Monday, November 25, 2013

Jeff oiii mulut celupar diserang...!!!

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang sedang melawat Pasar Awam Jelutong di sini hari ini 'diserang' oleh seorang kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang tidak berpuas hati dengan perkataan 'kucing kurap' yang digunakan wakil rakyat DAP itu bagi merujuk penjawat awam di negeri ini.
Mohd. Rofi Osman, 58, dengan lantang mendesak Jeff menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf secara terbuka kepada semua kakitangan MPPP.
Bagaimanapun, Jeff seolah-olah tidak mengendahkan tuntutan Mohd. Rofi yang ditemani isterinya, Aminah Abdullah dan cuba mengelak daripada bersemuka dengan mereka.
Beberapa pembantunya juga kelihatan cuba menghalang kedua-dua mereka daripada datang menghampiri ketika Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri itu mengadakan sidang akhbar berhubung penjaja haram di kawasan berkenaan.
Berikutan 'serangan' tersebut, Jeff terpaksa menamatkan segera sidang akhbar berkenaan lalu beredar dari situ.
Mohd. Rofi yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dengan MPPP ketika ditemui pemberita melahirkan kekesalan dengan sikap wakil rakyat itu yang seperti tidak rasa bersalah atas perbuatannya sebelum ini dan memandang remeh desakannya.
"Sebagai seorang wakil rakyat yang berpelajaran tinggi, dia sepatutnya bersikap profesional dan sedar perbuatannya itu telah mengguris perasaan ramai pekerja bawahan MPPP," katanya yang juga bekas Timbalan Presiden Kesatuan Buruh MPPP.
Sementara itu, Aminah yang merupakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Insan Mulia memberitahu, Jeff tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian yang dianggap menghina semua kakitangan MPPP serta tidak layak menuntut agar Yang Dipertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail meletak jawatan.
"Kalau dia berani keluarkan kenyataan itu, kenapa perlu takut berjumpa kami? Kami akan kejar dia ke mana sahaja dia pergi selepas ini sehingga dia tarik balik kenyataan itu," tegasnya.
Menurutnya, beliau sebelum ini pernah ke pejabat Jeff untuk berjumpa berhubung isu berkenaan tetapi dihalang oleh kakitangan wakil rakyat itu.
"Kenapa dia takut sangat sebab apabila ke pejabat dia pun, kami dihalang untuk berjumpa dengannya? Kami cuma minta dia tarik balik kenyataannya, itu sahaja," ujarnya.
Selasa lalu, Jeff dalam laporan akhbar mendesak Patahiyah melepaskan jawatan kerana didakwa tidak mampu menjalankan tugas dengan baik.
Desakan itu dibuat Jeff berikutan kegagalan pegawai MPPP membuktikan kepadanya terdapat peniaga haram di Pasar Awam Jelutong dan menggunakan perkataan 'kucing kurap' bagi merujuk kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan terbabit.


No comments:

Post a Comment