Tuesday, January 6, 2015

WACANA WASATIYYAH DI KOREA

ltdmi
Oleh Datuk Dr. Mashitah Ibrahim
YAYASAN Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) menutup aktivitinya untuk tahun 2014 dengan mengadakan program Wacana Wasatiyyah di Universiti Dongyang Mirae di bandar raya Seoul pada 19-21 Disember lalu.
Program ini dilaksana atas permintaan penuntut Malaysia di Korea Selatan, khususnya Kelab Umno Korea (KUK) dan Persatuan Pelajar Malaysia-Korea (PPMK), serta disokong Pejabat Perdana Menteri. Ini adalah siri ke-2 program sama dijalankan tahun ini.
Program Wacana Wasatiyyah YPPM diadakan bersama penuntut Malaysia di beberapa universiti di New Zealand dan Australia pada September lalu.
Kali ini, YPPM diwakili saya sendiri selaku ketua rombongan; Pengarah Operasi, Juhaidi Yean Abdullah dan Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Shakor Abu Bakar. Turut menganggotai rombongan ialah pakar motivasi terkenal Datuk Dr Mohd Fadhilah Kamsah.
Kami tiba di Seoul dalam keadaan cuaca sangat sejuk dan bersalji, namun sambutan meriah dan keceriaan jawatankuasa penganjur memastikan semua ahli rombongan teruja dan bersemangat.
Dr Mohd Fadhilah membuka minda pelajar tentang ciri dan petua menjadi pemimpin, serta peranan wasatiyyah membentuk pemimpin harapan. Beliau menekankan pendekatan agama, psikologi dan persekitaran untuk pertimbangan penuntut yang ingin menjadi pemimpin.
Juhaidi membawa penuntut berdiskusi tentang konsep hak asasi, demokrasi dan kebebasan di alam maya dalam konteks wasatiyyah. Beliau memberi penjelasan mengenai Perlembagaan Persekutuan, Akta Hasutan, konsep kebebasan bersuara dan undang-undang multimedia yang dibangkitkan oleh penuntut.
Dalam pembentangan bertajuk ‘Wasatiyyah Memartabatkan Islam’, saya menegaskan perlunya pelajar faham apa itu wasatiyyah dalam konteks kehidupan masyarakat berbilang agama dan kaum di Malaysia, dalam sistem sosial,ekonomi dan politik.
Selain berpendekatan moderat dan berimbang, wasatiyyah juga bermakna menjadi yang terbaik dan hebat. Wasatiyyah bukan bermakna sederhana dalam erti kata lebih kurang, cukup makan, mediocre atau plain.
Hal ini diberi penegasan kerana kekeliruan dan kurang kefahaman mungkin menyebabkan kemunduran atau salah tafsiran, yang kemudiannya boleh mencetus masalah kestabilan dan keselamatan.
Saya juga berpesan agar penuntut tidak terjebak dengan polemik, berbalah atau berpecah akibat khilafiah agama, selain mengingati pelajar akan usaha Yahudi dan musuh lain mengelirukan umat Islam.
Tahap pertama ialah menjadikan wanita Islam hingga tidak terkawal, kemudian menggalakkan perjuangan yang melampau, memesong generasi muda agar menjadi fasik sehingga berleluasa membuat dosa tanpa rasa malu atau bersalah.
Orang Islam dilalaikan sehingga tidak lagi mahu berjihad, tidak bergerak untuk menyeru kepada kebaikan atau mencegah kemungkaran, menganggap yang baik sebagai jahat dan yang tak baik sebagai elok, menggalak kejahatan dan melarang perbuatan baik, lantaran orang baik pun menjadi hairan dan keliru.
Masa satu jam untuk sesi soal jawab tidak cukup kerana ramai penuntut mengambil bahagian. Banyak soalan mereka ajukan, termasuk memberi pandangan yang bernas. Mereka memberi maklum balas yang baik dan pelbagai, justeru menjadi input yang penting dan asas untuk menambah baik di mana boleh.
Sesi berakhir selepas Asar, namun para penuntut terus mengerumuni untuk mendapat penjelasan atau memberi pandangan dan saranan mereka, serta bergambar beramai-ramai.
Majoriti penuntut yang hadir adalah mereka yang mengambil jurusan kejuruteraan (kimia, mekanikal dan sivil), selainnya adalah dalam jurusan sains nuklear, seni reka kapal dan kapal terbang, hubungan antarabangsa, sastera perbandingan dan sains kelautan.
Kami sangat kagum dengan pencapaian anak-anak muda negara, yang berasal daripada keluarga peneroka, petani, guru serta pesara polis dan tentera. Walaupun singkat, kami berpuas hati dengan pencapaian misi ini.
Sekalung penghargaan dan syabas saya ucapkan kepada jawatankuasa penganjur serta kepimpinan KUK dan PPMK yang bertungkus-lumus mengendali perjalanan program ini, walaupun baru tamat peperiksaan.
Kerjasama antara AJK lama dan baharu, semangat berpasukan dan kelicinan pengurusan menjadikan program lancar dan berjaya. Kehadiran 130 mahasiswa daripada 10 universiti seluruh Korea Selatan adalah yang terbesar untuk sebarang program seumpamanya yang dianjur sebelum ini.
Kami juga makan dan bersolat bersama penuntut. Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan dan Latihan dari Kedutaan Malaysia, Dinatra Mohd Saat.


http://yppm.org.my/

No comments:

Post a Comment