Saturday, June 1, 2013

HUKUM KERAJAAN DI JALAN RAYA BUKAN CARA ISLAM



Saya yakin, dengan nasihat berterusan pimpinan PR agar menolak unsur-unsur keterlampauan dalam sebarang perhimpunan di jalan raya, perhimpunan hari ini akan berlangsung aman, bahkan akan sentiasa bertambah baik. Pihak kerajaan mestilah memainkan peranan utama menjamin keselamatan para peserta himpunan. Mereka adalah rakyat yang berhak dihormati untuk berhimpun dan berekspresi.

Unsur keterlampauan yang mengajak kepada kerosakan dan nafsu sentiasa wujud dan akan sentiasa wujud. Dalam wilayah politik yang masih aman seperti negara kita Malaysia, suara dan ajakan kepada hukuman di jalan raya ke atas pemerintah yang zalim adalah salah dan mesti dihindari.

Justeru suara teguran dan ingatan daripada pimpinan terutama daripada PR mestilah berterusan. Salahudin Ayub, Rafizi, dato Harun Taib, pimpinan utama DAP serta yang lain telah bersuara menyeru kepada protes secara aman dan menolak keterlampauan. Semoga suara-suara sumbang akan berjaya dikendurkan dari semasa ke semasa.

Kekalkan momentum aman agar PR diterima rakyat, terutama masyarakat Melayu yang masih mencari-cari rentak sebenar politik baru yang lebih baik.

Saya konsisten menggerak dan mengawal anak muda. Itu tugas saya, amanah sebagai timbalan ketua pemuda PAS. Pemuda PAS seluruh tanah air mestilah mencintai ajaran al Quran dan al hadis dan hindari pemikiran yang bercanggah dengannya.

Selamat berhimpun dan semoga pulang dengan pahala berganda daripada Allah, wajah suci dan agung yang di tanganNya-lah politik Malaysia ditentukan.

No comments:

Post a Comment