Thursday, February 28, 2013

MINTA MAAF , SUDAH LAMA JADI SAYA LUPA: BALA


Balasubramaniam gagal kemuka bukti, akui benci kerajaan

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang pulang ke negara ini Ahad lalu dengan disambut oleh beberapa pemimpin pembangkang gagal mengemukakan sebarang bukti berkaitan dakwaan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sebaliknya, `ceramah’ yang disampaikan Balasubramaniam menimbulkan lebih banyak persoalan kepada hadirin yang berada di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di ibu kota malam ini serta para pengikut di Internet serta pengguna twitter di `hashtag’ #tanyabala.

Apa yang jelas, penyiasat persendirian yang pernah membuat akuan bersumpah (SD) mendakwa Najib terlibat dalam kes itu, tetapi kemudiannya menarik balik tuduhan berkenaan dalam SD kedua, mengakui membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dia berumur 14 tahun.

Walaupun berucap dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh moderator, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin selama kira-kira satu jam setengah, Balasubramaniam dilihat seolah-olah hanya melontarkan tohmahan dengan `bermodalkan air liur’.

Dengan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang kurang baik, penyiasat persendirian itu juga dilihat gugup apabila terhenti menyampaikan ucapan dan beberapa kali berkata: “Minta maaf, sudah lama (kes ini) jadi saya lupa."

Sebagai contoh, dia mendakwa pernah mengambil gambar Altantuya sewaktu wanita itu berada di hadapan Bangunan Getah Asli di ibu kota pada sekitar 2006 sewaktu dia berkhidmat dengan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda namun tidak pula menunjukkan gambar tersebut.

Penyiasat persendirian yang pernah lari ke luar negara selama kira-kira tiga tahun selepas membuat SD kedua berkenaan turut mendakwa pernah membuat rakaman perbualannya dengan peniaga permaidani, Deepak Jaikishnan berkenaan tawaran Deepak sebanyak RM100,000 bagi menarik balik SD pertama, namun rekod tersebut tidak diperdengar kepada hadirin.

Selain itu, Balasubramaniam juga tidak menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan para pengikut twitter di #tanyabala berkenaan secara terus tetapi Badrul Hisham bertindak menyaring serta memilih soalan yang perlu dijawab penyiasat persendirian tersebut.


Salah seorang pengguna twitter @lisajariffin turut mencabar Badrul Hisham yang menggunakan nama @chegubard supaya bekas calon Ketua Angkatan Muda Keadilan itu bertanya kesemua soalan yang dikemukakannya di twitter bagi membuktikan keikhlasan mereka dalam pendedahan kes tersebut.


Balasubramaniam serta Badrul Hisham juga tidak membuka ruang kepada hadirin untuk bertanya soalan dan kemudiannya penyiasat persendirian itu `melarikan diri’ ke kereta yang sedia menunggunya bagi mengelakkan diri daripada ditemui para pemberita selepas selesai ceramah. - UTUSAN

UMNO AKAN HAPUSKAN KETUANAN MELAYU ...???


Ketuanan Melayu mesti 'dihumban' keluar - Nizar

LUMUT 27 Feb. - Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan konsep ketuanan Melayu yang diamalkan di negara ini sejak 55 tahun lalu mesti dihapuskan serta 'dihumban' keluar daripada arus politik negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu mendakwa, konsep ketuanan Melayu hanya menanam sifat kebencian terhadap kaum sekali gus membawa kepada ketidakadilan dan kezaliman.
Sambil menggunakan petikan Surah Al-Maidah ayat 8, Mohammad Nizar ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Fasa 3B Manjung di ini malam tadi berkata, konsep ketuanan Melayu tidak dibenarkan Islam.
"Allah kata Aku tidak terima ketidakadilan. Melayu ditanam sifat benci kepada Cina dan India, Cina ditanam sifat benci kepada Melayu dan India, India ditanam sifat benci kepada Cina dan Melayu.
"Setelah 55 tahun berlalu, kita lihat ketidakadilan ini berlaku. Kalau hendak bawa kembali kepada takwa, hilangkan ketuanan Melayu. Dalam Islam, yang hanya dibenarkan adalah ketuanan syarak," katanya.
Mohammad Nizar turut mendakwa, prinsip ketuanan Melayu tidak tercatat dalam sumber berasaskan al-Quran mahupun as-Sunnah, justeru konsep itu harus 'dihumban keluar'.
Mengambil contoh kaum 'Ad dan Thamud, pemimpin Pas itu menegaskan, sesuatu bangsa itu tidak pernah mempertahankan agama, sebaliknya agama yang sepatutnya membela bangsa.
Dalam kuliah maghrib itu, Mohammad Nizar juga mengambil kesempatan menyeru orang ramai supaya membuat keputusan yang betul pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dengan memilih kerajaan yang tidak mengamalkan rasuah.
"Di akhirat nanti, Allah nak tanya kita. Soalan pertama siapa tuhan kamu? Soalan kedua siapa kerajaan yang memerintah hari ini? Boleh semak surah ke-40 ayat 16," ujarnya.


Wednesday, February 27, 2013

ANWAR MASIH RELEVAN JADI PM -NIK ...


Anwar relevan sebagai ketua pembangkang - Hasan

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi relevan dalam konteks kepimpinan politik negara termasuk dilantik sebagai Perdana Menteri berikutan masalah moralnya yang tidak berkesudahan.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, dalam soal agama juga Anwar tidak mampu menghujah balas kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadapnya terutama berhubung isu pluralisme dan liberalisme.
"Rakyat sebenarnya sudah muak dengan apa yang berlaku dan tidak mampu lagi menanggung aib disebabkan masalah moral yang bertimpa-timpa tanpa berkesudahan.
"Apa yang berlaku kepada Anwar akan dipalitkan kepada majoriti penduduk negara ini yang terdiri daripada penduduk Melayu Islam,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas ketiadaan kata sepakat dan ketetapan bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Dalam pada itu, Hasan berkata, petunjuk kepada penolakan kepimpinan Anwar menjadi semakin menyeluruh berdasarkan kepada ulasan, pandangan, pemerhatian dan kajian yang dilakukan para intelektual.
Beliau berkata, penemuan itu berjaya meyakinkan rakyat bahawa tidak ada gunanya mana-mana pihak termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membazirkan masa memberikan pelbagai alasan untuk terus menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Mengenai Pas pula, beliau berkata, parti itu kini kelihatan seolah-olah baru sedar daripada lamunan iaitu majoriti orang Melayu yang bakal menjadi pengundi mereka telah menolak Anwar.
"Seingat saya, sewaktu masih di dalam Pas, saya adalah di antara pimpinan Pas yang daripada awal-awal lagi mencadangkan supaya Perdana Menteri Malaysia mesti datang daripada jalur kepimpinan Pas.
"Bahkan saya telah menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon yang paling layak jika dibandingkan dengan Anwar,'' katanya lagi.
Sementara itu, Hasan mahu rakyat bangkit menolak pakatan pembangkang kerana jelas terbukti gabungan tiga parti pembangkang itu tidak boleh bersatu.
"Bukti pakatan pembangkang tidak boleh bersatu adalah begitu terang dan jelas terutama isu siapa bakal menjadi Perdana Menteri.
"Rakyat tidak sepatutnya memperjudikan masa depan negara dengan mengizinkan pembangkang menguasai Putrajaya kerana ia juga bererti kita reda melihat anak bangsa menerima bahana daripada ketidakprihatinan kita itu,'' ujarnya.

WAJIB LULUS BAHASA MANDARIN ...???


Agenda cauvinis Cina DAP dalam manifesto - Blog

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Sebuah blog hari ini mempersoalkan tindakan pembangkang yang menyelitkan agenda cauvinis Cina, Dong Zong di bawah DAP dalam manifesto mereka yang dilancarkan Isnin lalu.
Perkara yang dimaksudkan ialah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan menerima pakai kelayakan bagi permohonan kerja.
Blog Apa Kecoh-kecoh berkata, hal itu ni bertentangan dengan agenda utama kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, kerajaan BN sentiasa menggalakkan semua kaum bercampur-gaul sesama mereka supaya persefahaman dan persahabatan dapat dipupuk sejak dari kecil.
Ikuti ulasan mengenai isu tersebut di http://apakecoh2.blogspot.com/2013/02/agenda-cauvinis-cina-dalam-manifesto.html -


UMNO HALAU PENDUDUK MISKIN ....???


Kerajaan DAP terdesak, "halau" 38 keluarga MPPP

PULAU PINANG 27 Feb. - Sebanyak 38 keluarga kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) "dihalau" keluar dari kuarters mereka di Jalan SP Chelliah, Sungai Pinang di sini bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah mampu milik.
Kesemua kakitangan terbabit telah menerima surat arahan agar mereka berpindah ke Taman Sri Pinang selewat-lewatnya 15 Mac ini.
Bagaimanapun, kebanyakan mereka berat hati untuk berpindah berikutan keadaan rumah yang bakal mereka diami dikatakan ‘tidak selamat’.
Bekas Timbalan Presiden Kesatuan Buruh MPPP, Mohd. Rofi Osman berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah terdesak untuk meraih sokongan pengundi sehingga sanggup mengambil keputusan sedemikian.
"Walaupun mereka tinggal di kuarters, proses pemindahan yang dilakukan seakan-akan ada agenda tersirat kerana tempoh diberikan terlalu singkat, lagi pun kediaman baru itu mempunyai pelbagai masalah.
"Bukan mereka tidak mahu tinggal di sana (Taman Sri Pinang) tetapi keadaannya teruk seperti lantai jubin pecah, paip tersumbat dan masalah penyelenggaraan lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yang hadir sama Presiden Pertubuhan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Aminah Abdullah.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini melancarkan pendaftaran minat untuk 1,840 rumah mampu milik di dua kawasan iaitu Jalan SP Chelliah dan Bandar Cassia, Batu Kawan.
Mohd. Rofi yang juga bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bukit Bendera berkata, MPPP sepatutnya menjaga kebajikan kakitangannya daripada menjadi kuda tunggangan pihak lain yang bermotifkan politik.
"Ini bukan perkara remeh kerana ia bukan melibatkan kakitangan MPPP sahaja malah keselamatan keluarga mereka juga akan terancam," ujarnya. - UTUSAN


Tuesday, February 26, 2013

KAMI NAK HADI AWANG JADI PM




KUALA LUMPUR 25 Feb. - Persoalan siapa bakal menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya semakin panas selepas Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menegaskan, jawatan itu tidak semestinya menjadi milik Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan pemimpin kanan Pas itu dilihat bakal menghangatkan lagi hubungan parti tersebut dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana sebelum ini tersebar khabar angin yang mendakwa Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar daripada menduduki jawatan berkenaan.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga tokoh dengan latar belakang ulama dalam Pas, terdapat dua faktor untuk melayakkan seseorang itu menjadi Perdana Menteri pembangkang iaitu jumlah kerusi yang dimenangi parti dan persetujuan semua parti komponen dalam pakatan pembangkang.
Beliau menegaskan, walaupun semua pihak sebelum ini secara dasarnya bersetuju Anwar bakal menjadi Perdana Menteri pembangkang namun dalam keadaan sekarang, parti komponen harus mengikut status quo iaitu parti yang memenangi paling banyak kerusi.
"Saya percaya kita perlu mengambil kira keputusan pilihan raya serta melihat parti mana yang lebih dominan dari segi memenangi kerusi selain persetujuan semua parti komponen kerana ia boleh menentukan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri (mewakili pembangkang).
"Itulah sebabnya mengapa saya terus menggesa seluruh ahli dan jentera pilihan raya kami untuk bekerja keras dalam memenangi pilihan raya umum nanti," katanya sebagaimana dipetik menerusi blog di http://www.mole.my hari ini.
Sebelum ini, ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu, Kelantan, wakil Dewan Ulama, Hairul Nizam mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri dan kenyataan beliau kemudian disokong beberapa lagi pemimpin Pas.
Malah, ketika masih di dalam Pas, bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Dr. Hasan Ali pernah menyatakan secara terbuka Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri iaitu antara faktor yang dikatakan menyebabkan beliau 'ditendang' keluar daripada Pas.
Tuan Ibrahim berkata, spekulasi kononnya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bakal menjadi calon pilihan utama pakatan pembangkang sebagai Perdana Menteri cuma khabar angin.


TUHANKU ....DENGARKANLAH...!!!


YA ALLAH , KU BERDOA DI SEPERTIGA MALAM....,YA ALLAH KU BERMUNAJAT MEMOHON RAHMAT MU...., YA ALLAH KU BERSUJUD MENYEMBAHMU, MEMOHON KEAMPUNANMU...,

Ya Allah lindungilah agama dan negaraku dari segala malapetaka. Lindungilah rakyat dari bahaya dan bencana. Lindungi lah kami dari dendam api permusuhan. Lindungilah kami dari fitnah dan dusta.

Ya Allah berikanlah kami kejayaan dan ketenangan. Kau peliharalah pemimpin pemimpin yang jujur, adil dan beriman. Jangan kau berikan pemimpin yang jahil,jahat dan tidak bertanggungjawab menjaga negara kami. Peliharalah pemimpin yang jujur memimpin kami ke arah kejayaan negara kami....Tunjukkan jalan yang benar pada yang tersesat supaya mereka tahu jalan yang betul.

amin ya Rabbala'lamin.

Sunday, February 24, 2013

BEZA KAWAN DAN SAHABAT


Orang kata kawan dan sahabat adalah dua perkara yang berbeza. Kawan senang dicari tetapi tidak sahabat. Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja yang kita suka dan memiliki seberapa ramai kawan yang kita mahu. 
Namun sahabat hanyalah untuk orang tertentu sahaja. Sahabat lebih akrab hubungannya. Susah senang segalanya boleh dikongsi bersama. Dan kerana itulah kita sering mendengar kata-kata seperti ini; “waktu kita senang, ramai kawan yang menghampiri, tetapi waktu kita susah ramai kawan yang lari’. dan “kawan ketawa senang dicari, kawan menangis susah dicari”. 
Persahabatan tidak terjalin secara tiba-tiba tetapi memerlukan proses yang panjang seperti menajamkan besi. Persahabatan diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur, disakiti, diperhatikan, dikecewakan, didengar, diabaikan, dibantu, ditolak, namun semua ini bukanlah disengajakan apa lagi untuk menimbulkan kebencian. 
Kerinduan menjadi sebahagian daripada proses menjalin persahabatan. Semua orang pasti memerlukan sahabat sejati, namun tidak semua orang berjaya mendapatkannya. Ramai juga yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang kecewa kerana dikhianati sahabatnya. 
Antara perkara yang sering menyebabkan runtuhnya sebuah persahabatan ialah masalah perniagaan (wang), ketidakbukaan, ketidaksetiaan, perubahan perasaan, dan kehilangan kepercayaan. Mempunyai seorang sahabat sejati lebih berharga daripada seribu teman yang mementingkan diri sendiri. 
Memang tidak ramai antara kita yang mempunyai sahabat. Yang ramai ialah kawan. Mungkin ada orang menganggap pasangannya adalah juga sahabatnya. Dan tidak kurang juga yang menjadikan kawan sebagai sahabatnya. Yang pasti setiap daripada kita sekurang-kurangnya mempunyai seorang sahabat yang boleh kita berkongsi segala cerita. Dan juga sahabat itu sudah tentu kita percayakannya sepenuh hati. Sebagai seorang sahabat pula selayaknya dia memegang segala amanah, menyimpan segala rahsia sahabat itu tadi.
Kepercayaan antara salah satu perkara penting dalam bersahabat. Hilangnya kepercayaan sahabat kepada kita pasti meruntuhkan tali persahabatan. Sekali kita merosakkan kepercayaan seorang sahabat kepada diri kita sampai bila-bila dia tidak akan mempercayai kita. Lalu seumur hidup kita terpaksa menanggung sakitnya apabila tiada siapa mahu mempercayai kita lagi. Dilabel sebagai ‘tidak amanah’, tidak boleh dipercayai’ amat menyakitkan. Lalu bagaimana selayaknya kita sentiasa dapat menjadi seorang sahabat malah orang yang boleh dipercayai? 
1. Peganglah rahsia sahabat anda dengan baik kerana ia melambangkan nilai diri anda sebenarnya. 
2. Jangan sekali-kali bercerita hal keburukan orang. Bercerita perihal keburukan orang sebenarnya akan memberi kesan negatif pada diri anda. Orang akan menilai anda daripada sikap anda itu. 
3. Peliharalah rahsia orang terutama sekali hal-hal yang melibatkan maruah seseorang. Walau seberat manapun rahsia tersebut simpanlah ia dengan rapi. 
4. Bercakaplah yang benar, tidak perlu mereka-reka cerita semata-mata untuk meraih simpati orang. Apabila kebenaran terserlah tentu sekali anda akan dibenci dan tidak dipercayai. 
5. Jangan mengumpat di belakang, lebih baik mengata di depan walaupun ia akan menimbulkan pergaduhan. Ini adalah lebih baik daripada bermanis-manis muka di depan tetapi menikam kawan dari belakang. 
6. Berlaku baik dengan ikhlas bukannya disebabkan ada ‘agenda’ disebalik kebaikan itu. 

Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. 
Sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud; 
“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R. Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.” 
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya ; “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut : 
1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu. 
2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu. 
3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu. 
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik. 
5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu. 
6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya. 
7. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya. 
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu. 
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu. 
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu 
11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu. 
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan. 
13. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. 

4 KATEGORI SAHABAT 
SAHABAT YANG TAMAK: Ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri. 
SAHABAT HIPOKRIT: Ia berkenaan denmenyatakan bersahabat gan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang, ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong, dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup. 
SAHABAT PENGAMPU : Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan dibelakangmu dia merendahkan dirimu. 
SAHABAT PEMBOROS DAN SUKA HIBURAN : Ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ketempat-tempat hiburan dan pertunjukan. 
Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apapun berkawanlah. 

Saturday, February 23, 2013

JANGAN KITA MUDAH LUPA


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dif-Dif Kehormat;Para Pengasas UMNO;Ahli-Ahli UMNO; Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta`ala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama pada hari yang bersejarah ini.

2. Hari ini kita menempah satu lagi peristiwa yang bersejarah dalam riwayat UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Hari ini kita rayakan hari lahir UMNO. Pada 11 Mei 1946, di Istana Besar Johor Bharu, ini UMNO telah ditubuh dan dilancarkan sebagai parti politik dan alat bagi perjuangan orang-orang Melayu menangkis usaha British untuk menghapuskan bangsa Melayu, negeri-negeri Melayu dan sistem Raja-Raja Melayu.

3. Cadangan menubuhkan sebuah parti politik yang mewakili semua orang Melayu telah dipersetujui di perhimpunan pertubuhan-pertubuhan orang Melayu dari seluruh Semenanjung termasuk Singapura yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur dari 1hb. hingga 4hb. Mac, 1946.

4. Di zaman pemerintahan Tentera Jepun, orang-orang Melayu memikirkan jika British kembali semula, maka mereka akan diberi semula taraf kerakyatan negeri-negeri yang dilindungi oleh British dan mereka akan diiktiraf semula sebagai warganegara tunggal negeri-negeri Melayu. Hanya penduduk Pulau Pinang, Melaka dan Singapura sahaja yang ditakluk oleh British secara langsung yang akan menjadi rakyat British.

5. Tetapi setibanya sahaja British, mereka mengumumkan rancangan menyatukan semua negeri-negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka dalam sebuah jajahan takluk British terus yang dinamakan Malayan Union.

6. Semua penduduk berbagai kaum di wilayah berkenaan akan diberi taraf warganegara tanpa membezakan yang Melayu dan yang bukan, yang baru datang dan yang telah lama tinggal. Raja-Raja Melayu diberi peranan simbolik sahaja dan bertanggungjawab hanya terhadap adat istiadat Melayu dan agama Islam.

7. Taraf sama rata atau equal citizenship yang akan diberi kepada semua penduduk Tanah Melayu akan mendedahkan orang- orang Melayu kepada persaingan dari kaum-kaum lain yang tetap akan menjadikan orang Melayu kaum yang termiskin dan daif di Malaysia. Pada ketika itu orang-orang Melayu hanya menjadi penanam padi, nelayan persisiran dan ada segelintir yang bernasib baik menjadi kerani kecil di jabatan-jabatan Kerajaan. Tidak ada di antara mereka ahli peniaga atau ahli profesional. Demikianlah pemerintahan British sehingga tanda-tanda bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah negeri asal orang Melayu sudah hampir luput. Bandar-bandar terutamanya tidak sedikitpun mencerminkan kebudayaan Melayu. Jika ada orang Melayu di bandar mereka tinggal di kawasan-kawasan miskin di pinggir bandar atau di kawasan tanah rizab.

8. Keadaan orang Melayu semasa pemerintahan British samalah dengan orang Red Indian di Amerika Syarikat. Lebih kuat British berkuasa lebih buruk kedudukan orang Melayu. Di Negeri-Negeri Selat, iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang orang-orang Melayu memegang jawatan-jawatan rendah sahaja. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan, keadaannya baik sedikit, dengan beberapa elite dari golongan pembesar negeri memegang jawatan pentadbir. Di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, di mana British kononnya boleh memberi nasihat sahaja, kakitangan Kerajaan kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu walaupun ketua jabatan terdiri daripada pegawai-pegawai British.

9. Di bandar-bandar tidak ada orang-orang Melayu berniaga di kedai-kedai batu. Bilangan penjaja Melayupun lebih kecil daripada kaum lain. Tidak ada sama sekali pengusaha Melayu. Di kawasan-kawasan kediaman orang-orang berada tidak terdapat barang sebuah pun rumah orang Melayu. Pendek kata di bandar-bandar besar orang-orang Melayu menjadi kaum asing yang tidak mempunyai tempat. Jika British bertimbangrasa sedikit, orang-orang Melayu ditempatkan dalam kawasan rizab Melayu seperti Red Indian.

10. Di estet dan lombong juga tidak kelihatan orang-orang Melayu. Bukan sahaja mereka tidak memiliki punca kekayaan ini, tetapi juga mereka tidak berpeluang bekerja. Mungkin mereka tidak berminat bekerja dalam lombong atau menjadi penoreh getah, tetapi jawatan-jawatan dalam syarikat- syarikat juga tidak terdapat kepada orang-orang Melayu. Selain daripada kebun kecil getah yang dimiliki oleh beberapa kerat orang Melayu, mereka sekali lagi menjadi orang asing dalam estet dan lombong. Di sini bukan tempat mereka. Ini adalah seolah-olah negara asing di mana mereka tidak boleh faham bahasa yang ditutur atau ditulis.

11. Walaupun British mengakui sebelum perang dunia kedua dalam perjanjian mereka dengan negeri Melayu bahawa Semenanjung ini adalah Semenanjung Melayu, atau Malay Peninsular, tetapi selain daripada kawasan sawah dan kawasan-kawasan yang terpencil, Semenanjung ini sudah dijadikan negara orang bukan Melayu.

12. Demikianlah kedudukan orang-orang Melayu sehingga jika mereka terpaksa bersaing dengan kaum lain, mereka tetap akan kalah dalam semua bidang dan akan menjadi kaum yang termiskin dan daif sekali dalam negeri-negeri Melayu. Jika mereka berpeluang menjadi petani dan memiliki sawah padi di zaman British, sebabnya ialah kawasan sawah padi telah dirizabkan bagi mereka. Di mana sawah tidak dirizabkan, kaum lain dengan mudahnya mengambil alih dan mengerjakannya.

13. Jika semua penduduk berbagai kaum di Malaya diberi kerakyatan dan hak samarata dan persaingan dalam semua bidang dibenarkan tanpa apa-apa sekatan, bukan sahaja KeMelayuan negeri-negeri Melayu akan luput, tetapi juga orang-orang Melayu akan diperhambakan di tanahair mereka sendiri. Ini tidak bermakna bahawa mereka tidak mampu mempertingkatkan taraf mereka, tetapi penjajahan oleh British yang mengutamakan kepentingan ekonomi diri mereka semata-mata telah menyebabkan orang Melayu tertinggal begitu jauh sekali sehingga kemungkinan mereka berupaya bersaing atau mengejar kaum-kaum lain tanpa pertolongan sudah tidak ada.

14. Kita sering mendengar ungkapan `yang miskin menjadi lebih miskin, yang kaya lebih kaya`. Ungkapan ini memang mempunyai asas pada masa penjajahan British. Yang miskin tidak mempunyai sebarang modal, iaitu pelajaran, wang ringgit, peluang, kredibiliti, contacts, pengalaman, tempat, kebolehan meminjam modal dan lain-lain fakta lagi yang boleh menolong mereka meningkatkan ekonomi dan taraf hidup mereka. Sebaliknya yang kaya mempunyai semua fakta-fakta yang boleh menolong mereka menjadi lebih kaya dengan lebih cepat. Dengan itu jika persaingan secara terbuka dan bebas diadakan antara rakyat yang mempunyai hak sama rata, semakin lama semakin jauhlah jarak perbezaan antara yang miskin dengan yang kaya. Dalam keadaan ini benarlah ungkapan `yang miskin menjadi lebih miskin, yang kaya lebih kaya`.

15. Di zaman British orang-orang Melayu adalah kaum yang miskin dan orang-orang bukan Melayu rata-ratanya adalah kaum yang lebih kaya. Jika taraf yang sama rata diberikan kepada semua penduduk Malaya mengikut rancangan Malayan Union, orang-orang Melayu yang sudah miskin dan serba ketinggalan tetap akan menjadi lebih miskin dan mereka yang lain lebih kaya. Jarak pencapaian antara kaum-kaum akan menjadi lebih jauh dan tidak mungkin boleh dirapatkan semula.

16. Sebab itu, apabila British mendakwa bahawa Malayan Union adalah langkah ke arah pemerintahan sendiri, ramai orang Melayu pada masa itu menyatakan mereka tidak mahu pemerintahan sendiri -- tidak mahu kemerdekaan. Mereka menulis kepada akhbar Majlis menyatakan mereka mahu naungan British diteruskan untuk keamanan dan tunjuk-ajar dalam bidang pentadbiran.

17. Kita menganggap sikap seperti ini adalah aneh tetapi memanglah orang-orang Melayu sendiri pada masa itu kurang kepercayaan kepada kebolehan mereka dalam semua bidang, dan ketidakmampuan mereka untuk bersaing dengan kaum-kaum lain. Mereka yakin tanpa perlindungan British, kacau-bilau akan berlaku dalam negeri-negeri di Semenanjung termasuklah Negeri-Negeri Selat dengan kemungkinan negeri-negeri ini jatuh ke tangan bangsa asing, khususnya orang Cina Komunis yang pada masa itu mempunyai pasukan gurila yang sedang mengganas di merata tempat di Semenanjung.

18. Ramai orang-orang Cina pada masa itu masih mengibarkan bendera Kuomintang dan menganggap diri mereka rakyat Negara Cina dan Negara Cina pula mengakui semua orang Cina di mana juga mereka berada sebagai rakyat Negara Cina. Tidaklah menjadi sesuatu yang luar biasa, pada fikiran orang Melayu, jika Negara China memberi pertolongan kepada rakyat mereka dalam usaha merebut negeri-negeri Melayu.

19. Selepas tamat perang Dunia Kedua dan sebelum sempat tentera British kembali ke Malaya, gurila Komunis telah bermaharajalela. Mereka telah mengambilalih balai polis di beberapa kawasan terpencil dan menaikkan bendera Komunis Bintang Tiga dan Bintang Satu. Ada orang-orang kampung yang dibunuh untuk menakutkan mereka supaya mereka menerima pemerintahan Komunis. Memang hasrat Komunis untuk mendirikan Republik Komunis di Malaya.

