Wednesday, February 17, 2016

Program penggajian atasi 2 juta pekerja asing tanpa dokumen


PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dalam talian bermula 15 Februari ini bagi mengatasi masalah pekerja asing tanpa dokumen yang terus menetap di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program tersebut akan dilaksanakan selama tiga bulan pertama untuk melihat keberkesanannya bagi memastikan lebih dua juta pekerja asing tanpa dokumen itu didaftarkan semula secara sah.

Beliau berkata, inisiatif itu diambil bagi membanteras penipuan yang didalangi ejen pekerja asing dalam urusan mendaftarkan mereka.
“Sebelum ini ramai majikan mengadu bahawa pekerja mereka tidak didaftarkan secara sah oleh ejen pekerja asing walaupun sejumlah wang sudah dibayar kepada mereka.

“Program ini juga dapat memastikan majikan membayar levi ke atas pekerja asing mereka,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat 2016 dan pelancaran Dasar Keselamatan Dalam Negeri di sini,hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata program itu akan diteruskan jika penyertaan majikan untuk mendaftarkan pekerja-pekerja asing mereka menerima sambutan.

Bagi tujuan itu, beliau berkata kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan majikan terbabit selepas sambutan Tahun Baharu Cina bagi membincangkan pelaksanaan kadar levi baharu untuk pekerja asing.

“Kita akan teliti (malah) Perdana Menteri sendiri menghubungi saya semasa saya berada di Beijing, China supaya melihat semula pelaksanaan levi tersebut mengikut aspek-aspek tertentu seperti kadar dan tempoh,"katanya

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata lagi, pelaksanaan program itu dijangka akan menyumbang kepada pendapatan tambahan sebanyak RM4 bilion kepada negara.

Pengenalan kadar levi baharu itu dibuat seiring dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment