Showing posts with label PLKN. Show all posts
Showing posts with label PLKN. Show all posts

Tuesday, April 5, 2016

PLKN TANGKIS FITNAH DAP



Saya faham dan ramai lagi yang faham bahawa DAP sekarang menghadapi krisis kemerosotan keyakinan rakyat apabila Setiausaha Agung mereka yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berhadapan dengan skandal Banglo dan juga tanah di Sungai Manggis.

Namun begitu cubaan beberapa pemimpin mereka cuba mengalihkan isu besar ini dengan mencari salah kerajaan adalah amat tidak bijak dan boleh dianggap cubaan memperbodohkan rakyat.  Selesaikanlah dahulu kain yang koyak tu, tak usahlah sibuk hal-hal lain.

Inilah yang cuba dilakukan oleh Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming. Kononnya RM405 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk PerPLKN pada tahun 2015 walaupun program tersebut telah dihentikan sementara selama setahun. Inilah yang dikatakan Ahli Parlimen Cap Sardin, "study" laa dulu sebelum nak balun pun. Ini bukanlah caranya seorang ahli parlimen berfungsi. 

Beliau mempersoalkan perbelanjaan kerajaan terhadap program PLKN sejak 2004 termasuklah RM405 juta yang dikatakan dibazirkan kerana tiada program dijalankan pada tahun 2015. 

Sebenarnya perbelanjaan asal PLKN bagi 2015 adalah 697.8 juta, dari perbelanjaan tersebut ada kos-kos tetap yang perlu kerajaan bayar antaranya beberapa kontrak dan komitmen yang telah dibuat sebelum pengumuman penangguhan tersebut dibuat.  

Kian Ming sewajarnya tahu perbelanjaan seperti kos pembayaran gaji kakitangan tetap dan kontrak termasuk jurulatih sepanjang penanguhan PLKN perlu dibayar oleh kerajaan. Ini juga termasuk perlaksanaan makmal tranformasi PLKN dan juga perlaksanaan Projek Rintis. Setelah semua kos ini diambil kira kerajaan telah dapat menjimatkan kos sebanyak RM289.5 juta.  

Persoalan yang ditimbulkan oleh Kian Ming nampak tidak cerdik apatah lagi dicedok pula oleh page pro pembangkang Suara Rakyat yang menyebarkannya dalam media sosial dengan bertujuan untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap perngurusan kewangan negara. 

Sepatutnya Kian Ming berasa malu dengan pendedahan ini dan meminta maaf kepada kerajaan dan PLKN kerana tuduhan melulu dan tidak berasas. Jika dia merujuk kepada jadual yang disebarkannya, disitu sendiri telah menunjukkan penjimatan yang telah dibuat oleh kerajaan. 

Kerajaan dan PLKN patut mengenakan tindakan undang-undang terhadap penfitnah seperti mereka kerana sejak mutakhir ini mereka semakin galak membuat fitnah tanpa rasa bersalah.  Sudah sampai masanya  kerajaan bertindak tegas terhadap ahli parlimen pembangkang yang sesuka hati menyebarkan fitnah memburukkan kerajaan.   



   

  










Sunday, March 27, 2016

20,000 LEPASAN SPM SUKARELA SERTAI #PLKN




Setelah setahun Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyepikan diri, hari ini ia kembali dengan wajah baru yang lebih menarik. Program PLKN kali ini telah menarik lebih ramai lepasan SPM secara sukarela menampilkan diri mendaftar untuk program ini. Cara pengambilan baru sukarelawan ini telah berjaya menjimatkan kos sebanyak RM1 juta. Program ini juga dikatakan telah mencapai kumpulan sasaran yang dimaksudkan.

Kali ini program PLKN berjaya mengumpul seramai 20,000 pelatih PLKN 2.0 yang diadakan selama dua bulan di 81 buah kem PLKN diseluruh negara. 

