Apabila kita membincangkan pendidikan Islam di Malaysia khususnya institusi pondok, tergambar kepada kita betapa hebat dan mengahnya cara tradisional ini dipimpin oleh Tok-Tok Guru yang telah diakui kehebatan mereka. Institusi ini sebenarnya telah memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan anak bangsa dan telah melahirkan tokoh-tokoh agamawan yang bertakwa dan tegas dalam mempertahankan akidah agama, maruah bangsa dan kedaulatan tanahair. Oleh itu wajarlah institusi ini bukan sahaja dipertahankan bahkan seharusnya diperkasakan agar terus menjadi wadah pendidikan Islam.
Di zaman permulaannya, pondok didirikan adalah untuk dijadikan satu tempat beribadat. Pengajian agama biasanya diadakan di surau atau masjid pada waktu malam dengan di hadiri oleh orang dewasa lelaki dan perempuan. Oleh itu, pondok didirikan atas usaha alim ulama dan masyarakat tempatan sebagai satu sistem pengajian yang lebih teratur. Pondok didirikan berhampiran rumah tuan guru dan dikekelilingi dengan asrama pelajar. Lokasi pondok sering ditemui di kawasan berhampiran pantai dan sungai dan kebiasaannya dibina daripada papan dan daun nipah atau rumbia. Kemudahan kelas hanya terdiri daripada papan dan qalam manakala meja dan bangku pula dibuat sendiri oleh para pelajar. Selain menuntut ilmu, para pelajar akan menjalankan kerja seperti bertani, menangkap ikan, mencari kayu api, mengangkat air bagi membantu tuan guru menyara kehidupan mereka. Kurikulum pondok ini lebih kepada pembelajaran tidak formal dan melatih mereka belajar untuk hidup . Para pelajar akan diajar ilmu Fiqah, Tauhid dan al-Quran dengan mengunakan kaedah pembelajaran hafalan. Buku – buku rujukan terdiri daripada kitab – kitab al-Quran, Hadis, Fiqah, Tauhid dan Tasawuf. Waktu pembelajaran biasanya pada waktu subuh, petang dan malam. Kebiasaan pengajian di pondok ini tidak menetapkan bayaran yuran tetapi pelajar dari keluarga berada digalakkan menghulurkan bantuan dan derma manakala pelajar yang kurang mampu boleh membawa buah tangan seperti beras, pakaian untuk guru sebagai penghormatan.
Perubahan – perubahan dalam perkembangan pendidikan Islam juga merupakan sebab utama yang membawa ke[ada kemunduran institusi pondok. Ini kerana pada masa itu telah muncul sekolah – sekolah Agama (Arab) Majlis Agama Islam yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar yang lebih teratur dan selesa.
Institusi pendidikan pondok telah banyak memberi sumbangan kepada sistem pendidikan di Malaysia antaranya ialah melahirkan ulama – ulama yang berwibawa seperti tokoh Syed Muhammad bin Zainal (Terengganu), Tuk Kenali (Kelantan) dan Haji Muhammad Taib Mufti (Kedah). Di Kelantan contohnya, para pemimpin negeri atau peringkat kawasan kebanyakkan pemimpin dari para ahli ulama yang berasal dari pendidikan pondok. Seterusnya pengajian ini juga telah melahirkan para pelajar yang berakhlak mulia dan berdisiplin dalam kehidupan seharian. Selain itu ia juga telah melahirkan ramai cerdik pandai yang terkenal di rantau ini serta dapat membimbing masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment