IBDILLILLAH ISHAK (PENGERUSI BIRO MEDIA BARU UMNO) : BAHASA ROJAK GRED A+
Ibdilillah Ishak, Pengerusi Biro Media Baru, BMB, UMNO. Kenyataannya ternyata mengguris hati ramai pengendali blog pro-kerajaan.
Sekaligus saya juga berasa amat hairan berhubung rational individu bercakap dalam bahasa rojak sewaktu ditemu bual, diamanahkan tanggungjawab begitu gah. Sila tonton rakaman klip video di bawah.
Pertama, izinkan saya mencatatkan komen dari aspek komunikasi, bidang saya ceburi selama lebih 20 tahun.
Hemat saya, sebelum Ibdilillah melaksanakan tugasnya, UMNO wajib memberikan peluang kepada dia untuk mendalami ilmu berhubung kaedah komunikasi berkesan. Saya berasa amat simpati menonton rakaman klip video di atas.
Ibdilillah kelihatan amat tidak menyakinkan tatkala mengeluarkan kenyataannya. Jika UMNO masih menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Ibdilillah harus diarahkan dengan kadar segera supaya menghormati penggunaan bahasa ibunda.
Dia secara jelas mencemarkan bahasa Melayu. Andai sewaktu ditemu bual oleh media, bahasanya berterabur, bagaimanakah pula penggunaan bahasa sehariannya?
Bagaimanakah pula kaedah komunikasinya sewaktu menggunakan Twitter?
"Saya sendiri akan melantik ke 13 semua negeri"
Choy!
Sejak bila Ibdilillah melantik 13 semua negeri? Apakah dimaksudkannya?
Kenyataan itu sukar difahami dan amat mengelirukan.
Bagaimanapun saya bermurah hati memberikan gred A+ terhadap penggunaan bahasa rojak pengerusi BMB itu.
Untuk pengetahuan Ibdilillah, tiada perkataan 'mengoffer' di dalam bahasa Melayu, sila rujuk di sini. Jika ingin berbahasa Inggeris, tiada masalah. Tidak perlu mencampuradukkan 2 bahasa sehingga mencemarkan bahasa ibunda.
Kedua, Ibdilillah, harus berfikir sebelum bercakap, bukan bercakap dan kemudian berfikir. Dia berhak untuk berkongsi pandangan sebagai pengerusi BMB namun kaedah perkongsian maklumat itu harus LEBIH bijak.
Baca kenyataan dikeluarkan oleh Ibdilillah, merujuk kepada pengendali blog pro-kerajaan sebelum ini.
"Buat masa sekarang ini, pada mereka, there is no direction. Direction dia orang hari hari hendak membidas pembangkang. Takkan kerja kita itu hari hari membidas pembangkang. Dah tak ada kerja lain ke? Bagi saya kitapun kena fokus bagaimana hendak membantu rakyat," katanya.
Hemat saya, teguran itu harus dikongsikan tatkala dia mengendalikan perjumpaaan bersama semua pengendali blog pro-kerajaan, bukan disiarkan secara terbuka.
Tindakan amat tidak cerdik.
Tidakkah dia terfikir, kenyataannya, "Dah tak ada kerja lain ke?", itu kedengaran menghina usaha semua pengendali blog pro-UMNO selama ini tidak mengenal erti lelah, membantu menyebarkan maklumat lebih tepat mengenai kerajaan Barisan Nasional.
Ketiga, Ibdilillah sebagai pengerusi BMB harus menampilkan kredibilitinya melalui kaedah ketua contoh dalam media sosial.
Analoginya mudah.
Jika pensyarah institusi pengajian tinggi diberikan tanggungjawab untuk mengajar ilmu matematik kepada penuntut di peringkat sarjana muda, lazimnya dia memiliki kelulusan sarjana dalam bidang sama.
Mungkin pembaca dan pengendali blog pro-kerajaan berpeluang mendedahkan 'kehebatan' Ibdilillah sebagai pengendali laman sosial.
Barangkali blog Ibdilillah hebat kerana dikunjungi terlalu ramai pelawat berbanding blog picisan saya, hanya mencecah hits lebih 20 juta setakat ini.
Andai, media sosial dikendalikannya berupaya menarik perhatian jutaan rakyat Malaysia, ternyata saya tidak langsung layak menjadi seorang daripada pengendali blog pro-kerajaan dipengerusikan oleh Ibdilillah.
No comments:
Post a Comment