Thursday, April 21, 2016

Harga minyak jatuh didorong kebimbangan lebihan bekalan



LONDON: Harga minyak mentah jatuh hari ini kerana fokus pelabur kini kembali tertumpu kepada kebimbangan berkenaan terlebih bekalan selepas pekerja minyak di Kuwait menghentikan mogok tiga hari mereka yang mana keadaan itu mengurangkan separuh output minyak mentah negara itu. 

Perangkaan industri menunjukkan stok simpanan minyak mentah AmerikaSyarikat (AS) meningkat minggu lalu, sekali gus meningkatkan kembali kebimbangan terhadap lebihan bekalan global.

 Kontrak hadapan Brent jatuh AS$0.94 kepada AS$43.09 setong pada 0830 GMT. Minyak mentah AS jatuh AS$0.98 atau lebih dua peratus kepada AS$40.10, selepas jatuh di bawah AS$40.

 Enam lori tangki besar berada di terminal eksport minyak mentah Kuwait untuk mengisi minyak dan negara itu meningkatkan output kepada 1.6 juta tong sehari daripada 1.1 juta tong Ahad lalu. Kuwait mengeluarkan 2.8 juta tong sehari pada akhir Mac. 

Perangkaan daripada Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan stok simpanan minyak mentah AS meningkat lebih daripada dijangkakan minggu lalu. 

Inventori minyak mentah meningkat sebanyak 3.1 juta tong pada minggu berakhir 15 April kepada 539.5 juta, kata kumpulan industri itu berbanding jangkaan penganalisis peningkatan 2.4 juta tong. – Reuters

Wednesday, April 20, 2016

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) — Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut hari ini berikutan minat belian yang berterusan, selepas harga minyak mentah mencatatkan
peningkatan mendadak, kata seorang peniaga. Pada jam 5 petang, mata wang tempatan itu bernilai 3.8660/8720 berbanding dolar US daripada 3.8870/8940 yang direkodkan pada Selasa. Peniaga itu berkata
ringgit mungkin akan mengukuh lagi minggu ini tetapi ia bergantung kepada pergerakan minyak. “Kenaikan
nilai mata wang tempatan itu telah berkurangan selepas pekerja-pekerja minyak Kuwait menamatkan mogok tiga hari,” katanya. Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain. Ia menokok
berbanding dolar Singapura kepada 2.8857/8911 dari 2.8900/8962 yang dicatatkan pada Selasa dan naik berbanding yen kepada 3.5481/5539 berbanding 3.5563/5636 semalam. Mata wang tempatan itu meningkat
berbanding euro kepada 4.3933/3017 daripada 4.4044/4138 pada Selasa dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.5566/ 5660 daripada 5.5658/5770 semalam. – BERNAMA

5 kejayaan PNB perkasa agenda Bumiputera



NAJIB merasmikan minggu MSAM 2016 di Stadium Mini Tapah, hari ini. - Foto L Manimaran
TAPAH: Permodalan Nasional Berhad (PNB) hingga kini berjaya melakar lima kejayaan dalam konteks
memperkasa agenda Bumiputera. Pengerusi, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata kejayaan pertama daripada aspek pelaburan rakyat apabila sebanyak 208.4 bilion unit saham dalam edaran dilanggan 12.65 juta
pemegang unit pelaburan dalam PNB, yang juga 42 peratus daripada jumlah penduduk negara ini. “Kejayaan kedua ialah PNB berjaya mengumpul RM268 bilion pengumpulan dana, seterusnya memegang ekuiti dalam 200
syarikat di pelbagai sektor ekonomi negara. “Pelaburan dilakukan PNB dalam syarikat terbabit bernilai berbilion ringgit dengan nilai pelaburan syarikat tersenarai saja adalah 11.1 peratus daripada modal Bursa Malaysia yang kini bernilai RM1.65 trilion,” katanya berucap pada majlis perasmian Minggu Saham
Amanah Malaysia (MSAM) 2016 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Stadium Mini Tapah di sini, sebentar tadi. Ahmad Sarji berkata, kejayaan keempat ialah daripada aspek pemilikan
harta tetap apabila memiliki 50 hartanah komersial, pejabat dan perhotelan dalam negara bernilai RM5.4 bilion, selain memiliki enam hartanah bernilai tinggi di luar negara dengan nilai pelaburan RM7.1
bilion. Katanya, kejayaan kelima ialah aspek pengagihan pendapatan apabila sejak tahun 1981 hingga Mac lalu, PNB sudah mengagihkan dividen dan bonus berjumlah RM145 bilion kepada pemegang unit sahamnya. Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dalam ucapannya mengumumkan Stadium Mini
Tapah akan diberi nama Stadium Tun Ahmad Sarji sebagai satu pengiktirafan kerajaan negeri terhadap beliau yang juga anak Perak kerana banyak berjasa kepada negara.