20. Apabila British mendirikan Pemerintahan Tentera, mereka mengiktiraf dan menghalalkan Parti Komunis Malaya. Dalam sekelip mata Parti Komunis Malaya telah menubuhkan kesatuan- kesatuan sekerja yang dikuasai oleh Komunis. Mereka bergerak bebas dan sombong kerana mereka yakin Malaya akan jatuh ke tangan mereka. Hanya apabila mereka melancarkan perang gurila pada 1948 baharulah pihak British bertindak.

21. Ketakutan orang-orang Melayu yang disebabkan oleh kedaifan mereka dan oleh berbagai kemungkinan ini, telah membawa kepada kesedaran politik luar biasa. Dari bangsa yang tidak pernah mendatangkan masalah kepada pemerintahan British, mereka telah bangun untuk menentang rancangan Malayan Union British dengan kerasnya.

22. Pada mulanya penentangan dibuat secara berasingan di negeri masing-masing. Ini tidak berkesan. Pihak British terus juga menghantar MacMichael untuk mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu.

23. Raja-raja Melayu pula pada ketika itu tidak ada hubungan dengan rakyat dan tidak pula mengharapkan sokongan daripada rakyat. Mereka berasa lemah dan kedudukan mereka bergantung semata-mata kepada British. Sebelum daripada Malayan Union pun, ada masanya bakal raja disingkir dan digantikan dengan anggota keluarga di Raja yang lain kerana tidak mematuhi kehendak British. Tidaklah hairan jika Raja- Raja menandatangani perjanjian Malayan Union yang dibawa oleh MacMichael, iaitu menyerahkan hak mereka dan hak orang- orang Melayu.

24. Memandang bahawa tindakan berasingan oleh kumpulan- kumpulan kecil Melayu di negeri masing-masing tidak dihiraukan oleh British, maka desakan dibuat supaya orang- orang Melayu dari semua negeri di Semenanjung bersatu-padu dan bergerak bersama dan serentak. Akhirnya pada 1hb Mac 1946, pertubuhan-pertubuhan dan kesatuan-kesatuan sosial Melayu telah mengadakan Kongres Melayu Se Malaya yang pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Sesuatu yang menarik di majlis itu ialah persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor yang berkenan merasmikan pembukaan Kongres ini. Inilah kali pertama raja bersama rakyat dalam menghadapi masalah dengan British. Tarikh dan peristiwa ini tidak kurang pentingnya kepada perjuangan nasib orang-orang Melayu dari tarikh keramat 11 Mei di waktu mana UMNO ditubuhkan secara rasminya.

25. Selain daripada Party Kebangsaan Melayu Sa-Malaya atau Malay Nationalist Party (MNP) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin dan sebuah pertubuhan lain, 39 pertubuhan yang lain sebulat suara bersetuju menubuhkan sebuah parti politik orang-orang Melayu di peringkat nasional yang dianggotai oleh semua pertubuhan yang hadir dalam Kongres dan pihak- pihak lain yang bersetuju menyertainya. Allahyarham- allahyarham Dato Onn, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Zainal Abidin dan Dato Nik Kamil adalah antara tokoh-tokoh terkenal yang dipilih untuk menubuhkan PEKEMBAR, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau UMNO - United Malays National Organisation, nama yang diilhamkan daripada nama Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations Organisation (UNO).

26. Sementara usaha-usaha menubuhkan UMNO dilaksanakan, kegiatan menentang Malayan Union tidak dikurangkan. Pada 11 Mei 1946 di Kongres Melayu ketiga yang diadakan di Istana Besar Johor Bahru, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO ditubuhkan dengan rasminya. Hanya Malay Nationalist Party atau MNP sahaja yang tidak menyertai UMNO.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

27. Sejarah perjuangan orang-orang Melayu dan sejarah UMNO perlulah diketahui oleh semua ahli UMNO. Keahlian tidak bermakna jika kita tidak tahu asal-usul kita. Sejarah kita adalah pengajaran bagi kita, adalah panduan perjuangan kita.

28. Kita lihat daripada sejarah yang menunjukkan bagaimana lemahnya orang-orang Melayu apabila mereka menganggap diri mereka sebagai rakyat negeri-negeri yang berasingan. Mereka memang sudah lemah kerana mereka tidak mempunyai orang-orang yang terpelajar, profesional, ahli-ahli peniaga yang kaya, pekerja mahir dan cekap, penglibatan dalam berbagai bidang usaha yang penting dan lain-lain lagi kelemahan. Tetapi apabila mereka membahagi-bahagikan diri mereka kepada rakyat negeri masing-masing dan bertindak secara berasingan, mereka menjadi lebih lemah. Sebab itulah walaupun terdapat tentangan daripada orang-orang Melayu apabila sahaja Malayan Union diumumkan, pihak British tidak sedikit pun menghiraukan tentangan ini. Mereka meneruskan sahaja rancangan mereka itu.

29. Apabila orang-orang Melayu disedarkan bahawa tindakan secara berasingan tidak berkesan, maka pada ketika itulah desakan dibuat oleh berbagai pihak supaya disatupadukan orang-orang Melayu sebagai satu bangsa bagi menentang rancangan British. Dan kita telah melihat bagaimana berkesannya perjuangan orang-orang Melayu setelah mereka bergabung tenaga melalui Kongres Melayu Se Malaya dan kemudian, dengan lebih tepat lagi, melalui UMNO.

30. Walaupun British sudah melancarkan Malayan Union secara rasmi, akhirnya mereka terpaksa menarik balik Union itu; satu tamparan hebat kepada sebuah kuasa dunia yang terkenal kerana kepintaran pemerintahan kolonial mereka. Semua ini adalah hasil semangat, kesedaran dan perpaduan orang-orang Melayu.

31. Jika kita disoal apakah yang memberi kejayaan kepada satu bangsa yang begitu lemah, iaitu bangsa Melayu pada tahun 1946, jawapannya ialah semangat perpaduan yang berjaya mengumpulkan orang-orang Melayu dari negeri-negeri yang berasingan, dari pertubuhan-pertubuhan yang berlainan, untuk menghadapi ancaman terhadap bangsa mereka. Inilah semangat yang muncul pada 1946 apabila bangsa diancam dengan kemungkinan dihapuskan.

32. Orang-orang Melayu menangkis usaha-usaha British untuk memecah-belahkan mereka. Sebaliknya mereka bersatu-padu. Orang-orang atasan juga sanggup bergabung tenaga dengan rakyat jelata dan rakyat memberanikan diri mendesak Raja- Raja supaya menentang British.

33. Tidak pernah berlaku dalam sejarah bangsa Melayu di mana mereka begitu kuat bersatu. Yang mencacatkan sedikit ialah kelakuan Malay Nationalist Party atau MNP yang bukan sahaja mengasingkan diri daripada UMNO, tetapi juga semasa orang-orang Melayu berjuang untuk menghapuskan Malayan Union, mereka mengadakan kerjasama dengan All Malaya Council of Joint Action atau AMCJA, sebuah gabungan kiri yang menyokong Malayan Union. Tetapi MNP adalah pertubuhan yang kecil yang mendapat sokongan daripada hanya segelintir orang-orang Melayu. Ramai daripada penyokong MNP telah berpihak kepada UMNO apabila mereka melihat gerak-geri para pemimpin MNP.

34. Dengan MNP menjadi lumpuh, perpaduan Melayu dalam UMNO menjadi begitu kuat sehingga UMNO boleh menggerakkan orang- orang Melayu di seluruh Semenanjung bertindak serentak dengan pendirian yang sama pada bila-bila masa. Apabila UMNO memutuskan orang-orang Melayu berkabung sebagai tanda penolakan Malayan Union, orang-orang Melayu di seluruh Semenanjung berkabung. Apabila disuruh memulaukan segala istiadat menyambut Malayan Union, mereka semua mematuhi arahan itu.

35. Pihak British yang dahulu tidak menghiraukan pendapat orang-orang Melayu kerana mereka berpendapat orang-orang Melayu adalah satu bangsa yang tidak berwibawa yang boleh diketepikan dengan mudah, terpaksa menukar sikap apabila UMNO ditubuhkan. Jika dahulu mereka tidak menghormati pemimpin-pemimpin Melayu selepas UMNO ditubuhkan, British terpaksa berunding dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan memberi pertimbangan yang wajar kepada pendapat dan pendirian UMNO. Dan ini dibuat di peringkat yang tertinggi sekali iaitu dengan melibatkan Gabenor British dan Kerajaan di London.

36. Dengan tertubuhnya UMNO hasil daripada semangat perpaduan yang tidak mementingkan diri, dengan sokongan sebulat suara kepada pemimpin-pemimpin UMNO, maka pengaruh dan kuasa orang-orang Melayu meningkat. Raja-Raja juga mengakui kekuatan UMNO dan menerima pandangan UMNO. Raja- Raja yang sebelum UMNO wujud telah menandatangani triti MacMichael menolak perjanjian rasmi itu dengan beraninya dan mengambil langkah untuk menentang Malayan Union.

37. Demikianlah satu bangsa yang lemah menjadi satu bangsa yang berwibawa dan dihormati. Perjuangan orang-orang Melayu tidak diasaskan kepada kekayaan, kepada kemampuan mengadakan revolusi bersenjata, kepada apa-apa jenis kekerasan. Asas perjuangan Melayu ialah perpaduan mereka. Semangat perpaduan yang tidak mementingkan diri inilah yang memberi kejayaan kepada perjuangan orang-orang Melayu.

