Wednesday, February 17, 2016

BEKAS POLIS DIPENJARA 263 TAHUN

DANIEL HOLTZCLAW mendengar keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman
DANIEL HOLTZCLAW mendengar keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 263 tahun kerana merogol empat wanita dan melakukan serangan seksual terhadap beberapa wanita lain semasa berkhidmat sebagai pegawai polis di Oklahoma City. - AP
SEORANG bekas anggota polis Oklahoma City yang disabitkan bersalah merogol dan melakukan serangan seksual terhadap wanita berkulit hitam yang dijadikan mangsa ketika dia melakukan rondaan, dihukum penjara 263 tahun dalam satu prosiding mahkamah yang meruntun emosi.
Daniel Holtzclaw menerima hukuman maksimum bagi 18 pertuduhan rogol dan serangan seksual terhadap sekurang-kurangnya lapan wanita Afrika-Amerika dalam kejadian yang berlaku pada 2013 dan 2014.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Timothy Henderson setelah mangsa-mangsa wanita itu memberitahu mahkamah bahawa bekas pegawai polis terbabit telah memusnahkan kehidupan mereka.
Tiga daripada mangsa memberikan kenyataan menyayat hati semasa prosiding tersebut, termasuk mangsa yang paling tua berusia 58 tahun, Jannie Ligons, dan yang paling muda berusia 17 tahun.
“Kejadian itu amat sukar diterima oleh keluarga saya. Ia juga amat sukar bagi saya,” ujar remaja terbabit kepada mahkamah.
“Setiap kali saya ternampak polis, saya tidak tahu apa hendak buat. Saya tidak pergi ke luar, dan bila saya keluar, saya berasa gementar,” katanya lagi.
Holtzclaw, 29, ternyata kelihatan marah dan cuba merenung mata (eye contact) dengan wanita-wanita tersebut, menurut seorang wartawan KOCO.
Sehari sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, peguam Scott Adams yang mewakili Holtzclaw telah memfailkan petisyen untuk memohon perbicaraan baharu berdasarkan dakwaan bahawa bahan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) telah dikeluarkan daripada siasatan.
Walau bagaimanapun hakim menolak usul tersebut atas alasan tidak terdapat cukup keterangan.
Anggota polis terbabit dijatuhi hukuman tersebut setelah disabitkan bersalah pada hujung tahun lalu terhadap 18 daripada 36 pertuduhan termasuk meliwat dan merogol.
“Saya berpendapat orang ramai perlu menyedari bahawa dia bukanlah seorang pegawai penguat kuasa undang-undang yang melakukan jenayah-jenayah sebegini. Dia adalah perogol yang bertopengkan pegawai penguat kuasa undang-undang,” kata Pendakwa Raya Oklahoma City, Scott Prate.
Bapa tertuduh, Eric Hiltzclaw berada di mahkamah ketika anaknya dijatuhkan hukuman tersebut di Oklahoma City pada hujung Januari lalu.
“Jika dia benar-benar pegawai penguat kuasa undang-undang, dia sepatutnya melaksanakan tanggungjawabnya untuk melindungi warga tempatan, bukannya menjadikan mereka sebagai mangsa,” kata Prate.
Meskipun pertuduhan yang dihadapinya melibatkan lapan orang mangsa, namun 13 wanita telah tampil memberi keterangan di mahkamah dan semuanya memberitahu cerita yang sama dan menakutkan iaitu Holtzclaw mensasarkan wanita-wanita di kawasan kejiranan berpendapatan rendah di Oklahoma City, tempatnya meronda, memeriksa mereka kononnya untuk mencari dadah sebelum bertindak merogol mereka.
Semua mangsa adalah wanita berkulit hitam. Holtzclaw pula merupakan anak kacukan Inggeris dan Jepun selain merupakan anak bekas pegawai polis Oklahoma.
Dia disabitkan bersalah oleh barisan juri yang kesemuanya terdiri daripada orang berkulit putih.
Pada peringkat pembelaan, peguam bela Holtzclaw cuba membuatkan kes terhadap bekas pegawai polis dan bekas pemain bola sepak Eastern Michigan University itu sebagai pegawai contoh yang berusaha membantu wanita-wanita berkenaan tetapi telah disalahtafsirkan oleh mangsa-mangsa terbabit.
Holtzclaw, yang tidak memberi keterangan pada perbicaraan kes terhadapnya, dipecat pada Januari 2015 ekoran pertuduhan tersebut selepas kira-kira tiga tahun berkhidmat dalam pasukan keselamatan.
Sewaktu didapati bersalah oleh mahkamah pada hujung tahun lalu, Holtzclaw membuang sifat malunya dengan berjurai-jurai menitiskan air mata. Semasa dia dibawa keluar dari mahkamah dia dilaporkan berkata “Saya tidak melakukannya”.

Sumber : Utusan

BAUKSIT: TANAH FELDA BUKIT GOH TERIMA KESAN NEGATIF



Yang dikejar tak dapat, yang dikendong entah kemana ia berciciran...., Apa lagi yang sesuai lagi untuk diperkatakan berkenaan perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh, Kuantan Pahang. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa lagi masalah bauksit di Felda Bukit Goh, Kuantan ini ?