PEMUDA PAS SOKONG KERAJAAN .....




SHAH ALAM – Pemuda Pas hari ini melahirkan sokongan ke atas keputusan kerajaan melaksanakan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).
Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi mengurangkan angka kemalangan jalan raya yang semakin meningkat saban tahun.
Bagaimanapun, pihaknya menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara yang memberikan tumpuan kepada kesalahan memandu melebihi had laju dan pelanggaran lampu isyarat.
Ujarnya, tindakan tersebut dilihat hanya akan ‘menjerat’ banyak pengguna khususnya di kawasan dalam bandar dan antara bandar dengan kesalahan trafik berbanding untuk mendidik sikap pengguna jalan raya.
“Jumlah kemalangan yang mencecah sehingga 489,606 kes dengan 6,706 kematian pada 2015 adalah sangat membimbangkan. Walaupun angka kematian ini lebih rendah berbanding jangkaan asal iaitu 8,760 kematian, Malaysian Institute of Road Safety Research (Miros) juga menjangkakan menjelang 2020, angka tersebut akan meningkat kepada 10,716 kematian.
“World Health Organization (WHO) pada Mei 2014 di dalam laporannya pernah merekodkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk di Malaysia ialah 25.25 menjadikan negara ini berada pada kedudukan ke-34 daripada 172 buah negara lain,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sebagai langkah penyelesaian, kata Nik Abduh, pihaknya mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme yang dapat mengurangkan kesesakan di atas jalan raya.
“Dua aspek perlu diberikan tumpuan iaitu mengurangkan jumlah kenderaan aktif di atas jalan raya dan mengurangkan kesesakan kenderaan di atas jalan raya pada satu-satu masa; khususnya pada waktu puncak.
“Jumlah kenderaan di atas jalan raya ini perlu dikurangkan memandangkan jumlah kemalangan meningkat seiringan dengan peningkatan kadar bilangan kenderaan aktif di atas jalan raya berbanding jumlah populasi. Sebagai contoh, pada 2009, kadar kenderaan aktif berbanding jumlah populasi ialah 50.4 dan jumlah kemalangan ialah 397,330 kes. Manakala pada 2013, kadar kenderaan aktif berbanding jumlah populasi meningkat kepada 58.0 dan jumlah kemalangan pula meningkat kepada 477,204 kes,” katanya lagi.

GENERASI Y KURANG MEMAHAMI PENGURUSAN KEWANGAN



Ramai anak rakyat Malaysia terutamanya golongan anak muda menghadapi masalah dalam menguruskan kewangan mereka. Keadaan ini berlaku apabila ramai diantara mereka meminjam wang dari institusi kewangan seperti pinjaman peribadi, kad kredit dan pinjaman perniagaan. 

Anak Muda berumur bawah 40 didapati bukan sahaja lemah dalam menguruskan kewangan, tetapi kurang pengetahuan tentang pengurusan kewangan terutama dalam aspek berkaitan kredit dan hutang, pengurusan risiko, pelaburan dan kewangan Islam. 


