Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ber­kata, persidangan khas Parlimen mengenai T­PPA yang akan diadakan pada akhir Januari depan hanya untuk mendapatkan jawapan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen sama ada negara perlu menyertai TPPA atau tidak.
Katanya, jika terdapat topik yang tidak dipersetujui oleh ahli-ahli Parlimen ia bermakna kesemua topik yang lain juga tidak akan diterima, dan seterusnya perlu membuat keputusan bahawa Malaysia tidak akan menyertai TPPA.
“Jika hendak tolak topik tertentu, kita perlu tolak kesemuanya sekali (TPPA). Untuk mengubah kandungan topik tertentu ia juga memerlukan perubahan berpuluh-puluh kandungan isu yang lain serta persetujuan kesemua negara TPPA. Ini hanya akan mengambil masa yang panjang dan sukar dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita sebelum me­ngadakan taklimat TP­PA bersama pelajar-pelajar universiti di sini hari ini.
Menteri-menteri perdagangan Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam pada awal Oktober lalu telah bersetuju terhadap kandungan TPPA setelah mengadakan perbincangan bagi membentuk perjanjian itu sejak 2010.
Malaysia berjaya mendapatkan persetujuan 11 negara TPPA mengenai agenda pembangunan ekonomi bumiputera dengan menerima dan mengiktiraf kepentingan hak bumiputera sebagai dasar penting Malaysia seperti pegangan 30 peratus hak bumiputera dalam sektor pembinaan tidak akan terjejas.
Dalam pada itu Mustapa berkata, kementeriannya akan mengadakan bengkel sehari bersama ahli-ahli Parlimen untuk memberi penerangan kandungan TPPA kepada mereka termasuk dalam aspek kos ubat-ubatan serta Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) sebelum sidang khas Parlimen mengenai TPPA diadakan bulan depan.
“Pada persidangan khas di Parlimen itu saya akan bentangkan mengenai TPPA diikuti dengan sesi perbahasan dan akhirnya penggulungan. Keputusan sama ada Malaysia akan sertai TPPA akan ditentukan selepas itu,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau juga telah mengadakan perjumpaan dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam untuk mengenal pasti beberapa perundangan negara yang mungkin perlu dipinda jika menyertai TPPA.
Tambahnya, setakat ini terdapat pindaan yang perlu dilakukan di dalam undang-undang buruh negara.

Sumber Utusan