Dalam program PLKN kali ini ada keistimewaan sikit dari yang dulu, pelatih tidak hanya menjalani latihan dalam kem selama lapan minggu, tetapi mereka juga diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam latihan amali kemahiran di 400 institusi latihan vokasional yang diiktiraf oleh kerajaan di seluruh negara.

Menurut Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun, selain memberi fokus kepada kepada tiga elemen iaitu sukarelawan,  patriotik dan perpaduan, PLKN 2.0 juga mendedahkan kepada pelatih latihan kemahiran, kecergasan dan nilai-nilai moral. Elemen ini bertujuan untuk memberi motivasi dan meningkatkan keyakinan diri pelatih selain membuka peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institusi yang sesuai dengan kehendak mereka. 

Apa yang menarik pelbagai kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain dapat disatukan yang mana  akan mendedahkan kepada mereka akan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia agar dapat mewujudkan perpaduan dan kerjasama antara kaum dimasa akan datang. Inilah yang dicemburui sesetengah kumpulan yang suka mencetuskan pergaduhan antara kaum. 

 Jika sebelum ini pelatih berada dalam kem selama 12 minggu, kali ini dengan masa yang telah disingkatkan kepada 8 minggu dengan program kemahiran dan kebolehpasaran pelatih dalam tenaga kerja ditingkatkan. Usaha kerajaan ini amat bertepatan dengan kehendak semasa yang memerlukan tenaga kerja yang mahir, cekap dan berintegriti tinggi. Ia juga mampu mengikiskan pergantungan pekerja asing dalam negara. 

Menurut Datuk Ehsan lagi, selepas menamatkan program latihan dan kemahiran, setiap pelatih akan menerima sijil dan diploma yang akan menjadikan mereka sesuai dan mudah memasuki mana-mana bidang pekerjaan disektor awam dan swasta. 

Semoga para peserta dapat memanfaatkan peluang yang berada didepan mata. Jangan sia-siakan harapan ibubapa dan impian anda sendiri demi masa hadapan yang lebih gemilang.


Sunday, February 14, 2016

PLKN 2.0 BAKAL BERMULA 26 MAC 2016


26 Mac 2016 ini bermulanya era baru Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 dengan modul baru yang mempunyai nilai tambah yang praktikal, relevan dengan keadaan semasa.


81 kem PLKN diseluruh negara telah bersedia menerima seramai 20,000 pelatih PLKN. Menurut Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) DAtuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun, pelatih PLKN akan ditempatkan disetiap kem diseluruh negara selama 8 minggu.  "Inilah tahun pertama kita buat pengambilan di bawah Program Transformasi PLKN 2.0 dan ia hanya melibatkan satu pengambilan sahaja". 


Tujuan satu pengambilan sahaja yang dambil adalah untuk lebih memberi fokus dalam menyediakan pelatih yang lebih berkemahiran bagi memasuki fasa kedua latihan.


Sebelum ini projek perintis PLKN yang telah dilaksanakan pada Oktober tahun lepas telah menguji keberkesanan kedua-dua fasa iaitu Fasa 1 Model Pembelajaran Bersepadu dan Fasa 2 Latihan Kemahiran. Fasa 2 latihan bakal dilengkapi kemahiran latihan vokasional serta teknikal kepada peserta.


Dalam Fasa ini pelatih akan mendapat pendedahan yang lebih luas terhadap peluang kerjaya di agensi yang menawarkan latihan kemahiran antaranya Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Automotif Malaysia.


Program PLKN 2.0 ini lapan modul baru bakal diperkenalkan. Antaranya 5 modul utama dn 3 sub modul ;


Lima modul utama tersebut adalah,


1. Fit4Life

2. Tech and Talk
3. Malaysiaku
4. Be Safe Be Alert 
5. I-Upgrade

Tiga sub-modul adalah


1. Spirituality

2. My Future
3. Khidmat Komuniti

Diharap dengan semua modul yang diperkenalkan, kita dapat melahirkan pelatih yang lebih berkeyakinan, berani dan positif dalam menghadapi cabaran. Kita mahu membentuk generasi yang lebih holistik, kuat jati diri, boleh bersaing serta mempunyai nilai kebolehpasaran apabila keluar dari program ini. 

