Showing posts with label utusan malaysia. Show all posts
Showing posts with label utusan malaysia. Show all posts

Monday, April 11, 2016

GUAN ENG BERDOLAK DALIK

PULAU PINANG 10 April - Ketua Menteri, Lim Guan Eng seolah-olah cuba berdolak-dalih ketika menyahut cabaran Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan bagi mengadakan debat terbuka berhubung isu ta­nah Taman Manggis di sini.

Terbaharu, Guan Eng dilihat cuba berdrama dalam me­netapkan tarikh debat itu sehingga mempertikaikan lawatan Abdul Rahman ke luar negara.

Kata beliau, Abdul Rahman diberi tempoh sehingga malam Sabtu ini untuk tampil berdebat sekiranya betul dengan cabaran yang dibuat pada Rabu lalu.

“Sabtu ini, 16 haribulan dan saya difahamkan Abdul Rahman akan pulang dari lawatannya ke luar negara pada 15 haribulan iaitu sehari sebelum hari Sabtu ini.

“Jadi tidak ada sebab untuk Abdul Rahman tidak boleh berdebat dengan saya pada Sabtu ini selepas beliau pulang dari luar negara. Buktikan yang beliau betul-betul mahu berdebat dan tidak cuba untuk mengelak atau lari daripada cabarannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rabu lalu, Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategi Barisan Nasional (BN) mencabar Guan Eng berdebat berhubung isu tanah Taman Manggis yang didakwa sudah ditukar milik dan bukan lagi dimiliki oleh Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) setelah dijual kepada pihak ketiga.

Cabaran Abdul Rahman itu disam­but Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya itu sehari selepas cabaran debat terbabit dibuat.

Namun difahamkan, Abdul Rahman kini berada di luar negara kerana mengadakan lawatan rasmi yang diatur kementeriannya dan dijangka pulang ke tanah air pada 18 April ini.
Tambah Guan Eng, cabaran untuk berdebat itu disuarakan Abdul Rahman pada Rabu lalu dan beliau sudi menerima pelawaan debat itu pada keesokan harinya.

“Selepas itu Jumaat lalu beliau menyatakan tidak sabar untuk berdebat, namun dengan tiba-tiba Abdul Rahman berlepas ke luar negara.

“Apa ini? Tindakan Abdul Rahman ini seolah-olah beliau tidak berhasrat untuk berdebat dan hanya mahu bermain-main.

“Kalau betul mahu berdebat, tunjukkan yang beliau serius dan saya tidak mahu sekadar diper­main-mainkan,” katanya.

Selain itu Guan Eng juga me­negaskan beliau tidak akan berundur daripada berdebat dengan Abdul Rahman dan memberi peluang kepada menteri terbabit sehingga Sabtu ini.


Sunday, November 29, 2015

MALAYSIA TERUS DIYAKINI SEBAGAI AHLI MAJLIS IMO BAGI PENGGAL 2016 -2017





TAHNIAH MALAYSIA !   TAHNIAH DATUK SERI LIOW !

Sekali lagi Malaysia berjaya mengekalkan kerusi anggota majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi penggal 2016 ~ 2017. Malaysia dipilih semula untuk kali ke enam berturut-turut. 

Dalam perhimpunan IMO ke 29 yang dijalankan di ibu pejabatnya London, United Kingdom Malaysia telah dipilih sekali lagi mengekalkan kerusi tersebut buat kali ke enam.

Pemilihan ini membuktikan peranan Malaysia amat dihargai dan diyakini oleh rakan anggota dalam Pertubuhan Maritim Antarabangsa. 

Bagi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pemilihan ini mengambarkan dunia mengiktiraf peranan Malaysia dalam perkapalan antarabangsa terutama dalam IMO.

Datuk Liow berkata," Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang mana pengangkutan laut sebagai salah satu kepentingan utama negara amat komited untuk mengambil bahagian secara aktif dalam IMO. Kita mempunyai beberapa pelabuhan yang bertaraf dunia yang terlibat dalam  perdagangan antarabangsa yang berpengalaman mengendalikan lebih 500 juta tan kargo.

