Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan haram Hindraf termasuk menyenaraihitamkan pemimpin mereka kerana dikhuatiri memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahya yang menyifatkan langkah seumpamanya perlu memandangkan Hindraf dilihat banyak mempertikaikan isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam.
“Sebab itu, kita minta pihak berkuasa segera bertindak, senaraihitamkan Hindraf. Mereka tidak ramai tetapi mereka perosak yang boleh memberi ancaman kepada negara.

“Tindak-tanduk mereka dilihat menjurus terhadap penghinaan kepada Islam. Sebab itu kami berpendapat Hindraf telah melanggar adab-adab serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindak-tanduk Hindraf kebelakangan ini yang dilihat mempertikaikan perkara berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.
Pertubuhan itu juga dengan lantang mempertikaikan keputusan kerajaan memberi taraf penduduk tetap kepada Dr. Zakir Naik sehingga menulis kepada Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menyifatkan pendakwah tersebut sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
Dalam pada itu, baru-baru ini juga, satu video dikaitkan dengan Hindraf yang menghina orang Melayu pada 2007 menjadi tular semula, namun pengerusinya, P. Waythamoorthy menafikan.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad pula mengingatkan Hindraf supaya tidak bermain api dengan orang Melayu dan Islam yang selama ini telah banyak bertolak-ansur untuk memastikan keharmonian negara terus dipelihara.
Beliau pada masa sama senada dengan Aminuddin meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan itu yang dikhuatiri akan terus mencetuskan ketegangan dalam kalangan penduduk di negara ini.
“Orang Melayu mempunyai maruah dan telah banyak diuji selama ini tetapi kami masih mampu bertahan serta bertoleransi.
“Tetapi dengan pertikaian dan penghinaan yang berterusan, dikhuatiri orang Melayu akan hilang sabar. Imbas semula sejarah, jangan bangkitkan kemarahan orang Melayu,” jelasnya.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik bukan warganegara dan tidak menetap di Malaysia sebaliknya hanya memiliki status penduduk tetap di negara ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Zakir mendapat status penduduk tetap lima tahun lepas dan beliau tinggal di beberapa negara lain.
“Beliau (Zakir) mendapat status penduduk tetap pada lima tahun lepas, beliau bukan warganegara Malaysia,” katanya ketika ditanya sama ada Zakir adalah warganegara Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Ekologi Manusia Antarabangsa anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, Malaysia sedia memberi kerjasama kepada kerajaan India berhubung siasatan terhadap Zakir yang didakwa terlibat dengan aktiviti keganasan melibatkan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) kendaliannya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerjasama itu berasaskan sistem perundangan sedia ada dan rangka kerja hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Jika ada permintaan (daripada pihak penyiasat), kita sedia memberi kerjasama sepenuhnya.
“Jika negara itu mempunyai hubungan dan perjanjian dengan Malaysia, kerjasama boleh dilakukan atas bantuan perundangan bersama (MLA),” katanya.
Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) dilaporkan memohon polis antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis terhadap Zakir bagi menghalangnya keluar dari Arab Saudi berikutan siasatan berhubung aktiviti keganasan terhadap IRF yang diasaskan olehnya.
Berikutan itu, Zakir ketika ditemu bual oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini meminta kerajaan India membuat pendakwaan terhadapnya di mahkamah antarabangsa atau di Malaysia.
Mengenai status sama ada Malaysia akan menghantar duta ke Pyongyang, Ahmad Zahid berkata, satu perbincangan antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan diadakan berhubung perkara itu.
Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) semakin melampau dan melepasi batasan apabila mendesak campur tangan Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan terhadap penceramah terkenal, Dr Zakir Naik.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Hindraf juga telah menuduh Dr Zakir sebagai pengganas dan menggesa kerajaan AS mengambil tindakan terhadap beliau.
“Betapa melampau puak Hindraf ini. Mereka tuduh beliau sebagai pengganas dan gesa tindakan AS ke atas beliau. Bahkan, meminta campur tangan AS ke atas Malaysia dalam kes ini agar Dr Zakir dibawa ke AS untuk didakwa,” kata Mohd Asri di laman Facebook miliknya, semalam.
Beliau turut memuat naik surat tersebut yang ditujukan kepada Setiausaha Negara AS, Rex W Tillerson.
Menurut Mohd Asri, tindakan Hindraf itu disifatkan melampau dan meminta kerajaan bertindak tegas terhadap NGO tersebut kerana boleh mencetuskan isu perkauman di negara ini.
“Hindraf pernah membawa dakwaan ke United Kingdom, kononnya Malaysia mengamalkan penghapusan etnik penganut Hindu di Malaysia. Kini ekstremis Hindu ini kembali mengganas dalam sikap mereka.
“Kita bimbang jika sikap ini ada persamaan mereka dengan pendekatan Tamil Tigers, kumpulan pengganas Hindu yang terkenal itu.
“Tahap keterlampauan puak radikal Hindu ini sudah melepasi batasan yang sepatutnya. Kita memohon agar kerajaan bertindak ke atas mereka,” katanya.
Sebelum ini, katanya, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy pernah mempertikaikan Kerajaan Negeri Perlis menjemput Zakir menyampaikan khutbah di Malaysia dengan alasan sedang disiasat pihak berkuasa India.
Malah, Waythamoorthy turut mempersoalkan apakah motif sebenar kerajaan menggalakkan ceramah Dr Zakir di negara ini.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, Hindraf adalah kelompok radikal agama yang melampaui batas, malah tidak tahu bersyukur atas segala kebaikan yang negara ini berikan kepada mereka.
“Mereka cuba membawa keputusan kerajaan Hindu India ke atas umat Islam di Malaysia. Apakah mereka setuju jika ada pihak yang meminta agar keputusan Iran, ataupun Pakistan ataupun Saudi dilaksanakan ke atas kaum mereka di Malaysia?” katanya.
Beliau berkata, Hindraf bukan sekadar mempersoalkan urusan harian orang Islam, bahkan mempersoalkan hak orang Islam dalam menguruskan solat Jumaat yang merupakan urusan dalaman agama.
“Mereka ini berani pula memberikan amaran kepada pemerintah Muslim dalam hal yang seperti ini. Inilah kumpulan minoriti yang cuba menafikan hak majoriti, yang jika dibiarkan mungkin boleh membawa kepada ketegangan antara agama dalam negara ini,” katanya.
Mohd Asri berkata, Malaysia hanya boleh menerima pendekatan yang harmoni dalam beragama dan menolak sikap radikal serta ekstrem yang membawa kepada keadaan tidak baik untuk negara majmuk.
“Kumpulan radikal seperti ini wajar ditiadakan dari negara yang sepatutnya memilih pendekatan yang sederhana,” katanya.