SEORANG budak lelaki berusia enam tahun maut selepas memakan lolipop dipercayai disalut dengan racun tikus yang ditemui di laman rumahnya.
Xiao Li menemui gula-gula tersebut di laman rumahnya di kampung Liuzhuang di Shandong, timur China.
Dia kemudiannya mengambilnya, membuka balutan gula-gula itu dan memakannya sebelum pergi bermain 'sorok-sorok' bersama rakan-rakannya.
Li kemudiannya ditemui tidak sedarkan diri.
Rakan-rakannya pergi mendapatkan bantuan daripada bapa Li, Jin Hsueh, 45 yang mendapati anaknya mengalami pendarahan yang keluar dari bahagian mata, telinga, mulut dan lubang hidung.
Hsueh berkata: "Rakan-rakannya beritahu kepada saya bahawa Li terbaring di belakang rimbunan pokok di mana dia sedang menyorokkan diri dalam permainan itu.
"Apabila saya ke sana, dia sukar untuk bernafas dan saya menyedari sesuatu yang buruk telah berlaku."
Li dikejarkan ke Hospital Gabungan Sekolah Perubatan Jining, di mana paramedik dengan segera mengesahkan keadaannya yang kritikal.
Seorang jurucakap hospital berkata: "Organ dalamannya gagal berfungsi akibat racun itu."
Sekumpulan doktor berusaha untuk menyelamatkannya selama dua hari namun Li disahkan meninggal dunia.
Satu pemeriksaan dijalankan ke atas lolipop yang masih dipegang oleh budak tersebut ketika ditemui tidak sedarkan diri.
Ujian berkenaan mendapati gula-gula tersebut disaluti TETS, yang mengandungi neurotoksin sangat berbahaya yang terdapat dalam racun tikus.
Penggunaan bahan itu diharamkan di seluruh dunia sejak 1984 tetapi ia masih boleh didapati di China, walaupun secara haram.
Polis kini mengesyaki seseorang yang rapat dengan keluarga itu mungkin bertanggungjawab terhadap kematian Li.
Seorang jurucakap polis berkata: "Kami sudah memerika lokasi di mana lolipop itu dijumpai dan ia berada di laman rumah keluarga berkenaan dan kita menjumpai lebih banyak gula-gula yang sama.
"Hanya satu sahaja cara yang boleh menyebabkan gula-gula itu berada di situ, sekiranya seseorang berjalan di laman tersebut dan meletakkannya di situ kerana adalah mustahil kesemua gula-gula itu boleh masuk ke laman rumah dari jalan.
"Dan sekiranya mereka mencampaknya dari luar pagar, gula-gula berkenaan boleh pecah."
"Kita sedang menyiasat motifnya dan kenapa ia bertindak demikian." - mirror.co.uk
No comments:
Post a Comment