Pada masa ini Malaysia telah tersenarai antara 30 negara teratas dari segi armada perkapalan antarabangsa dengan muatan 7.16 juta tan melibatkan lebih 50,000 pelaut. Bahkan dua dari dari pelabuhan Malaysia tersenarai antara 20 pelabuhan paling sibuk didunia. 

Bagi saya mungkin peranan penting Malaysia diperairan selat Melaka salah satu sebab kenapa Malaysia diberi peranan penting dalam Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Selat Melaka merupakan perairan penting bagi laluan kapal antarabangsa yang paling sibuk dalam dunia. Diangarkan lebih 25 peratus daripada perdagangan dunia melalui perairan Selat Melaka  yang mana melibatkan 80,000 buah kapal setiap tahun. 





Sunday, January 4, 2015

PENEROKAAN TANAH DAN PEMBALAKAN ADA KAITAN DENGAN RASUAH

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Masalah penerokaan tanah dan pembalakan yang berleluasa mempunyai kaitan dengan amalan rasuah kerana kemusnahan alam sekitar yang berlaku seolah-olah tiada langsung pemantauan daripada pihak berkuasa.

Nadzim Johan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bencana banjir besar yang berlaku di Pantai Timur boleh dielakkan sekiranya tindakan tegas diambil terhadap amalan rasuah dan pembalakan yang berlaku tanpa kawalan.


“Rasuah ini berlaku dalam banyak peringkat iaitu daripada peringkat kelulusan pemberian tanah sehinggga kepada peringkat pelaksanaannya iaitu pembalakan, sebab itu kerja-kerja yang dibuat tidak mempunyai sistem dan ditarah habis kawasan hutan begitu sahaja.


“Kerosakan alam sekitar yang berlaku ini bagai di luar kawalan, kita tengok sahaja di Sarawak yang kayu balak bernilai RM41.16 juta dirampas dan di Kota TinggiJohor pula hutan simpan seluas 39.94 hektar menjadi lokasi pembalakan haram,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas lanjut mengenai Laporan Eksklusif Utusan Malaysia kelmarin mengenai penerokaan hutan yang berleluasa menjadi antara penyumbang kepada banjir besar terutama di Kelantan dan Pahang ketika ini.


Menurut Nadzim, amalan ra­suah dalam kegiatan pembalakan melibatkan banyak pihak termasuk golongan ahli perniagaan, golongan ahli politik dan pegawai kerajaan berkaitan termasuk di Pejabat Tanah negeri dan daerah serta Jabatan Perhutanan.


“Dalam hal ini, kita perlu ada sistem aduan yang lebih efisyen dan rakyat juga perlu menjadi mata dan telinga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan boleh dikenakan terhadap golongan yang tamak dan rakus ini,” kata­nya.


Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan berkata, beliau mencadangkan sistem penggiliran lokasi bertugas dilaksanakan terhadap ter­hadap pegawai di Pejabat Tanah dan Jabatan Perhutanan bagi menyekat perbuatan salah guna kuasa dan amalan ra­suah.


“Pegawai di Pejabat Tanah atau Jabatan Perhutanan tidak boleh berada di satu tempat terlalu lama kerana boleh mengundang penyelewengan. Selain itu, kerajaan kena betul-betul pantau terhadap apa yang berlaku di bawah untuk membendung masalah rasuah ini,” katanya.

Tegas beliau, inisiatif SPRM membuka pejabat di Cameron Highland untuk memantau penerokaan tanah secara haram boleh dijadikan contoh untuk agensi itu lebih agresif memantau kegiatan pembalakan dan penerokaan ta­nah yang mempunyai unsur rasuah di setiap negeri.

“Kalau kita tidak serius untuk menangani masalah pembalakan dan penyelewengan ini, mereka yang akan menerima kesan adalah generasi akan datang kerana alam sekitar bakal musnah sekiranya kita tidak menjaganya dan memeliharanya dengan baik,” katanya.