Saturday, February 28, 2015

DERITA GAZA 100 TAHUN - Harian Metro

Pembangunan semula Gaza boleh mengambil masa terlampau lama melainkan sekatan Israel terhadap wilayah itu dibatalkan lapor agensi bantuan Oxfam, semalam.
Menurut badan itu, Gaza - yang berantakan akibat diganasi rejim Zionis sebelum ini - memerlukan bahan binaan lebih 800,000 lori untuk membina semula atau memulihkan pelbagai kemudahan yang musnah.
Bagaimanapun, kata Oxfam, dalam tempoh tiga bulan, kurang daripada satu peratus daripada keperluan itu dibawa masuk ke Gaza.
Pengarah Serantau Oxfam, Catherine Essoyan berkata, sekatan berpanjangan dikenakan Israel membawa risiko amat besar kepada penduduk Gaza.
“Ketika ini ramai orang awam masih tinggal dalam keadaan tidak sempurna, di bawah bangunan tidak berbumbung dan tiada bekalan air, manakala bekalan elektrik pula tidak mencukupi,” katanya.
Gaza dihujani pelbagai jenis bom sepanjang tempoh 50 hari perang antara rejim Zionis dengan pejuang Hamas pada Julai dan Ogos tahun lalu.
Lebih 2,100 orang - termasuk 73 orang warga Israel - maut dalam konflik berkenaan.
Tel Aviv mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Gaza selepas Hamas memenangi pilihan raya umum pada 2006.
Dasar itu menyebabkan bahan keperluan asas terlalu sukar dibawa masuk dari luar.
Mesir memburukkan keadaan apabila mengambil pendekatan sama dengan rejim Zionis itu.
Kata Catherine, kira-kira 100,000 orang - kebanyakannya kanak-kanak - ditempatkan di rumah perlindungan, tempat tinggal sementara atau bersama saudara apabila rumah mereka musnah.
“Ada beribu-ribu yang lain masih berlindung di dalam bangunan rosak dan bergantung kepada plastik untuk menahan diri daripada hujan atau panas,” katanya.

No comments:

Post a Comment