LANGKAWI 26 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 dengan mengimbau peristiwa pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah yang disifatkan ancaman terbesar negara sejak berakhirnya pemberontakan komunis pada 1989.
Sambil menyatakan rasa kesalnya kerana terpaksa merasmikan pameran pertahanan terkemuka itu ketika insiden pencerobohan tersebut masih berlaku, Perdana Menteri berkata, pasukan keselamatan pernah dihantar ke misi keamanan di luar negara tetapi operasi di Sabah adalah untuk mempertahankan kedaulatan negara.
"Ini pertama kali pasukan keselamatan dikerah bertugas di bumi Malaysia sendiri sejak 1989," katanya semasa merasmikan LIMA 2013 di sini hari ini.
Najib berkata, sebagai bekas Menteri Pertahanan, beliau pernah terlibat dalam membuat keputusan besar menghantar tentera Malaysia ke Bosnia, Somalia dan Lebanon untuk operasi dan misi keamanan tetapi situasi di Sabah berbeza kerana untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.
"Bagi pihak seluruh rakyat Malaysia dari Langkawi ke Lahad Datu, saya ingin merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang berkhidmat di Sabah, menggunakan kecekapan dan profesionalisme mereka untuk menamatkan apa yang boleh menjadi peristiwa diplomatik.
"Saya menyeru lelaki dan wanita yang ketika ini bertugas di Sabah untuk terus berwaspada dan sabar, doa kami sentiasa bersama anda," katanya.
Najib berkata, beliau pernah beberapa kali berucap dalam pameran tersebut tetapi ini adalah kali pertama menyampaikan ucapan dalam keadaan pasukan keselamatan sedang menangani pencerobohan pengganas dalam negara.
Sementara itu, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan pasukan keselamatan diberikan kelengkapan terbaik untuk menangani situasi tersebut dan dalam masa sama memastikan setiap jasa anggota yang terkorban tidak disia-siakan.
Sehubungan itu, beliau melahirkan setinggi-tinggi penghormatan kepada pasukan keselamatan yang gugur semasa bertugas demi memastikan ketenteraman negara.
No comments:
Post a Comment