38. Di waktu Kongres Melayu Sa-Malaya dan penubuhan UMNO, tidak sesiapapun berasa irihati dengan tempat yang utama dan tinggi yang diberikan kepada Allahyarham Dato Onn dan pemimpin-pemimpin lain. Sebenarnya ramai yang menolak jawatan-jawatan pada masa itu kerana mereka dengan ikhlas dan terus terang menyatakan bahawa mereka tidak layak kerana sebab-sebab tertentu.

39. Bukan sahaja yang tidak memegang jawatan tidak cemburu, tetapi juga mereka memberi sokongan yang penuh kepada pemimpin-pemimpin yang dipilih dan menggesa ahli-ahli pertubuhan mereka menerima kepimpinan parti. Apabila Allahyarham Dato Onn dan lain-lain pemimpin menjelajah ke seluruh Tanah Melayu, orang-orang Melayu melupakan perasaan kenegerian dan menyambut Allahyarham Dato Onn sebagai pemimpin bangsa Melayu.

40. Memang benar akhirnya Allahyarham Dato Onn diganti dengan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Yang Di-Pertua UMNO. Tetapi penukaran ini bukan disebabkan kerana Tunku meminati jawatan. Apa yang berlaku adalah perbezaan pendapat antara Allahyarham Dato Onn dengan majoriti pemimpin UMNO dan juga majoriti orang-orang Melayu.

41. Allahyarham Dato Onn bercadang menjadikan UMNO bukan lagi parti orang-orang Melayu, tetapi parti yang terbuka kepada semua kaum. Orang-orang Melayu pada masa itu belum merasa diri mereka terselamat, bahkan sekarang inipun mereka belum bersedia membuka UMNO kepada kaum-kaum lain. Oleh sebab itulah majoriti Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan ahli- ahli tidak bersetuju dengan cadangan Dato Onn. Jika beliau sanggup menerima pandangan majoriti ini, ahli-ahli UMNO sanggup terus menerima kepimpinan Dato Onn. Tetapi Dato Onn tidak mahu menukar pendiriannya dan oleh itu telah tidak mendapat sokongan majoriti.

42. Tidak ada kempen yang dijalankan oleh Tunku Abdul Rahman. Anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain pula tidak berebut-rebut untuk mendapat jawatan Yang di-Pertua yang dikosongkan oleh Allahyarham Dato Onn. Sebaliknya mereka bersetuju menjemput Tunku Abdul Rahman yang bukanpun ahli Majlis Kerja Tertinggi dan tidak terlibat dengan penubuhan UMNO. Tidak ada perasaan tamak kepada jawatan di pihak sesiapa. Yang dianggap penting ialah kredibiliti dan keutuhan UMNO dan kejayaan perjuangan orang-orang Melayu. Pada pendapat Allahyarham Tun Razak dan rakan-rakannya, Yang Teramat Mulia Tunku, kerana umur dan statusnya di Kedah, adalah orang yang boleh memberi imej yang baik kepada UMNO.

43. Dengan itu Tunku Abdul Rahman dijemput dan beliau menerima jawatan dan tugas Yang di-Pertua UMNO. Selain daripada mereka yang sependapat dengan Allahyarham Dato Onn, yang bilangannya kecil, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO merapatkan semula barisan mereka dan memberi sokongan yang penuh kepada Tunku Abdul Rahman. Kekuatan UMNO tidak terjejas. Pihak British tidak dapat mencari peluang atau alasan daripada `perpecahan` UMNO ini. Mereka terpaksa terus mengiktiraf UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman sebagai suara majoriti orang-orang Melayu. Justeru itu UMNO berjaya menuntut kemerdekaan.

44. Sekali lagi kita melihat semangat perpaduan dalam UMNO. Selepas peralihan kepimpinan kepada Tunku Abdul Rahman, tidak ada rebutan jawatan dalam UMNO walaupun pada tiap-tiap tahun UMNO mengadakan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi. Di peringkat cawangan dan bahagian pun pertandingan diadakan dengan sopan, tanpa kempen dan penggunaan wang. Jika adapun pertandingan di peringkat MKT, ianya adalah untuk ahli-ahli biasa MKT sahaja, tidak untuk Presiden, atau Timbalan Presiden, atau Naib Presiden. Hanya jika ada mana-mana kekosongan jawatan Naib Presiden oleh kerana kematian atau lain-lain sebab, maka baharulah ada pertandingan di peringkat Naib Presiden. Jika tidak, maka semua Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden menang tanpa bertanding.

45. Ketertipan dalam UMNO mengukuhkan parti dan memberi kredibiliti kepada pemimpin. Kerana pemimpin ada kredibiliti, pendapatnya dihormati dan dipercayai oleh semua pihak, sama ada British ataupun kaum-kaum lain. Maka mudahlah pemimpin menjaga kepentingan orang-orang Melayu.

46. Mungkin ada yang berpendapat ini tidak demokratik. Tetapi peristiwa tidak bertanding dan perlantikan semula berlaku sepanjang masa dalam demokrasi. Setiap kali kita mengadakan pilihanraya, ada sahaja yang menang tanpa bertanding. Di negara-negara lain pemimpin-pemimpin parti kerap juga dipilih semula tanpa bertanding.

47. Hasil daripada adat dan tradisi UMNO tidak merebut- rebut jawatan ini ialah parti yang kukuh dan stabil. Pemimpin UMNO dianggap suara parti apabila mereka berunding dengan pihak lain. Tidak ada sesiapa daripada dalam parti yang menolak pendapat yang disuarakan oleh pemimpin. Kuasa- kuasa yang diberi kepada pemimpin dihormati oleh semua pihak.

48. Ini tidak bermakna pemimpin boleh berbuat apa sahaja. Pengunduran Allahyarham Dato Onn adalah kerana beliau ingin membuat sesuatu yang tidak dipersetujui oleh majoriti orang- orang Melayu, bukan kerana Tunku Abdul Rahman ingin menjadi Yang Di-Pertua parti. Pemimpin hanya bebas bertindak asalkan tidak terkeluar daripada prinsip dan matlamat perjuangan parti. Selagi pemimpin tidak bertentangan dengan pendirian parti, ia akan disokong oleh semua anggota parti, walaupun kadang-kadang, seperti keputusan menubuhkan Malaysia dan penyingkiran Singapura, pemimpin tidak terlebih dahulu berunding dengan parti melalui Majlis Kerja Tertinggi. Tentangan oleh Allahyarham Syed Jaafar Albar terhadap pemisahan Singapura tidak mendapat sokongan daripada Majlis Kerja Tertinggi atau ahli-ahli biasa UMNO.

49. Tradisi dan adat UMNO tidak mencabar kepimpinan parti menjadikan UMNO tenang, kuat dan berkesan. Tidak semua yang dibuat oleh pemimpin dipersetujui 100% oleh ahli-ahli. Demikian dalam peristiwa 13 Mei 1969, ada ahli-ahli UMNO yang berpendapat bahawa pemimpin pada ketika itu bersalah. Mereka ini disingkirkan daripada UMNO tanpa menjejaskan kewibawaan parti walaupun pendirian mereka menarik dan mendapat simpati daripada ramai ahli.

50. Secara halus dan tertib, pendirian ahli-ahli UMNO disampaikan kepada pemimpin berkenaan dan beliau menarik diri secara terhormat dan timbalannya mengambil tempat tanpa rebutan. Demikianlah seperti rambut ditarik tanpa tepung berkecai. UMNO terus kuat dan pemimpin barunya mendapat kesetiaan ahli-ahli dan tidak kurang dihormati oleh orang- orang luar. Tidak ada perpecahan berlaku. Mereka yang bersimpati dengan Tunku tidak membuat angkara. Tunku sendiri tidak sengaja mencuba subvert atau melemahkan kepimpinan Allahyarham Tun Razak, walaupun ada tanda-tanda Tunku tidak begitu bersetuju dengan tindakan-tindakan Tun Razak sebagai pemimpin parti dan Perdana Menteri.

51. Semangat perpaduan dan tradisi serta sopan-santun bangsa Melayu telah berjaya membentuk sebuah parti politik yang kukuh di kalangan rakyat satu bangsa yang hampir tidak mempunyai pengalaman dalam bidang politik, jauh sekali politik berparti dalam demokrasi. Di segenap kampung, walau bagaimana terpencil sekalipun, cawangan-cawangan UMNO ditubuhkan lengkap dengan Ketua, Setiausaha, Bendahari dan lain-lain ahli jawatankuasa. Jika ada sahaja pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, semua cawangan ini bergerak serentak dan menjalankan tugas-tugas yang diperlukan. Pada masa-masa lain, cawangan-cawangan terlibat dengan usaha- usaha pembangunan negara. Sementara itu diperingkat pemerintahan, Kerajaan pimpinan UMNO berjaya menyesuaikan diri dan menghadapi segala cabaran pentadbiran zaman yang moden dan mencabar ini.

52. Dengan perkataan lain, UMNO telah berjaya menjadikan orang-orang Melayu satu bangsa yang cukup sofistikated dalam bidang politik. Mereka boleh mengemblingkan tenaga orang- orang Melayu dalam satu jentera politik yang berkesan dan berwibawa sehingga sukar dikalahkan. Demikianlah berkesannya perjuangan UMNO, sehingga hari ini setiap orang Melayu, bahkan setiap rakyat Malaysia, secara langsung atau tidak langsung mendapat nikmat daripadanya.

