belum buat keputusan harga rumah mampu milik yang diharmonikan.
“Ya, Pulau Pinang kata mahu letak harga RM400,000 tetapi kita tidak pernah setuju. Kita minta mereka pulang, bincang dengan semua pihak dan bawa ke mesyuarat akan datang, kita tidak pernah setuju, “ tegas beliau.


Abdul Rahman juga menegur tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana tidak mematuhi piawaian atau spesifikasi keluasan lantai sebagaimana yang digariskan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam panduan Standard Industri Pembinaan (CIS).


Katanya, standard ini menetapkan keperluan minimum tiga bilik tidur dan dua bilik air tetapi Kerajaan DAP Pulau Pinang membenarkan pemaju membina rumah mampu milik de­ngan spesifikasi minimum tiga bilik tidur dan hanya satu bilik air.
“Saya ingin bertanya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sekiranya harga yang ditetapkan mengikut ketetapan Kerajaan Persekutuan, mengapa spesifikasi keluasan lantai tidak diikuti.


“Sebagai contoh, Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang dijual pada harga RM300,000 menawarkan keluasan lantai 139.35 meter persegi, dan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pr1ma) pada harga RM400,000 dengan keluasan lantai 111.48 meter persegi.


“Ini dua contoh menunjukkan Kerajaan Persekutuan menawarkan yang terbaik kepada rakyat, sedang­kan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula menjual rumah berharga RM400,000 tetapi pada keluasan hanya 83.6 meter persegi dengan kebenaran membina rumah yang hanya ada tiga bilik dan satu bilik air. Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu berfikiran berteraskan ke­sejahteraan rakyat,” jelas beliau.