Monday, July 8, 2013

SEMUA ORANG ADA HAK UNTUK BERJAYA

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak tanggapan hanya golongan meritokrasi sahaja berhak mencapai kejayaan.

Sebaliknya beliau menegaskan, kumpulan yang bukan kategori meritokrasi juga mempunyai hak untuk berjaya, asalkan peluang diberikan diguna dengan sebaik-baiknya.
Hakikatnya kata beliau, jika meritokrasi mutlak digunakan sepenuhnya sebagai ukuran tanpa mengambil kira faktor-faktor lain, akibatnya kelak yang kaya akan bertambah kaya manakala golongan miskin terus menjadi miskin.

"Kita harus ingat ada dalam kalangan kita yang gagal memperoleh merit disebabkan berlaku keadaan tertentu. Oleh itu mereka yang kurang berjaya harus juga diberi peluang.
"Kekayaan negara ini harus dikongsi bersama dan bukannya menjadi hak mutlak golongan meritokrasi. Mereka yang kurang berjaya juga harus diberi peluang agar mereka boleh bersama-sama muncul sebagai kumpulan masyarakat yang boleh meraih pendapatan lumayan," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku autobiografi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rahman Brothers Sdn. Bhd., Datuk Abdul Rahman Ibrahim bertajuk Mata-Mata Kini Permata di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini
Buku terbitan Utusan Publication & Distribution Sdn. Bhd. itu dijual dengan harga RM40 senaskhah.

Buku autobiografi itu menceritakan kisah hidup dan pengalaman Abdul Rahman yang juga merupakan bekas anggota cawangan khas lebih 30 tahun dalam bidang perniagaan.
Dr. Mahathir berkata, mereka yang tergolong di dalam kumpulan merit atau terbaik tidak boleh menjadikan alasan meritokrasi semata-mata untuk membolot setiap peluang demi kepentingan sendiri.

Atas asas itu katanya, kerajaan tetap membantu dan menawarkan peluang kepada golongan bukan merit untuk mencipta kejayaan dalam hidup sama ada di dalam pendidikan mahu pun perniagaan.

Apa yang penting jelas beliau, golongan terbabit khususnya orang Melayu mengambil peluang itu secara bersungguh-sungguh dan bukan mahu menjadi orang kaya dalam tempoh singkat.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberi contoh beberapa tokoh dan syarikat Melayu seperti Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, Glomac dan Kumpulan Naza yang terbukti berjaya.

"Kita tidak mahulah apabila diberi permit import (AP) mereka jual AP ini kepada orang lain sedangkan tujuan asal kita membantu mereka.
"Cuba lihat Datuk Rahman apabila diberi AP, beliau berniaga bersungguh-sungguh dan akhirnya beliau berjaya di dalam perniagaan hingga terbit buku autobiografi ini," ujarnya lagi.

Dr. Mahathir turut memberi contoh bagaimana kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar Melayu yang berkebolehan walaupun sukar untuk bersaing dengan kaum lain mengikuti kursus perubatan.

"Akhirnya mereka berjaya dan keluar menjadi seorang doktor yang baik. Perkara sama berlaku kepada saya dan akhirnya saya keluar menjadi seorang doktor," ujarnya.
Dalam perkembangan lain kata beliau, ketiadaan undang-undang pencegahan akibat pemansuhan beberapa akta menyebabkan masalah jenayah di negara ini semakin meningkat.

KATA DUA UNTUK KARPAL

Pas meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak memberi kata dua terhadap rakan parti dalam pakatan pembangkang, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menyokong hasratnya untuk meminda Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan Karpal memberi kata dua itu adalah bertentangan dengan konsep perkongsian di antara ketiga-tiga parti itu dalam pakatan pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, sebagai peguam 'senior', Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sewajarnya menghormati peruntukan perlembagaan yang telah lama dipertahankan.

"Sebagai satu pakatan tidak patut Karpal memberikan kata dua kepada rakan-rakannya. Sebagai salah satu rakan kongsi cara ini tidak betul.

"Kedua, Karpal seorang peguam kanan yang selalu mempertahankan perlembagaan. Tiba-tiba dia sendiri bangkitkan cadangan supaya peruntukan perlembagaan yang telah lama wujud dipinda, ini menunjukkan dia tidak menghormati perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desakan Karpal supaya Ahli Parlimen Pas dan PKR menyokong cadangannya untuk meminda Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
Karpal masih tidak berpuas hati terhadap kerajaan berhubung isu tersebut biarpun pembentangan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 telah ditarik balik sambil menyifatkannya tidak memadai.


Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 adalah untuk mengelakkan 'salah tafsir' berhubung kebenaran menukar agama kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.

Takiyuddin berkata, perkara tersebut bukan perkara baru malah undang-undang yang sama telah diluluskan pada tahun 1993.

"Seksyen 95 dalam Akta Pentabdiran Agama Wilayah Persekutuan 1993 menyatakan dengan jelas orang bukan Islam yang berusia 18 tahun ke atas tidak perlu keizinan untuk masuk Islam, kalau kurang daripada 18 tahun boleh masuk Islam dengan keizinan bapa atau ibu atau penjaga, ia sama dengan rang undang-undang yang mahu dibentangkan itu.


"Perkara ini sudah lama dan telah ditafsirkan oleh mahkamah dalam beberapa kes sebelum ini, jadi kenapa sekarang baru hendak bising, saya minta Karpal terima undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen ini," katanya yang juga seorang pengamal undang-undang.
Tambahnya, Karpal sewajarnya membincangkan perkara itu dalam pakatan pembangkang terlebih dahulu sebelum mahu membawanya ke Parlimen.


Wednesday, July 3, 2013

DAP TAHU PAS TAKKAN BERANI BERSUARA

Nampaknya kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara terus menerus menghadapi tekanan.  Semuanya berpunca dari kedudukan Melayu yang semakin lemah apabila PAS, sebuah parti Melayu alternatif kepada UMNO, telah memilih untuk bersatu dengan DAP yang memusuhi Islam/Melayu.

Kesepakatan yang termeterai antara PAS dan DAP telah memaksa PAS menjadi pasif hatta mengalah dalam isu-isu yang melibatkan kedaulatan agama Islam.

Hari ini, DAP kembali mendesak kabinet agar menarik balik Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) mengenai pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur agar selari dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 160 Jadual kesebelas mengenai pengukuhan integriti keluarga, kebebasan beragama dan keharmonian masyarakat.

Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang setebal 64 halaman dan mempunyai 116 Seksyen itu memperuntukkan bahawa persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam.  Penarikan balik undang-undang ini akan menghalang salah seorang ibu atau bapa yang beragama Islam untuk memastikan anaknya tetap menganut agama Islam dalam kes penceraian yang melibatkan pasangan yang murtad.

Desakan DAP itu turut didokong oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dan Majlis Peguam atas alasan pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur secara sepihak oleh hanya salah seorang ibu atau bapa tidak adil bagi kanak-kanak terbabit, atau ibu, atau bapanya, selain ia bertentangan dengan perlembagaan serta salah dari segi moral dan etika.

Dengan persepsi bahawa kaum Cina dari berbagai parti kini bersatu menentang kerajaan, maka ramai yang ternanti-nanti akan kenyataan dari MCA dalam isu ini.  Media pembangkang juga pantas memberi tekanan kepada MCA agar membuat kenyataan senada dengan DAP.

Setakat ini, Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu telah pun membuat kenyataan di mana beliau  menyifatkan desakan tersebut sebagai “mengejutkan” dan “licik” serta berlawanan dengan perdamaian nasional yang sedang hangat diperkatakan.  Harapan kita agar kenyataan beliau ini adalah ikhlas atas dasar menghayati kontrak sosial yang terjalin, selain benar-benar menggambarkan suara hati seluruh partinya.

PAS, bagaimanapun belum membuat kenyataan rasmi mengenai perkara ini.  Besar kemungkinan, PAS masih lagi membawa pendekatan ‘enggan menyinggung DAP’ dan lebih rela  berdiam diri atau menggadaikan kedudukan agama Islam di negara ini daripada ditendang keluar dari Pakatan Rakyat.

Bagi pihak kerajaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa perkara ini akan dibincangkan secara mendalam dari sudut perlembagaan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa dan di masa yang sama memastikan keadilan untuk semua.

Kesimpulannya, kedudukan agama Islam di negara ini kini bergantung kepada penyatuan Melayu.  Di sinilah kita memerlukan pembangkang seperti PAS untuk bangun memberi desakan yang sama hebatnya terhadap kerajaan agar terus mempertahankan kedudukan agama Islam di negara ini.

Pendek kata, PAS perlu membantu UMNO dengan bergerak secara seiring dan bersepadu.   Untuk itu, PAS wajib meletakkan pendirian tegas sama ada untuk bersama DAP atau UMNO dalam isu ini.