53. Semua ini adalah hasil semangat, tradisi dan adat yang membawa orang-orang Melayu serta pertubuhan-pertubuhan mereka ke suatu Kongres pada 1 Mac 1946. UMNO ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946, kerana semangat, tradisi dan adat yang sama. Dan semangat, tradisi dan adat ini telah menjadi sebahagian daripada sifat-sifat UMNO sendiri sehinggalah pada tahun 1984.

54. Pada tahun 1984 Timbalan Presiden UMNO yang telah dipilih pada tahun 1981 dicabar. Segala nasihat supaya tidak melanggar tradisi dan adat UMNO dan orang-orang Melayu tidak dihiraukan. Semangat UMNO sudah luput dalam hati pencabar. Sebenarnya pada ketika itu ia sudah mengasingkan dirinya daripada UMNO. Tidak hairanlah kejadian-kejadian yang menyusuli usaha tokoh ini merebut jawatan Timbalan Presiden. Yang mendorongnya bukanlah semangat UMNO tetapi kepentingan diri yang mendesak supaya apa sahaja dilakukan termasuklah membinasakan UMNO.

55. Kita tidak perlu ceritakan tentang percubaan merebut jawatan Presiden oleh tokoh ini pada 1987. Kononnya tidak bersetuju dengan dasar. Kononnya kerana ekonomi negara meleset disebabkan Kerajaan tidak cekap. Kononnya diktator. Semua ini adalah alasan yang diada-adakan sahaja. Yang penting dan utama ialah rebutan jawatan Presiden untuk menjadi Perdana Menteri.

56. Hasil tekanan cita-cita besar ini ialah pada 4hb. Februari, 1988 UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram. UMNO yang diperjuangkan oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu pada tahun 1946, UMNO yang dimiliki oleh berjuta orang-orang Melayu, UMNO yang telah menjadi benteng kepada orang-orang Melayu dan negara, UMNO ini diharamkan kerana diseret ke mahkamah oleh orang yang ingin mendapat jawatan.

57. UMNO mempunyai jenteranya sendiri untuk menyelesaikan masalah tanpa campurtangan orang luar. Jika tidak ada kepercayaan kepada Majlis Tertinggi, boleh dirujuk kepada Perhimpunan Agung. Tetapi jentera parti diketepikan dan kuasa parti diserahkan kepada mahkamah. Inikah tindakan orang yang bersemangat UMNO? Inikah semangat UMNO pada tahun 1946 yang kononnya orang ini ingin pertahankan? Saudara-saudari tahu apa dianya semangat orang-orang Melayu dan UMNO pada tahun 1946. Apakah ada persamaan antara nafsu yang mendorongkan tindakan golongan yang menyebabkan UMNO diharamkan dengan semangat yang kita tahu terdapat di kalangan orang-orang Melayu dan UMNO sewaktu menentang Malayan Union? Apakah kerjasama dengan DAP umpamanya melawan UMNO mencerminkan semangat itu? 

58. Tidak sesiapa dapat menafikan bahawa UMNO yang ada sekarang mendapat sokongan majoriti yang besar daripada orang-orang Melayu. Bilangan ahli-ahli UMNO sekarang ini sudah sama dengan bilangan ahli-ahli UMNO dahulu, walaupun bilangan ahli-ahli dahulu tidak tepat dan diragukan. Tidak syak lagi bahawa ahli-ahli UMNO akan terus bertambah, insya- Allah. Mereka yang percaya dan inginkan perpaduan tidak boleh menolak UMNO kerana tanpa UMNO perpaduan tidak bermakna. Apakah dengan disatukan kumpulan-kumpulan serpihan dan minoriti orang Melayu dan menentang majoriti orang Melayu, maka perpaduan tercapai? Mereka yang inginkan perpaduan mestilah bersatu dengan pihak majoriti.

59. Apakah perpaduan bermakna jika masing-masing mempunyai tujuan yang berlainan, masing-masing ingin memperalatkan yang lain? Jika perpaduan hendak dicapai, maka masing- masing mestilah menyetujui akan asas dan dasar yang sama. Jika tidak, maka yang dilakukan bukanlah perpaduan tetapi satu pakatan sahaja.

60. Perpaduan hanya boleh dicapai dalam UMNO di mana ahli- ahli tahu dan menerima akan asas dan dasar perjuangan parti. Pintu UMNO masih terbuka. Jika benar ada orang yang mempunyai semangat 46 di luar UMNO, mereka harus menyertai UMNO. Hanya dengan bersatu dengan pihak majoriti sahaja baharulah perpaduan boleh dicapai. Apabila minoriti menentang majoriti, pecah-belah namanya.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

61. Perjuangan orang-orang Melayu belum tamat. Mereka belum mencapai tahap pembangunan yang boleh membantu mereka bersaing dalam masyarakat majmuk Malaysia dengan jayanya. Sudah tentu mereka belum sampai ke tahap untuk bersaing dengan bangsa-bangsa maju di dunia.

62. Justeru itu mereka masih memerlukan kuasa politik dan pengaruh yang kuat dalam Kerajaan. Dengan adanya UMNO orang-orang Melayu telah dapat mempertahankan kedudukan mereka sementara meningkatkan kebolehan mereka untuk bersaing dalam dunia yang penuh cabaran. Insya-Allah dengan diberi perlindungan dan peluang, mereka akan mencapai tahap kebolehan yang boleh menjamin kejayaan mereka. Tetapi sebelum itu mereka perlu kepada perlindungan kuasa politik dan Kerajaan.

63. Selagi pencapaian orang-orang Melayu belum sampai ke tahap yang boleh menjamin kejayaan masa depan mereka, selagi itulah orang-orang Melayu harus menentukan kemenangan mereka dalam bidang politik. Politik orang-orang Melayu masa kini bukan untuk mendapat tempat tertentu bagi diri sesiapa, tetapi untuk mempertahankan kedudukan orang-orang Melayu yang masih lemah. Demikianlah juga dengan UMNO. UMNO bukan alat sesiapa untuk mendapat jawatan yang tinggi, tetapi UMNO adalah alat perjuangan orang-orang Melayu.

64. Jika pada tahun 1946 orang-orang Melayu membentuk UMNO dan memilih Allahyarham Dato Onn sebagai pemimpin, tujuannya ialah kerana tanpa sebuah parti politik nasional dan seorang pemimpin dan jurucakap, perjuangan orang-orang Melayu melawan Malayan Union tidak mungkin berjaya. Pemilihan Allahyarham Dato Onn bukan untuk beliau menjadi orang besar. Jika ini berlaku, ia adalah secara kebetulan sahaja.

65. Sebabnya UMNO diteruskan selepas Malayan Union dibubarkan ialah kerana perjuangan orang-orang Melayu belum tamat. Orang-orang Melayu masih belum memerintah negara mereka sendiri selepas Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Berkat perpaduan yang berterusan orang-orang Melayu dalam UMNO, Perikatan telah menang 51 daripada 52 kerusi dalam pilihanraya 1955. Dengan majoriti yang besar ini pihak British tidak mempunyai helah bagi menolak tuntutan orang-orang Melayu untuk mendapat kemerdekaan.

66. Selepas merdeka pada tahun 1957, masalah orang-orang Melayu belum selesai. Apakah maknanya merdeka jika orang- orang Melayu masih mundur dalam segala bidang dan masih lemah? Jika Kerajaan dikehendaki menolong orang-orang Melayu, maka Kerajaan itu mestilah berteraskan Melayu. Melalui UMNO, sokongan orang-orang Melayu kepada Kerajaan dibulatkan dan langkah-langkah dapat diambil oleh Kerajaan bagi meningkat pencapaian orang-orang Melayu.

67. Perisitiwa 13 Mei 1969 mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak lalai dalam menjalankan tugas membantu orang-orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru atau DEB digubal kerana Kerajaan dikejutkan dengan peristiwa berdarah 13 Mei.

68. Tetapi kita belum mencapai matlamat DEB sepenuhnya. Walaupun kedudukan orang-orang Melayu sekarang begitu baik sehingga ada yang lupa akan sebabnya mereka tidak berasa cemas, tetapi ini adalah kerana UMNO masih ada untuk menentukan orang-orang Melayu terlindung. Jika UMNO tidak ada dan parti yang memerintah dianggotai oleh 40 wakil rakyat Melayu dan yang lainnya daripada kaum lain, seperti yang dirangka oleh kumpulan serpihan, orang-orang Melayu tidak akan mendapat perlindungan lagi. Pada masa itu kita akan balik kepada situasi semasa British memerintah, bahkan lebih buruk daripada itu.

69. Hari ini, 11 Mei, kita merayakan bukan sahaja kejayaan bapa-bapa kita membentuk UMNO, tetapi kita juga merayakannya supaya kita dapat memperingati dan menyedarkan diri kita akan perlunya kita meneruskan perpaduan orang-orang Melayu dalam UMNO dan kita meneruskan usaha-usaha untuk menjadikan orang-orang Melayu bangsa dan kaum yang berwibawa dalam negara kita.

