SAYA BIMBANG
Saya bimbang,
Bimbang bila persepsi menghantui diri,
Yang benar didustai, yang dusta diimani,
Dunia huru hara, fitnah, adu domba menjadi santapan utama manusia,
Wahyu dimanipulasi untuk kepentingan diri dan peribadi,
Rakyat dizalimi, pemimpin dikasari,
Si alim berlagak suci.
Saya bimbang,
Bimbang bila manusia gila kuasa,
Gila mahu jadi pemimpin,
Gila mahu jadi tempat rujukan agama,
Bila politikus gembira dengan ramai pengundinya,
Si alim pula gembira dengan ramai pengikutnya,
Rakyat dalam delima. Yang mana satu pilihan jiwa?
Yang ramai pengundinya atau yang banyak pengikutnya?
Lantas hujjah terletak pada jumlah bilangan,
Bukan kualiti menjadi perhitungan.
Saya bimbang,
Bimbang dengan dunia yang tidak seimbang,
Tentunya saya inginkan pemimpin yang adil lagi amanah,
Bukan yang zalim lagi khianah,
Saya percaya tiada manusia bebas dari silap dan dosa,
Para pemimpin di atas sana,
Demikian juga rakyat jelata termasuk ulama tua dan muda,
Jika ini difahami, manusia takkan berlebihan dalam menjatuhkan hukuman sebaliknya tindakan mereka berpaksikan keadilan.
Saya bimbang,
Bimbang bila politikus mengajar rakyat politik membenci,
Ulama mengajar pengikutnya mencaci,
Rakyat terus berkelahi,
Seolah-olah tiada kebaikan langsung di negeri sendiri,
Seperti tiada walau secebis kebaikan ulil amri,
Api kebencian membakar kasih sayang dan perpaduan,
Jika syaitan pernah benar bicaranya,
Masakan manusia tiada langsung berbuat pahala,
Maka, biarlah kerajaan, pembangkang mahupun rakyat diadili sebaiknya,
Yang salah diperbetulkan,
Yang baik dilaksanakan,
Yang ragu ditinggalkan,
Saya yakin, semua inginkan kebaikan,
Cuma ijtihadnya berbeza akibat tiada kawal selia.
Saya bimbang juga,
Bimbang juga bila pemimpin tak bersedia ditegur,
Bila disapa dia senyum gembira kononnya penyokong suka,
Namun, bila dinasihati, wajahnya muram sekali tanda tidak puas hati,
Pemimpin seperti ini tidak diperlukan oleh rakyat yang inginkan keadilan,
Pemimpin wajarnya menghayati denyut nadi rakyat,
Jangan jadi keparat yang cita-citanya hanya mahu jadi korporat,
Jangan salahkan rakyat bila maruah kalian disebat,
Biasakan diri mendengar nasihat bukan suka pujian lebat,
Nabi SAW berwasiat pemimpin yang tidak ditegur kelak akan melompat ke neraka ibarat kera.
Saya bimbang,
Bimbang bila ada yang membangkang kerjanya mencanang,
Canang teguran, wajar diraikan,
Tapi canang fitnah wajib disanggah,
Matlamat mereka bukannya agama mahupun keadilan sebaliknya kerusi dan jawatan,
Rakyat dijadikan jambatan,
Kerajaan dijadikan bahan cacian,
Mereka gembira pabila kerajaan bercelaru,
Mereka terus menabur peluru,
Bukan memberi solusi tapi menanam benci,
Bila ditegur, katanya: "Inilah politik wahai saudara",
Politik apa yang kalian maksudkan?
Politik Islam atau politik syaitan?
Saya bimbang,
Bimbang bila ada ulama besar kepala,
Ditegur mereka menggila,
Diri mereka bagai nabi,
Kata-kata mereka seolah-olah wajib diikuti,
Mereka rupanya lebih rakus daripada politikus,
Bertopengkan songkok dan kopiah,
Mereka menabur persepsi dan fitnah,
Semua urusan mereka campuri seolah-olah mereka ilmuan rabbani,
Kritikan mereka berasaskan kejahilan bukan fakta dan ilmu pengetahuan,
Bila ditanya rujukan, orang lain dipersalahkan,
Kritikan mereka selektif,
Topik yang 'hot' menjadi pilihan,
Si alim terus ambil kesempatan,
Kononnya menasihati,
Realitinya mencari populariti,
Alasannya juarai isu rakyat,
Tapi adu domba itulah hakikat,
Pandangan mereka bermotifkan keuntungan, Mereka lebih suka melihat perbalahan bukannya keamanan dan kesejahteraan,
Mereka suka porak peranda kerana di saat itu mereka mampu meraih dunia.
Saya bimbang,
Bimbang bila segala keputusan berdasarkan majoriti,
Sedangkan Allah kerap mencela majoriti namun memuji minoriti,
Buka Al-Quran hayati tinta suci,
Kita akan fahami majoriti bukan hujjah bahkan mampu mencipta fitnah,
Berbaliklah kepada Al-Quran dan sunnah dalam menyelesai segala masalah,
Walaupun minoriti menyokong, Allah pasti mendokong,
Biarlah majoriti membenci, tapi Allah redhai, Indahnya Islam.
Dr Fathul Bari bin Mat Jahya
19 Rejab 1436H bersamaan 8 Mei 2015