Jika MCA boleh berpegang teguh kepada perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, kenapa PAS pula yang berdolak dalih?   Apakah PAS sudah ‘tidak begitu Islam’ lagi?

4 PEKARA YANG MENGHALANG MANUSIA MELAKUKAN IBADAH

IMAM GHAZALI RAHIMAHULLAH menggaris empat perkara besar yang SELALU menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT, iaitu: 

1] DUNIA, iaitu, merujuk kepada SEMUA PERKARA YANG AKAN DITINGGALKAN APABILA MANUSIA MATI... seperti RUMAH YANG BESAR, KERETA MEWAH, WANG RINGGIT, PANGKAT KEBESARAN, RAKAN KARIB, ... Perlu diingat, pengertian itu boleh berubah apabila seseorang itu menganggap keperluan duniawi itu tidak lebih sebagai alat dan perantara, untuk diurus dan dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah SWT....

2] GANGGUAN @ HALANGAN DARIPADA MAKHLUK.... Apa yang dimaksudkan dengan makhluk di sini ialah apa saja yang dikurniakan Allah kepada kita, termasuk ANAK ISTERI, BINATANG TERNAKAN DAN HARTA BENDA YANG BOLEH MELALAIKAN MANUSIA daripada mengingati Allah.... Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.”...

3] KEINGINAN @ HAWA NAFSU... Nafsu adalah penghalang utama dalam diri manusia mengerjakan ibadat... Lebih ramai daripada kita yang tunduk dan TEWAS kepada kehendak nafsu sendiri dengan menyingkirkan niat dan azam untuk melakukan kebaikan.... Kejahatan dan kemungkaran yang timbul dari nafsu inilah, sukar untuk dikekang, jika kita tidak bersungguh2 melawannya....

4] BISIKAN IBLIS DAN SYAITAN durjana yang sentiasa menggoda serta menipu daya manusia ke jalan yang sesat sehinggalah hari Kiamat... Perlu diingat iblis dan syaitan boleh merubah bentuk asal mereka untuk menyerupai seorang manusia yang cantik, berpangkat atau warak dan soleh... Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk membawa manusia ke jalan yang sesat mengikut keadaan serta situasi kehidupan seseorang hamba Allah yang akan menjadi mangsanya.... Firman Allah SWT: “Sesungguhnya SYAITAN ITU MUSUH bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi)... Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka...”.. Surah al-Fathir, Ayat 6..

Tuesday, July 2, 2013

DAP TAK USAH NAK MENYIBUK


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Ta ib menolak saranan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar Pas memboikot pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.


Beliau berpendapat, Pas tidak perlu memulaukan pilihan raya kecil itu sebaliknya wajar meletakkan calon dalam usaha merampas kerusi DUN berkenaan daripada Barisan Nasional (BN).

Harun menyifatkan saranan Guan Eng berhubung perkara itu hanya berdasarkan pandangan peribadi pemimpin DAP tersebut.

Beliau menegaskan, Pas mesti bersedia bersemuka dengan calon daripada parti lawan pada pilihan raya kecil itu kerana Pas tidak pernah memberikan kemenangan percuma kepada BN.

"Secara peribadi, Pas kena bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut dan saya tak fikir Pas akan boikot kerana dia (DAP) parti lain dan itu adalah pandangan dia (Guan Eng). Ikutkan saya, saya suka kita (Pas) lawan saja.
"Pas patut bertanding dan kita mesti lawan. Kita tidak pernah beri kemenangan percuma kepada BN," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Harun yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir diminta mengulas saranan Guan Eng supaya Pas memboikot pilihan raya kecil DUN Kuala Besut berikutan isu dakwat kekal yang didakwanya gagal ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Cadangan Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang itu di Kulaijaya, Johor semalam mengundang reaksi Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bahawa pihaknya akan meneliti cadangan tersebut.


Mustafa berkata, Pas akan merujuk kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sebelum mengambil sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.
Mengulas mengenai reaksi Mustafa itu, Harun bagaimanapun berkata, beliau tetap akan menyokong apa sahaja pendirian yang akan diputuskan oleh kepimpinan Pas.


"Sebagai ahli parti (Pas), saya tetap akur apa saja keputusan kepimpinan Pas, saya akan terima jika Pas berpendirian boikot (pilihan raya kecil DUN Kuala Besut)," tambahnya.


