Pelbagai kumpulan prihatin selama ini hanya berteka-teki mengenai impak dan implikasi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) terhadap Malaysia. Ini kerana perincian TPPA dirundingkkan oleh negara-negara pesertanya dalam suasana kerahsiaan. Lantas apa dan bagaimanakah persediaan kumpulan-kumpulan prihatin ini untuk menuntasi dokumen rasmi TPPA bila ia dibuka kepada pengetahuan umum masyarakat Malaysia sebelum penghujung November 2015?
Persediaan ini diperlukan kerana TPPA bercorak plurilateral melibatkan negara maju dan membangun yang berbeza tahap kemajuan ekonominya, berlainan kepentingan serta keutamaan nasionalnya, dan tidak serupa nilai-nilai teras yang dipertahankannya. TPPA juga “mengandungi 29 bab mengenai isu tradisional dan isu baru yang merangkumi pelaburan, perkhidmatan, perkhidmatan kewangan, persaingan, perolehan kerajaan, buruh, harta intelek, dan alam sekitar".
Dokumen seperti ini hanya boleh dirungkai secara fokus dan komprehensif menerusi pendekatan yang kolektif, terselaras dan melibatkan kepakaran pelbagai disiplin; untuk menghasilkan analisis yang terperinci dan realistik. Hakikatnya demikian kerana sesuatu entiti undang-undang seperti TPPA lazimnya merangkumi tatacara antarabangsa (international order), tatacara serantau (regional order),dan tatacara nasional (national order).
Menurut Henry Kissinger (2014: 9), tatacara adalah sistem yang berpaksikan kepada dua elemen khusus. Pertama, peraturan-peraturan yang dipersetujui secara bersama untuk mendefinisi serta menghadkan sesuatu tindakan. Kedua, keseimbangan kuasa bagi melaksanakan sekatan apabila peraturan-peraturan ini gagal berfungsi.
Dua komponen di atas menjadi mekanisme untuk mencegah sesuatu unit politik tertentu daripada menindas, menganaiya, memudarat atau menguasai lain-lain unit politik yang wujud dalam tatacara yang sama.
Secara umumnya, walaupun tersurat atau tersirat, ketiga-tiga tatacara di atas wujud dalam TPPA. Ini kerana TPPA melibatkan aktor negara daripada pelbagai wilayah dunia, berlainan status politiknya, dan tidak serupa pencapaian ekonominya.
Lantaran itu, tatacara antarabangsa TPPA meregulasikan interaksi serta hubungan negara-negara pesertanya di peringkat sejagat. Perungkaian terhadap tatacara ini mengenalpasti pelbagai manfaat, keuntungan dan/atau kerugian yang diperolehi Malaysia menerusi TPPA.
Ia juga mengenalpasti beberapa kekhuatiran mengenai jerangkap samar yang mungkin tersirat di sebalik TPPA, termasuk apa yang disifatkan sebagai agenda geopolitik Amerika Syarikat (AS) selaku adikuasa sejagat, terhadap negara-negara membangun dalam TPPA.
Tatacara serantau TPPA, dalam konteks Malaysia, melibatkan impak dan implikasi perjanjian ini, dari sudut makro dan mikro, di peringkat Asia Tenggara, termasuk terhadap kewujudan komuniti ekonomi ASEAN.
Tatacara nasional TPPA, dalam konteks Malaysia, berkait rapat dengan impak dan implikasi perjanjian ini di aras negara, secara makro dan mikro. Antaranya, adalah terhadap kedaulatan tanah air, kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi, dasar-dasar affirmatif, masa depan Bumiputera, dan keselamatan ekonominya.Huraian-huraian di atas menunjukkan kenapa perungkaian terhadap TPPA oleh kumpulan-kumpulan bukan kerajaan di Malaysia perlu dilaksanakan secara kolektif, terselaras dan menggemblengkan kepakaran pelbagai disiplin.
Antara lainnya, ini disebabkan TPPA merangkumi elemen diplomasi, hubungan antarabangsa, perdagangan antarabangsa, politik ekonomi antarabangsa (international political economy), keselamatan ekonomi, keselamatan makanan, keselamatan alam sekitar dan keselamatan insan.
Pendekatan di atas, bagaimanapun, memerlukan satu organisasi adhoc untuk menyelaraskan fokus analisis berbagai-bagai kumpulan yang prihatin terhadap impak dan implikasi TPP terhadap Malaysia. Hasil kajian kumpulan fokus ini boleh digabung dan disalurkan kepada pemerintah untuk tindakan selanjutnya.
Optimis
Anggota Parlimen Malaysia, tanpa mengira parti, harus juga menimbangkan pendekatan yang sama seperti di atas sebelum mereka memutuskan untuk menerima atau menolak TPPA demi kelangsungan negara dan rakyat jelatanya.
Namun perungkaian mengenai impak TPPA ke atas ekonomi dan perdagangan Malaysia perlu menggunakan alat analitikal yang tepat untuk menghasilkan analisis yang berwibawa. Beberapa kajian empirikal mengenai TPPA sebelum ini hanya menggunakan pelbagai versi Computable General Equilibrium Models (CGE) yang menghasilkan analisis “tidak realistik… dan mencetuskan implikasi negatif kepada pengeluaran domestik serta guna tenaga di sesetengah negara peserta TPPA”(Rashmi Banga 2015: 5).
Antara kelemahan utama analisis yang menggunakan Model CGE “adalah andaiannya bahawa eksport hasil daripada pertambahan akses pasaran berikutan perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA akan terus bersumberkan faktor-faktor dalaman di negara yang dikajinya.” Andaian ini wujud kerana kajian-kajian di atas hanya merungkai kemungkinan-kemungkinan impak TPPA ke atas negara peserta dan bukan peserta serta wilayah, berasaskan senario pakatan perdagangan yang berbeza-beza.
Hujah-hujah teknikal dan terperinci mengenai hakikat ini terkandung dalam artikel Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA): Implications for Malaysia’s Domestic Value-Added Trade, tulisan Rashmi Banga (2015).
Lantaran itu, walaupun Pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dikatakan optimis terhadap TPPA, adalah wajar jika pelbagai kumpulan prihatin di Malaysia yang memperincikan kandungan perjanjian ini diberikan tempoh waktu yang munasabah untuk mereka menghasilkan analisis yang teliti dan komprehensif. Pada waktu yang sama, sungguhpun beberapa anggota Pentadbiran Najib yakin bahawa “Malaysia akan menyertai TPPA,” pemerintah wajar melakukan beberapa penambahbaikan jika wujud sebarang kelemahan dalam dokumen berkenaan.
Contohnya, pemerintah wajar mengkaji pelbagai artikel akademik mutakhir mengenai TPPA untuk memastikan apa juga rasional yang mendorong Malaysia menandatangani perjanjian ini adalah tepat, realistik dan tidak merugikan.
Kesimpulannya, organisasi bukan kerajaan wajar merungkai dokumen rasmi TPPA di Malaysia menerusi pendekatan yang kolektif, terselaras, melibatkan kepakaran pelbagai disiplin, dan menggunakan alat analitikal yang menghasilkan analisis komprehensif dan realistik.
Pentadbiran Najib pula wajar mengkaji pelbagai artikel akademik mengenai TPPA untuk memastikan bahawa penglibatan Malaysia dalam perjanjian ini adalah tepat dan tidak mencetuskan masalah kepada pelbagai dasar strategik negara.
PENULIS adalah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor.
No comments:
Post a Comment