70. Insya-Allah, jika kita seperti pada hari ini, tidak lupa akan sejarah dan asal-usul kita, jika kita tahu menghargai jasa mereka yang begitu berani dan bersemangat berusaha untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dan menubuhkan UMNO, jika kita insaf dan selalu bersyukur akan nasib baik kita, insya-Allah kita akan mendapat ganjaran lagi, kita akan mencapai kejayaan, kita akan menjadi bangsa yang gagah, yang mulia dan dihormati. Kita perlu ingat bahawa mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi berkali-kali segala kesalahan mereka dan akan menerima keburukan yang menimpa mereka terdahulu.

71. Mereka yang belum insaf, insaflah dan balik ke pangkal jalan. Mereka yang tahu insaf, insaflah dan bersyukur mudah-mudahan Allah S.W.T. akan mengurniakan lebih banyak kejayaan.

71A. Bagi negeri Johor dan bagi Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar, Sultan Johor, 11hb. Mei mempunyai makna yang istimewa kerana pada 11hb. Mei, 1982 Duli Tuanku telah diisytiharkan Sultan dan Yang Di-Pertua Negeri Johor Darul Rakzim.

72. Oleh itu rayakanlah hari ini, 11 Mei, sebagai hari yang mulia, hari yang bahagia, hari yang keramat bagi bangsa Melayu yang beragama Islam. Rayakanlah hari ini kerana kita semua berhak merayakannya. Mudah-mudahan anak-cucu kita dan seluruh zuriat kita tidak akan mudah menjadi orang yang tidak tahu berterima kasih kepada jasa.

73. Akhir kata saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada sekalian yang hadir dan semua orang Melayu. Saya mengucapkan selamat merayakan 11 Mei, hari bertuah dalam sejarah orang-orang Melayu dan sejarah negara kita Malaysia yang kita kasihi.Insya-Allah,akan berhasillah perhimpunan kita ini.

Wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

UMAT ISLAM BERSAUDARA


Kita sering menyebut dengan bangganya bahawa orang Islam adalah bersaudara. Kita petik ayat al-Quran yang berkata bahawa orang Islam hendaklah berpegang kepada tali Allah, iaitu agama Islam, dan janganlah bercerai-berai. Tetapi kadang-kadang kita menggunakan ayat ini untuk menghalalkan permusuhan sesama kita. Ada yang memanggil gerakan mereka Persaudaraan Islam atau Ikhwanul Muslimin yang bertujuan mengganas dan membunuh orang Islam lain.Mungkin ada sebabnya, mungkin orang Islam yang mereka musuhi kononnya zalim atau dianggap tidak begitu Islam dan perlu dibetulkan. Tetapi membinasa dan membunuh orang yang seagama tidak kurang zalim. Ia bukan cara menyelesaikan masalah antara kita.

Ini adalah kerana permusuhan akan dibalas dengan permusuhan, pembunuhan akan dibalas dengan pembunuhan.Dengan itu masalah hanya akan bertambah dan berterusan.Kebencian dan dendam mendendam akan meningkat dengan tiap kali keganasan dilakukan. Semakin lama semakin buruklah keadaan sehingga tidak mungkin ada penyelesaian lagi.

Friday, February 22, 2013

JANGAN BUAT KEROSAKAN



Janganlah Kamu berbuat Kerusakan Di Muka Bumi Selepas Kamu Memperbaikinya..!!

30 April 2010, Risalah dari Dr. Muhammad Badie’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin
Dengan nama Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah saw beserta keluarganya dan para sahabatnya serta orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat, selanjutnya…
Sesungguhnya sangatlah perlu setiap insan yang berakal waras (terutama orang-orang  yang membawa risalah perubahan pada zaman kita ini di manapun mereka berada) untuk berfikir dengan serius tentang masa depan planet bumi yang menjadi tempat kita hidup ini. Ia kini dikelilingi oleh bencana yang melanda dari segenap penjuru yang berpunca daripada perbuatan kita sendiri, baik secara langsung mahu pun tidak langsung.  Bencana tersebut mampu mengancam kita dan mengancam semua potensi serta kekayaan umat manusia, mulai dari pencemaran alam hinggalah kepada masalah pemanasan global, dari ancaman nuklear  hingga penjajahan moden yang terkutuk dengan segala bentuk permusuhan dan eksploitasinya; yang disasarkan kepada  masyarakat yang lemah dan negara-negara yang mundur untuk menghisap darah, mencuri sumber alam mereka dan menguasai keputusan dalam menentukan hala tuju negara mereka. Ini ditambah pula dengan keruntuhan aspek-aspek nilai, kecenderungan kepada materialistik dan menuruti hawa nafsu, yang mengakibatkan kepada keruntuhan akhlak, pelanggaran kehormatan diri, kezaliman ke atas hak yang sah dan lupa kepada hari pembalasan.
Beriman kepada Hari Pembalasan serta takutkan siksaan merupakan benteng yang dapat mengawal seseorang dari melakukan kezaliman terhadap manusia dan mengurangkan keangkuhan para pemegang kuasa dalam menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka. Keadaan dunia yang sedang diancam bahaya ini sepatutnya membangkitkan suatu kesedaran di kalangan para pemimpin dan ahli fikir dari pelbagai keturunan, warna kulit dan agama, untuk mengambil suatu pendirian yang tegas, menyeru dengan suara yang lantang agar dihentikan segala bentuk pencerobohan, kekejaman, kediktatoran dan kerosakan. Hal ini tidak sukar dilakukan kerana di sana terdapat pelbagai alat komunikasi yang moden serta canggih.