Monday, July 1, 2013

Kontraktor kelas F dipulihkan

Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) akan mengeluarkan 888 kontraktor Kelas F Bumiputera daripada senarai hitamnya melalui pelan pemulihan khusus yang akan dilaksanakan mulai minggu depan.



Pengarah Urusan SPNB, Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, sehubungan itu, kesemua kontraktor terbabit akan dipanggil untuk diberikan penerangan tentang perkembangan semasa industri perumahan negara yang semakin pesat berkembang.


''Kita akan memutihkan kontraktor berkenaan termasuk menubuhkan pasukan khas antara SPNB dengan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) supaya nasib kontraktor berkenaan terus dibela.


''SPNB merancang memberikan latihan dan peluang kepada sesemua kontraktor selaras dengan cadangan pembinaan 10,000 buah Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) yang akan dibina pada tahun ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan perjumpaan dengan delegasi PERKOBF di pejabatnya di sini hari ini.


Di bawah pendekatan itu, kata beliau, pihak kontraktor akan dapat membuktikan keupayaan mereka mengikut syarat-syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh SPNB dalam membekalkan rumah berkualiti dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pemohon.
''Bukan (menjadi) hasrat kita, mereka yang disenarai hitam (akan) dibuang terus tetapi tindakan kita selepas ini bersama-sama dengan persatuan kontraktor adalah untuk memutihkannya.


''Kita akan cuba untuk meneruskan projek dan mungkin akan menambah kerja-kerja lain yang bersesuaian (untuk mereka),'' kata beliau.
Kamarul mengulas tentang isu peningkatan kontraktor bumiputera Kelas F yang disenarai hitam oleh SPNB apabila bilangannya kini meningkat lebih enam kali ganda kepada 888 kontraktor berbanding hanya 120 pada tahun 2011.


Jumlah itu dilihat sebagai membimbangkan kerana hampir kesemua mereka terdiri daripada kontraktor yang baharu menceburi bidang berkenaan dan dikategorikan sebagai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kamarul menjelaskan, kontraktor-kontraktor berkenaan terpaksa disenarai hitam selepas projek yang dijalankan terbengkalai meskipun SPNB telah memberi banyak kelonggaran termasuk lanjutan tempoh.

Sementara itu, Presiden PERKOBF, Tukiman Radion berkata, pihaknya berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil dan persetujuan SPNB untuk mengatasi kelemahan kontraktor-kontraktor tersebut.

Tukiman berkata, perjumpaan itu secara tidak langsung dapat menjelaskan bahawa SPNB mengambil berat di atas kebajikan seluruh kontraktor kelas F yang terlibat dengan pembinaan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia.
Beliau menambah, usaha yang bakal dilakukan oleh SPNB itu, akan mewujudkan persefahaman dan keadaan 'menang-menang' antara kedua-dua belah pihak.

 

GST - KERAJAAN BELUM ADA KEPUTUSAN

Kerajaan belum memutuskan sebarang keputusan berhubung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

Katanya kerajaan kini sedang melaksanakan kajian mengenai GST berdasarkan kepada keadaan ekonomi dan harga semasa, berbanding kajian sebelum ini pada 2009.
"Oleh kerana terdapat perubahan kepada keadaan ekonomi dan harga, maka kajian semula perlu dilakukan. Sehubungan itu, kerajaan belum lagi menetapkan bila GST akan dilaksanakan," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, sambil mengambil kesempatan merungkai persoalan mengenai kesan pelaksanaan GST kepada golongan berpendapatan rendah.

"Berdasarkan kajian yang dibuat, jika GST dilaksanakan, kita berpendapat barangan keperluan asas wajar dikenakan GST pada kadar sifar yang mana barangan ini banyak digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan swasta, pengangkutan awam, tol dan rumah kediaman juga dikategorikan sebagai bekalan yang dikecualikan, yang bermaksud GST tidak dikenakan pada peringkat akhir pembekalan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 160 daripadanya telah melaksanakan GST.
"Tentunya kerajaan mahu sistem cukai terbaik dalam mengurus kewangan, iaitu meningkatkan hasil yang akan membolehkan peningkatan pendapatan negara untuk kepentingan pengguna dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Ahmad Husni berkata, sejak 2010 hingga Jun 2013, 4,667 program penerangan GST telah dilaksanakan, yang melibatkan lebih 202,000 peserta.
Ia melibatkan tiga kumpulan sasar utama iaitu kerajaan, industri dan pengguna.