Kebanyakan para pelatih dipilih oleh pihak sekolah berdasarkan prestasi mereka. Pelajar yang tidak begitu cemerlang dalam bidang akedemik namum mempunyai potensi untuk maju dalam bidang kemahiran akan dipilih oleh sekolah. 

Semoga selepas mereka menimba ilmu dalam program ini, mereka lebih terbuka dan mempunyai nilai diri yang positif serta dapat berkhidmat kepada masyarakat dan negara.





  

Saturday, December 12, 2015

DATUK NOOR EHSANUDDIN RAIKAN SKUAD SAYANG WANITA UMNO



Malam ini Skuad Sayang mengadakan majlis makan malam bagi meraikan dan menghargai  penat lelah  sukarelawan mereka dalam membantu menguruskan perjalanan perhimpunan Agung UMNO kali ini.

Komandan Kebangsaan Skuad Sayang, Datin Reny Rahayu berkata Skuad Sayang wanita UMNO Malaysia sentiasa bersedia dalam menjalankan tugas-tugas bagi membantu melicinkan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO. Anggota Skuad Sayang sentiasa setia bersatu memberi khidmat kepada parti bila-bila masa sahaja.   


Majlis makan malam ini diserikan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan VIP Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, ahli parlimen Kota Tinggi.

 Berucap dalam majlis tersebut Datuk Ehsan mengucapkan tahniah kepada Skuad Sayang pergerakan Wanita UMNO kerana berjaya mengembleng tenaga ahlinya dalam membantu melancarkan perhimpunan Agung UMNO kali ini. Ini menunjukan betapa wanita UMNO cukup bersemangat dan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi khususnya Skuad Sayang Wanita  UMNO Malaysia. Bagi beliau Skuad Sayang begitu "Energetik".

Dalam majlis itu juga beliau berkongsi pandangan dengan Komandan Skuad Sayang Kebangsaan, Datin Reny bahawa kepetingan peranan media sosial di alam maya bagi menangkis  tohmahan, fitnah dan putar beiit. Menurut beliau "kita bekarja tapi tidak bercakap sedangkan pembangkang bercakap tapi tidak bekerja". 

Oleh itu kita kena berubah, kita bekerja dan dalam masa yang sama kita kena bercakap. Disinilah  peranan media sosial amat penting bagi menyebarkan maklumat yang benar kepada rakyat.

Datuk Ehsan menyarankan agar Skuad Sayang mengerakkan program bersama agensi-agensi kerajaan seperti JASA, KEMAS, Seranta FELDA dan BTN  dalam usaha mereka memberi bantuan dan khidmat kepada rakyat.


Beliau juga menjawab berkenaan dengan kekangan bajet pada 2016  yang dilihat lebih berhemat perbelanjaannya. Menurut beliau dalam keadaan harga minyak yang turun, harga kelapa sawit dan getah yang rendah menyebabkan perolehan pendapatan negara agak menurun. Oleh itu perlaksanaan cukai GST telah membantu menyelamatkan ekonomi negara. 

Selain ancaman ekonomi negara juga berhadapan dengan ancaman luar yang berbentuk keganasan.  Selat Melaka yang dilalui lebih kurang 800 ribu kapal jika tidak diurus dengan baik dan cekap dari segi  kemudahan infrastruktur dan keselamatannya boleh memberi kesan besar terhadap ekonomi negara. 


Dalam majlis makan malam yang sama juga beliau melahirkan kegembiraan apabila mahasiswa di IPTA dan IPTS memberi respon yang positif terhadap semua usaha kerajaan membantu rakyat. Ini dapat dilihat apabila mereka mengupas setiap isu-isu semasa dengan fakta yang benar dan berjaya memenangi banyak tempat dalam pilihanraya universii.


