Sunday, January 19, 2014

3000 berarak bantah Khai Loon



Suasana tenang hujung minggu di Bandar Seberang Jaya, dekat sini hari ini berubah selepas kira-kira 3,000 penduduk di sekitar kawasan itu turun ke jalanan bagi membantah tindakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lalu.
Dalam perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi itu, penduduk berkenaan berarak sejauh lebih satu kilometer bermula di sebuah gelanggang futsal menuju ke pusat beli-belah yang terletak tidak jauh dari situ.
Diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, perhimpunan berkenaan yang disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak muda dan wanita bertujuan memberi mesej jelas kepada Khai Loon yang bertindak keterlaluan menyumbat kangkung ke dalam mulut replika gambar Najib.
Sepanjang perarakan, peserta turut membawa pelbagai sepanduk yang mengecam tindakan ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang membisu dalam isu berkenaan.
Setibanya di hadapan pintu masuk pusat beli-belah itu, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas mencabar Khai Loon supaya mengulangi perbuatan biadab tersebut.
"Rakyat berasa amat terkejut dengan penghinaan terhadap Perdana Menteri yang dipilih secara sah dalam pilihan raya umum lalu.
"Kepada Khai Loon, kalau beliau berani dan benar-benar anak jantan, saya cabar buat sekali lagi. Kita tengok dalam masa sejam, apa yang akan kami lakukan," katanya.
Yang turut hadir, Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.
Perhimpunan berkenaan turut bertujuan membantah tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang merobohkan gerai peniaga Melayu, mempertahan isu kalimah Allah serta turut menolak tuntutan songsang Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).
Dalam kejadian Rabu lalu di Pasar Malam Alma, Bukit Mertajam dekat sini, sekumpulan penyokong PKR yang diketuai Khai Loon menyumbat kangkung ke dalam mulut Perdana Menteri dan mempersenda kenyataan Najib berhubung penurunan harga sayuran berkenaan baru-baru ini.
Sementara itu, Musa berkata, tindakan ADUN Machang Bubuk berkenaan dianggap sebagai keterlaluan, kurang ajar serta tidak boleh diterima.
"Orang Melayu punya kesabaran yang cukup tinggi tetapi hari ini terdapat pihak-pihak tertentu yang semakin berani dan melampau dengan menghina pemimpin negara. Orang Melayu juga terus diasak termasuklah dalam isu kalimah Allah serta tuntutan songsang Comango.
"Sehubungan itu, saya menyeru kita bersatu melawan pihak-pihak ini yang bertindak keterlaluan," katanya.


sumber

No comments:

Post a Comment