Showing posts with label pan. Show all posts
Showing posts with label pan. Show all posts

Tuesday, June 27, 2017

PAS SOKONG KEPUTUSAN KERAJAAN




Pas mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1980-an dan 1990-an.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab, kerajaan Persekutuan wajar mewujudkan apa sahaja jawatankuasa yang boleh membuat penyiasatan terperinci secara adil.

“Saya fikir rakyat memang mahu melihat perkara ini disiasat dan diselesaikan secara adil.
“Oleh sebab itu kita mengalu-alukan keputusan mewujudkan RCI ini bagi membolehkan satu siasatan adil dilakukan,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Raya Kepada Imam-Imam Negeri Kelantan di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini hari ini.


Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam, Kabinet sebulat suara bersetuju dengan syor Pasukan Petugas Khas (PPK) bahawa terdapat keperluan RCI diwujudkan bagi menyiasat krisis yang melanda BNM lebih 25 tahun lalu.


PPK yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian dialami BNM mendapati terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat bertujuan mengelirukan Jemaah Menteri dan Parlimen.



Friday, April 28, 2017

JANGAN BENCI UMNO, AHLI PAS PERLU IKHLAS DAN REDHA




 Ahli-ahli Pas khususnya yang menganggotai Dewan Ulama dinasihatkan supaya tidak membenci ahli-ahli UMNO malah sebaliknya, mereka sewajarnya didekati.

Wakil Dewan Ulama Pahang, Azhar Jaafar, ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Ulama pada Muktamar Ke-56 sayap berkenaan petang ini berkata, sebagai pendakwah, ahli-ahli Dewan Ulama perlu mempunyai hikmah dan berilmu.

Katanya, kedua-dua perkara berkenaan penting sekiranya parti mahu memastikan konsep 'Negara Sejahtera' yang sedang diperjuangkan diterima baik oleh rakyat.

"Kita perlu ada adab zahir dalam memasarkan konsep ini kerana ia merupakan satu perkara besar yang menjadi penyelesaian kepada permasalahan rakyat.

"Kita perlu ada sikap ikhlas, reda dan amalkan apa yang dikatakan dan jangan benci orang yang kita mahu jualkan konsep ini," kata beliau.

Sementara itu, wakil Dewan Ulama Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya ketika membahaskan perkara yang sama berkata, Pas mempunyai kekuatan untuk menjayakan konsep 'Negara Sejahtera' walaupun tidak dibantu oleh pihak lain.

Kata beliau, perkara ini jelas apabila indeks jenayah di Selangor berjaya diturunkan daripada 57,000 kepada 32,000 dalam masa lima tahun bermula tahun 2008 melalui pelbagai program tarbiah.

"Pas terus buat kerja walaupun pada ketika itu banyak tangan-tangan kiri yang DAP lakukan, pesta arak dan sebagainya.

"Ini bukan kehebatan pakatan pembangkang yang dahulu kerana ia sudah dihancurkan oleh DAP," tegasnya.

Tambah beliau, perjuangan Pas pada ketika ini, terutamanya berhubung Pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 merupakan usaha yang amat mengetuk pintu rahmat.

Oleh itu, kata beliau, Pas tidak perlu bimbang sekiranya terpaksa meneruskan perjuangan secara bersendirian. - UTUSAN ONLINE

Thursday, June 9, 2016

NIZAR BIADAP


 ‘Biadab’. Itu reaksi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.
Hishammuddin berkata, beliau tidak menyangka Nizar tergamak mengeluarkan kenyataan sebegitu tanpa memikirkan perasaan keluarga Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, hanya semata-mata sebab politik.

“Saya tengok kalau ayat-ayat begitu diluahkan dalam keadaan sebegini, saya tengok memang, biadablah.

“Sebab saya kenal Datuk Wan Khair-il secara rapat, saya kenal isterinya, saya kenal anak-anaknya,” kata Hishammuddin ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Nizar, selepas melawat bazar Ramadan Taman Berkat, di sini hari ini.

Semalam, sewaktu berucap pada sesi ceramah di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Mohammad Nizar dipetik dalam media sosial yang berkata “Allah mahu orang Kuala Kangsar ‘mengajar’ (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar”.

Ketika berucap pada ceramah itu, Mohammad Nizar berkata dirinya tertanya-tanya mengapa daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini, Allah memilih supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar.

“Bila saya fikir-fikir dengan mendalam, di sinilah buminya semasa saya diberikan amanah untuk menjadi Menteri Besar Perak, daripada Mac 2008 hingga Februari 2009,” katanya dipetik berkata menerusi laporan sebuah portal berita.

Beliau seterusnya mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya kini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah “merampas” kerajaan Pakatan pimpinannya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata berdasarkan keperibadian Nizar, memang sukar untuk membendung beliau daripada mengeluarkan kenyataan sebegitu.
Justeru, Hishammuddin menyeru pihak lain agar tidak terikut-ikut dengan kenyataan Mohammad Nizar itu yang sama sekali tidak memikirkan perasaan keluarga Allahyarham Datuk Wan Khair-il.

DI KUALA KANGSAR, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendoakan agar taubat Mohammad Nizar diterima Allah SWT.

Katanya, beliau ‘bersimpati’ dengan Nizar dan berharap agar ahli politik itu berubah.
”Saya tidak terkejut dengan apa yang keluar dari kalam beliau (Nizar), kerana rupanya beliau belum pernah berubah dan belum cukup bertaubat dengan apa yang beliau alami sebelum ini.

Saya syukur kerana beliau berkata demikian, mudah-mudahan taubat beliau segera diterima Allah,” kata Ahmad Zahid dalam sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama pengundi dan masyarakat tempatan di Ulu Kenas.


Sumber : UTUSAN MALAYSIA