Dalam majlis ini , Datin Reny Rahayu sebagai ketua dan komadan Kebangsaan  menyumbang empat unit Note Book kepada komandan negeri.

    



Tuesday, October 20, 2015

100K DIANGGAR MENYERTAI PLKN 2.0



Bagaimana kita ingin melihat generasi akan datang hidup dalam aman damai dalam negara berbilang kaum dan agama ? Apakah Pelan Tindakan Perpaduan yang telah dirancang dalam memupuk integrasi nasional ? 

Sebenarnya perpaduan kaum  dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Kaedah ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. 


Bagi menyemai benih perpaduan kerajaan telah melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Sejak diperkenalkan pada 2004, PLKN telah menjadi wadah pembinaan sahsiah diri yang bermatlamat mengukuh dan membina semangat patriotisme, memupuk perpaduan dan integrasi nasional. 

Walaupun program PKLN telah ditangguhkan sementara selama setahun sebagai langkah penjimatan dalam ketidaktentuan ekonomi negara ketika itu. Kini setelah ditambahbaik dengan modul-modul baru, PLKN kini lebih nampak menarik dan relevan dalam kesesuaian semasa. Jika dahulu PLKN mengambil peserta secara rawak kini pihak sekolah akan memilih dan menawarkan secara sukarela kepada pelajar di tingkatan lima. 

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Khidmat Negara, Datuk Mohmed Asri Yusof berkata, JLKN akan berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi membolehkan pihak sekolah membuat pemilihan dan menawarkan kepada pelajar untuk mengikuti perogram ini. Yang mana berminat untuk mengikut program PLKN, boleh menawarkan diri mereka secara sukarela manakala pihak sekolah boleh memilih mereka yang dirasakan layak. 

Bagi sesi Januari 2016, pelatih PLKN akan ditempatkan di 82 kem PLKN di seluruh negara. Dianggarkan lebih kurang 100,000 pelatih akan menyertai program PLKN. Beliau berkata demikian ketika melawat dan meninjau Projek Perintis Transformasi PLKN di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang.

Projek Perintis ini diadakan bagi melihat hasil keberkesanan modul baharu yang bakal diperkenalkan tahun hadapan. Seramai 469 pelatih menyertai Projek Perintis ini, mereka terdiri dari 315 peserta lelaki dan 154 peserta perempuan. Dalam tempoh itu sebarang kelemahan dan kecacatan dapat dikesan dan diperbaiki lebih awal. 

Jika dahulu Program ini dijalan selama 3 bulan, kini PLKN 2.0 sesi latihannya telah dikurangkan kepada 2 bulan atau 8 minggu. Pelatih yang berkelayakan akan ditawarkan  latihan  kemahiran di IKBN terpilih selepas tamat latihan. Disini pelatih juga akan diberi tunjuk ajar dan idea untuk memilih kerjaya di masa hadapan. Mereka akan dibimbing bagaimana memilih kerjaya berdasarkan kemahiran dan minat mereka. PLKN 2.0 lebih menjurus kepada kemahiran untuk pelatih. 

Sebelum ini, Pengerusi PLKN Datuk Noor Ehsanuddin juga telah menegaskan bahawa penambahbaikan modul baharu PLKN akan mengikut kesesuaian masa. Kerajaan berharap dapat membentuk remaja atau belia yang berdisiplin, berketerampilan dan juga mempunyai nilai patriotisme yang tinggi. Semoga ilmu yang mereka timba disini dapat digunakan untuk kehidupan mereka dimasa akan datang. 

Diharap Program PLKN 2.0 ini akan memberi impak yang positif, bukan sahaja kepada proses integrasi nasional negara bahkan kepada generasi muda akan datang. Semoga negara kita ini diwarisi oleh generasi yang berdaya maju, cergas dan cerdas dari segi mental dan fizikal.