Ada juga sesetengah dari mereka yang telah di "blacklist" oleh bank dan ada yang di isytiharkan bankrup. Inilah akibatnya jika hidup mengamalkan budaya berhutang melebihi pendapatan hingga menyusahkan diri dan keluarga. Keadaan ini menyukarkan mereka untuk membuat pinjaman perumahan, kereta dan pelaburan. 


Menurut Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid ketika  menghadiri Program Gempak Keluarga Felda di Felda Lok Heng Barat Johor, masalah anak muda seperti ini perlu kita bantu bagi memudahkan mereka keluar dari permasalahan ini dengan segera. Bahkan ada diantara mereka yang tidak dapat membeli rumah , kenderaan dan pelaburan. Kita perlu bantu mereka mencari jalan keluar dari permasalahan ini. 

Generasi Y hari ini sering terkeliru apabila berkait soal kewangan mereka terutama hutang, kad kredit, perumahan dan simpanan hari tua mereka. Bahkan mereka mempunyai pengetahuan kewangan yang rendah berkenaan kadar faedah, inflasi dan kepelbagaian risiko. 


Kesannya mereka tidak mampu mencapai kesenangan dan kekayaan kerana sering berhadapan dengan bebanan kewangan yang berpunca dari ketidakupayaan menguruskan bajet dan merancang kewangan yang baik.


Dalam pada itu Datuk Ehsan menyarankan juga agar anak muda menyahut seruan kerajaan bagi memenuhi keperluan industri dalam bidang-bidang kemahiran. Generasi muda hari ini perlu melengkapkan diri dengan kemahiran. Pelbagai insentif yang telah kerajaan sediakan untuk anak muda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran-kemahiran tertentu. 


Sewajarnya anak muda hari ini perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran kerana kita tidak tahu apa tuntutan pekerjaan dimasa akan datang.    








LAPORAN WSJ SATU PEMBOHONGAN



ALA LUMPUR – Dakwaan The Wall Street Journal yang melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad berkata Najib secara konsisten menyatakan dana itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.
“Selepas siasatan menyeluruh, ini telah disahkan oleh pelbagai pihak berkuasa. Terbaru, Menteri Luar Arab Saudi mengesahkan ia adalah sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan, dan negara itu sudah menganggap isu berkenaan selesai.
“Ini adalah pembohongan yang gagal digunakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggugat kerajaan yang dipilih secara demokrasi,” katanya dalam kenyataan.
Tengku Sharifuddin berkata Dr Mahathir mahu menyelamatkan karier politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengatasi kepentingan nasional. – Bernama

KESAN LOKASI SASARAN MILITAN LEBIH AWAL

Lokasi tumpuan militan perlu dikesan lebih awal – Hishammuddin
MENTERI Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media sempena Pameran Persidangan Pertahanan Asia, DSA 2016 di PWTC. - Yazit Razali
KUALA LUMPUR: Negara di rantau Asia perlu pantas mengesan lokasi panas dan kawasan tumpuan kumpulan pengganas bagi mengelak mereka terus meluaskan sasaran seterusnya. Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein, berkata perkembangan pesat kumpulan militan berkenaan dikesan semakin meluas di selatan Filipina dan Thailand. “Kehadiran kumpulan militan berkenaan ibarat cendawan tumbuh selepas
hujan, jadi kita perlu kenal pasti kawasan mereka bagi mengekang penularan ancaman itu secara pesat di rantau ini. “Malaysia juga ibarat ‘menerima amaran’ dengan serangan di timur Sabah oleh kumpulan
militan dari Selatan Filipina dan impian Nur Misuari untuk menubuhkan ‘khalifah’ di Laut Sulu memberi tekanan supaya tumpuan penuh diberi ke kawasan itu tanpa henti,” katanya. Hishammuddin berkata demikian
ketika menyampaikan ucaptama pada hari kedua Forum Putrajaya yang bertajuk ‘Membina Kerjasama Keselamatan Serantau di Asia Tenggara,’ hari ini. Forum Putrajaya 2016 itu dijangka dirasmikan
penutupannya oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada jam 4 petang ini.