Inilah kami menyeru  mereka
Wahai para pemimpin dunia ..
Wahai para cendekiawan dunia ..
Wahai para pemegang amanah hak-hak manusia…
Seluruh manusia ..
Bersatulah dan bantu-membantulah antara satu sama lain dan gabungkanlah daya usaha kamu dalam berbagai-bagai pertubuhan masyarakat (NGO) untuk menyelamatkan manusia dari apa yang sedang menimpanya dan apa yang mengancam mereka jika situasi tetap seperti yang ada pada hari ini..
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. (Ar-Ruum:41)
Jika kita lontarkan pandangan secara menyeluruh terhadap sebab-sebab utama suasana yang terjadi ini sangatlah banyak dan pelbagai; kita dapati Allah telah menciptakan alam semesta sangat baik sejak dari awal kejadiannya, dan telah dipersiapkan  untuk manusia sebelum diciptakan Adam dan Hawa, dan Allah menjadikan semua manusia sebagai anak dari seorang ayah dan ibu, dan diberikan hak kepada manusia yang di antara ciri kehidupannya ialah sebagai khalifah di muka bumi dan bertanggung jawab untuk memakmurkannya ..
هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
“ Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya”. (Huud:61)
Di antara kemurahan Allah dan kebaikan-Nya kepada seluruh umat manusia ialah Allah telah menciptakan bumi ini dalam dua hari dan memberikan makanan di dalamnya dalam empat hari untuk  siapa yang memerlukannya. Ia bermaksud manusia sebenarnya berkongsi dalam semua unsur kehidupan di dunia. Justeru adakah ada peliharaan untuk manusia dari Tuhan mereka yang maha Pengasih yang lebih baik daripada ini?!
Dialah Allah SWT telah menyimpankan dan menyediakan kepada manusia bahkan kepada seluruh hidupan elemen kehidupan dan mata pencariannya masing-masing ..
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأَرْضِ إِلاَّ عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”. (Huud:6)
Sebagai contoh adalah tersimpannya minyak sesuai dengan keperluannya. Hasil minyak merupakan mukjizat Rabbani yang  sangat luar biasa, yang mampu tersimpan selama ratusan juta tahun di dalam tanah. Lantas setelah matang fikiran manusia dan melalui perkembangan teknologi dengan menemui pelbagai ciptaan baru yang akhirnya mampu mencipta alat-alat untuk menggali  tanah tersebut. Allah tetap memberikan petunjuk sehingga mampu mengekploitasi ‘harta karun’ untuk dimanfaatkan, dan ‘harta karun’ lainnya masih banyak, ia tetap ada dan tersimpan hingga hari kiamat.
وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ عِنْدَنَا خَزَائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلاَّ بِقَدَرٍ مَعْلُومٍ
“Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya; dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu”. (Al-Hijr:21)
Oleh kerana itu, apakah peranan manusia setelah melihat  dan menyaksikan semua kurnia Ilahi ini dan setelah disampaikan semua seruan ini?
يَا أَيُّهَا الإنْسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ
“Hai manusia, Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu yang Maha Pemurah”. (Al-Infithar:6)
Allah nyatakan dengan jelas bahawa nikmat yang telah dianugerahkan ini telah berubah menjadi sebab kepada pertikaian, menyuburkan kezaliman, peperangan dan kekejaman, sebagai usaha untuk menguasai sumber-sumber minyak, dan menyalakan api peperangan sehingga merosakkan tanam-tanaman dan ternakan, melakukan monopoli yang menjijikkan terhadap harta dan yang lainnya ini dan membahagi-bahagikannya melalui berbagai undang-undang dan persidangan yang jahat, sepertimana mereka telah mengagih-agihkan tanah jajahan kepada kuasa-kuasa  yang berpengaruh di mana-mana negeri yang dikuasainya. Oleh itu pada persidangan ”Sykes-Picot”, dan juga diikuti dengan perjanjian-perjanjian lainnya seperti perjanjian “Balfour” yang membuka jalan kepada pendudukan haram ke atas bumi Palestin. Kita melihat Congo sebahagiannya dijajah oleh Perancis, sebahagian lagi adalah Belgium, dan yang  ketiga adalah Portugal. Kita juga mendengar tentang Somalia Itali, Somalia Inggeris , Somalia Perancis dan Somalia Amerika.
Sementara itu, perang dingin dan perang panas untuk menguasai dan menduduki sesuatu daerah demi memperluas pengaruh masih terus berlangsung; Jika kita tidak berusaha menghentikan kerakusan ini, dan menuntut pengharaman segala bentuk eksploitasi dan kolonialisme maka kemungkinan kerakusan ini akan menelan seluruh potensi dan sumber kekayaaan alam Justeru semua manusia yang berakal dan bijaksana mestilah bangkit untuk menentang para pendokong kejahatan ini bagi menyelamatkan kapal yang kita naikinya di alam semesta ini. Ini kerana tujuan kita diciptakan adalah untuk bekerjasama bukan untuk bersengketa dan bermusuh…
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
“Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal”. (Al-Hujurat:13)
Tugas kita adalah melakukan pengislahan dan bukan  melakukan kerosakan. Kita tidak boleh membiarkan orang yang  melakukan kerosakan kerana tindakan mereka boleh membahayakan semua orang.
Dari segi yang lain, kita lihat orang-orang yang merenungkan ciptaan Allah akan mendapati secara jelas iaitu bagi mereka yang memiliki mata yang tajam dan akal yang cerdas bahawa Allah telah menciptakan keseimbangan dalam berbagai peranan kehidupan; ada peranan untuk oksigen dan ada untuk nitrogen, kedua, adanya karbon dioksida yang saling bertukar peranan antara tanaman dan haiwan, dengan manusia yang bermanfaat, sebagaimana mereka juga saling bertukar manfaat satu sama lain. Begitu pula peranan yang seimbang kepada air seperti laut dan darat,  pemeluwapan dan awan, hujan dan sungai kemudian mengalir ke laut dan ke darat lagi, dan dari peranan mineral dan garam dari tanah ke tanah.
وَأَنۢبَتۡنَا فِيہَا مِن كُلِّ شَىۡءٍ۬ مَّوۡزُونٍ۬
“Dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran”. (Al-Hijr:19)
Lalu, apakah layak mereka menjadi manusia yang bodoh dan tidak memahami hukum-hukum Allah di alam semesta ini kerana mereka sendiri melanggarnya, merosak serta membantutkan pusingan kehidupan dan selepas itu mengeluh tentang akibat yang ditanggung kerana perbuatan tangannya sendiri?!
Antaranya ialah berlaku pencemaran alam yang berpunca daripada kemajuan industri dan kegiatan ala mafia oleh pihak kapitalis. Mereka saling  bermuka-muka antara satu sama lain di dunia ini demi kepentingan dan keuntungan dengan mengorbankan kesihatan manusia dan hak asasi manusia; yang telah hancur dan luluh tanpa belas kasihan.
Contoh lain ialah berlaku pencemaran dalam pelbagai unsur kehidupan seperti udara, air, tumbuhan, haiwan termasuk juga manusia iaitu dengan menggunakan racun serangga sehingga sebahagian manusia yang berisiko mengidap kanser. Begitu juga penggunaan baja yang tidak selamat dan banyak lagi yang lainnya. Kemudian setelah berleluasa penyalahgunaan bahan tersebut akibat daripada kesilapan memahami hukum alam, lalu terjadilah bencana penyakit kanser yang pada hakikatnya adalah jenayah manusia terhadap manusia itu sendiri. Mesir merupakan salah satu Negara yang paling teruk di dunia yang rakyatnya berisiko terkena kanser.
Setelah itu semua, bagi mengatasi pelbagai sakit kronik yang dialami yang telah mengakibatkan kerugian yang tidak ternilai dari segi kemanusiaan dan kewangan, mereka cuba pula penanaman anggota dan ubatan antibiotic. Percubaan ini juga tidak menjamin kejayaan, sebaliknya kerugian yang terpaksa ditanggung adalah lebih parah lagi. Pendek kata, dalam apa jua keadaan manusia tetap menjadi mangsanya.
Contoh yang paling serius adalah pencemaran nuklier di mana telah diadakan satu Persidangan Khas tentang isu ini di New York, AS (walaupun AS adalah satu-satunya Negara yang pernah menggunakan senjata ini dalam sejarah). Kita berharap ini adalah langkah awal untuk memandu usaha serius ini seumpama senjata yang mempunyai serampang dua mata, iaitu mampu menjaga umat manusia dari bahaya senjata yang mudah tersebar. Tetapi apabila pihak Zionis memberikan tekanan pastilah akan menghalang usaha murni tersebut.
Terbukti mereka tidak hadir dan tidak ada komitmen untuk menghadiri persidangan, malah mereka berusaha merubah agenda perbincangan kepada soal keamanan bahan nukliar saja. Umat manusia tetap terdedah kepada risiko yang dikuasai oleh tangan yang penuh dengan lumuran kejahatan, kerusakan dan kedurjanaan, menaburkan kehancuran  di muka bumi, padahal Allah tidak menyukai kerusakan dan orang-orang yang melakukan kerusakan.
Ada bahaya lain yang sewajarnya menjadi peringatan bagi siapa yang memiliki akal, yang sebenarnya baru pada peringkat permulaan yang ramai manusia tidak menyedari tentang kejahatan yang dilakukannya kecuali setelah berlalu waktu yang lama; iaitu manipulasi proses genetik dan penggunaan kejuruteraan genetik yang sangat berbahaya dan jauh dari manfaat, di mana pengetahuan kita tentang hal ini pun masih terbatas.
Rentetan daripada pengetahuan kita ini yang sangat terbatas yang hampir kepada kejahilan telah mengakibatkan kepada musibah yang lebih besar lagi. Justeru orang-orang yang memiliki kepakaran dalam bidang ini perlu bersatu untuk menghentikan rancangan yang sia-sia ini. Kita menanti sampai pengetahuan kita benar-benar mendalam, maka selepas itu kita bergerak sesuai dengan ilmu pengetahuan, bukti klinikal dan cahaya dari Allah SWT.
Begitu juga masalah gejala sosial yang melanda umat manusia sebenarnya adalah hasil tangan manusia sejak permulaan hingga yang terkini. Ia adalah musibah yang telah terjadi dan tiada berkesudahan. Gejala social merupakan asas dari segala macam kerusakan dan kebejatan. Benarlah setengah ungkapan: “Sesungguhnya umat itu akan terus kekal kerana keutuhan akhlaknya. Jika lenyap akhlaknya maka hancurlah umat tersebut”.
Di antara bentuk kecelaruan terhadap pemikiran manusia ialah apabila mereka berada di bawah telunjuk hawa nafsunya tanpa ada kendali dari nilai-nilai agama samawi yang termaktub di dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Qur’an malahan tanpa ada pimpinan dari pemikiran yang matang .. Allah SWT telah menciptakan manusia laki-laki dan perempuan, dan dari keduanya berkembang biak laki-laki mahupun wanita, bahkan Allah menciptakan daripada keduanya saling berpasangan sehingga dapat melakukan reproduksi dan kelangsungan hidup. Justeru bagaimanakah manusia telah mencampur-adukkan gaya hidupnya dengan kebodohan dan hanya menuruti hawa nafsu yang menyelewengkan dari jalan yang benar. Lalu manusia telah menghancurkan fitrahnya yang asal seperti yang pernah dilakukan oleh kaum nabi Luth.
مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ
“(Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu), yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun di dunia ini sebelummu?” (Al-A’raf:80)
إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. (Al-A’raf:81)
Biarpun telah membawa kehancuran fitrah manusia dan penyebaran penyakit  seperti yang dialami oleh umat terdahulu dengan sebab kedurjanaan dan pelanggaran yang mereka lakukan mampu menghentikan proses kelangsungan manusia sebagaimana yang telah Allah ciptakan, namun mereka masih tetap tidak memiliki perasaan malu, malah kita dapati ada di antara mereka yang menuntut hak mereka. Jadi pemikiran apakah ini? Kebebasan apakah ini?!
Justeru, inilah Ikhwan Muslimin yang hanya memiliki secebis dari cahaya Allah dengan membawa risalah Islam yang syumul. Mereka dan semua Muslim di seluruh dunia bahkan seluruh pendokong perubahan yang sedar tentang bahaya membiarkan potensi manusia yang dimanipulasi oleh kepentingan dan hawa nafsu. Mereka yakin bahawa Allah akan membela dan menolong pendokong perubahan, kerana Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan dan penegakkan kebaikan dan membenci kerusakan dan pendokong  kerusakan…
وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الأَرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ
“Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam”. (Al-Baqarah:251)
Namun Allah memiliki dan menguasai kurnia ke atas manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
Marilah kita semua meyakini bahawa kegelapan dunia ini belum cukup kuat untuk memadamkan cahaya lilin, bahkan lilin yang sederhana ini mampu menghilangkan kegelapan yang pekat ini.
Begitu juga kita tidak boleh mengabaikan sebarang usaha yang tulus  yang diiringi dengan usaha yang jujur kerana sungai yang ada di dunia adalah gabungan daripada titisan-titisan air hujan.
Untuk akhirnya kami sampaikan firman Allah..
إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah Mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (At-Thalaq:3)
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=64060&SecID=213