MUHYIDDIN Yassin, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kiri) bersama sukarelawan bergotong-royong membersihkan Sekolah Kebangsaan Tanjung Chenok, Pasir Mas selepas banjir surut, semalam. – UTUSAN/Rosni Masri
KOTA BHARU 6 Jan. Putrajaya dan Kota Darulnaim hari ini mengetepikan ideologi politik apabila kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Peringkat Negeri bagi membangunkan semula Kelantan akibat malapetaka ‘bah kuning’.
Malapetaka tersebut telah menyebabkan 2,260 buah keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah mereka musnah 100 peratus dan Kerajaan Pusat serta negeri ini pula terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM932.4 juta akibat kemusnahan infrastruktur awam serta aset mereka.
Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditemani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selama sejam di pusat pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan di Kota Darulnaim.
Mustapa dan Ahmad telah dilantik sebagai pengerusi bersama untuk jawatankuasa tersebut.
Dalam pada itu, Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Gotong-royong Membersih Kawasan Sekolah Pasca Banjir dan Pelancaran Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2015 di Sekolah Kebangsaan Tanjong Chenok, Pasir Mas dekat sini menyifatkan, malapetaka itu telah membuka ruang kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.
“Kerjasama ini menjadi sejarah apabila pemimpin UMNO dan Pas bersetuju untuk duduk bersama dengan mengetepikan soal politik untuk menjaga kebajikan rakyat di negeri ini yang ditimpa musibah banjir.
“Kerajaan Pusat telah bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan Pas Kelantan dan Alhamdulillah, Menteri Besar bersetuju. Saya bersetuju, Tok Pa (Mustapa) bersetuju. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah memberi rukhsah beliau,” katanya.
Terdahulu, dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir negeri, Muhyiddin berkata, tumpuan utama jawatankuasa tersebut ialah memulihkan kehidupan rakyat yang ditimpa musibah banjir supaya kembali seperti sedia kala.
“Cadangan Kerajaan Pusat, urusan untuk pulihkan keadaan kehidupan mangsa banjir di Kelantan, kerajaan negeri dan Pusat bekerja sebagai satu pasukan bersama-sama di bawah satu jawatankuasa dan Perdana Menteri cadangkan supaya Menteri Besar dan Mustapa mempengerusikan bersama jawatankuasa ini dan kerajaan negeri ini pun sudah bersetuju.
“Disebabkan keadaan begitu teruk banyak pihak perlu menyedari hakikat kita perlu bersatu dan menguruskan keadaan ini sebaik-baiknya supaya kita dapat meringankan beban mangsa banjir,” katanya.
No comments:
Post a Comment