KOTA BHARU 17 Mac - kerajaan Pas Kelantan bersedia sepenuhnya untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok biarpun mendapat tentangan daripada sekutunya dalam pakatan pembangkang.
Rang undang-undang tersebut adalah pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 atau lebih dikenali dengan undang-undang hudud.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya berharap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju sebulat suara dengan pembentangan rang undang-undang tersebut bagi memastikan hasrat untuk melaksanakannya tercapai.
Beliau berkata, secara umumnya perkara asas dalam Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 dikekalkan dengan pindaan yang akan dibuat esok hanya melibatkan perkara-perkara teknikal.
“Kita sudah siap sedia sepenuhnya untuk membentangkan rang undang-undang ini esok. Pindaan ini tidak melibatkan banyak perkara.
“Memang kita berharap semua menyokong rang undang-undang ini namun kita tunggu perbahasan ADUN esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini hari ini.
Pelaksanaan undang-undang hudud di negeri ini mencetuskan polemik yang berpanjangan dan tidak dilaksanakan biarpun telah diluluskan kira-kira 22 tahun lalu.
Malah, Ahmad dalam Sidang DUN pada Mac tahun lalu turut menyatakan kesediannya untuk melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya gagal untuk melaksanakan undang-undang Islam itu pada tahun ini.
Pada masa yang sama, UMNO menyokong penuh pelaksanaan undang-undang tersebut malah Kerajaan Pusat turut menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi membantu perkara tersebut dapat direalisasikan.
Bagaimanapun, Pas berhadapan tentangan hebat daripada sekutunya, DAP sehingga saling cabar mencabar secara terbuka di media.
Rang undang-undang sepatutnya dibentangkan pada Sidang DUN Khas pada Disember tahun lalu tetapi ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda negeri ini dan telah ditambah baik dengan beberapa peruntukan dipinda.
Pindaan yang dilakukan ke atas rang undang-undang itu berdasarkan pandangan dan teguran pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang, ahli politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara pindaan yang dibuat ialah enakmen berkenaan hanya terpakai kepada orang Islam berbanding sebelum ini, iaitu orang bukan Islam diberi pilihan untuk diadili mengikut enakmen berkenaan atau undang-undang sivil.
Pindaan itu juga akan turut memperkemaskan hukuman yang membabitkan kesalahan liwat dan zina manakala pindaan lain melibatkan perkara teknikal.
No comments:
Post a Comment