Masalah bauksit yang menjadi pencemaran alam sekitar dan ancaman kesihatan kepada penduduk setempat yang kini sedang diselesaikan oleh kerajaan telah masuk fasa kedua.

Kini kedengaran desas desus bahawa ada dikalangan peneroka ingin kembali menanam kelapa sawit selepas perlombongan bauksit berakhir. Namun apa yang menjadi persoalan, bolehkah kelapa sawit ditanam semula setelah kerakusan pengusaha bauksit meragut hasil dari Tanah Felda Bukit Goh.

Profesor Dr Maketaab Mohamed, Pensyarah di Fakuliti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mendedahkan bahawa tanaman kelapa sawit berkemungkinan besar tidak lagi boleh ditanam. Menurutnya akibat daripada perlombongan itu,  kawasan tanah tersebut telah menghasilkan sejenis logam berat yang dikenali sebagai KROMIUM TRIVALEN.

Pakar kimia menyifatkan logam ini sebagai racun yang boleh menganggu pertumbuhan pokok kelapa sawit. Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia.

Walaupun kuantiti kromium trivalen masih terkawal,  namun jika ia terdedah dengan unsur-unsur lain disekeliling kemungkinan ia akan bertambah. Oleh itu kita perlu melihat kesannya dalam jangka panjang. Selain itu kesannya perlu dikawal dari sekarang sebelum ia memberi mudharat kepada rakyat.

Apa yang lebih membimbangkan merkuri yang dikesan dalam air sungai di sekitar kawasan perlombongan bauksit juga boleh membawa kesan kepada kepada kesihatan manusia.

Dr Maketab ketika menyampaikan hasil kajian dalam Farum Kajian Perlombongan Bauksit di Pahang, di Universiti Malaya semalam berkata, sungai yang tercemar dengan Merkuri  boleh menyebabkan timbulnya penyakit minamata yang boleh merosakkan fungsi otak.

Merkuri ini jka tidak diambil tindakan segera untuk membasminya, ia boleh meresap mendap dan dalam tempoh masa tertentu ia akan menjadi metil merkuri yang mana ia boleh memberi kesan kepada rantaian makanan penduduk sekitar kawasan tersebut.

Kadar pencemaran plumbum dan kromium dalam udara di Kuantan juga adalah tinggi. Ini disahkan oleh Prof Dr Jamal Hisham Hashim, Fellow Penyelidik Universiti
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - Institut Antarabangsa Kesihatan Global (UNU-HGH) setelah membuat ujian kadar kualiti udara dengan mengukur habuk halus PM10.

Kadar kedua-dua logam berat semakin meningkat, jika tidak dibendung dan dikawal ia boleh menjadi punca kepada penyakit buah pinggang dan kanser. Indeks Pencemaran Udara (IPU) juga menunjukkan bacaan kualiti udara dikawasan tersebut melebihi 150 mikrogram per meter padu. Rekod Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bacaan melebihi 101 dan kurang 200 adalah sebagai tidak sihat.

Pemuda Selempang Merah merasakan walaupun tindakkan kerajaan agak terlewat dalam isu bauksit ini tetapi jalan penyelesaiannya yang telah diambil akan memberi kesan yang positif jika semua pihak terutama mereka yang terlibat dengan perlombongan bauksit ini mematuhi moratorium yang telah dilaksanakan mengikut fasa yang telah ditetapkan.

Peneroka Felda sepatutnya rujuk kepada Felda terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan. Selama ini Felda yang menjaga kepentingan peneroka, tidak mungkin Felda akan membuat sesuatu keputusan yang akan merugikan peneroka. Kerana kepentingan jangka pendek, peneroka bakal merasai kesannya dimasa akan datang.  

BUDAK TAHUN TIDAK TINGGAL SOLAT DHHA

Ketika murid-murid lain sibuk bergegas ke kantin untuk membeli makanan, seorang murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 1 di sini Muhammad Haziq Amsyar Ahmad Mustamam, 7, menggunakan masa tersebut untuk menunaikan solat sunat duha di surau.
Tengku Kamariah Tengku Losin mengajar cucunya, Muhammad Haziq Amsyar Ahmad Mustamam membaca al-Quran di rumah mereka, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Biarpun begitu bapa kanak-kanak tersebut, Ahmad Mustamam Alang Ahmad, 39, menjelaskan anak sulung daripada empat adik beradik itu tidak mempunyai sebarang kelebihan, sama seperti rakan sebayanya yang lain.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Meranti itu berkata, minat Muhammad Haziq Amsyar untuk menunaikan ibadah sunat itu apabila mendapat penjelasan tentang kelebihan solat itu daripada datuknya, Raja Hasan Raja Bongsu, 85, dan neneknya, Tengku Kamariah Tengku Losin, 80.
“Saya dan keluarga selalu juga solat dhuha tetapi tidak setiap hari. Bila nak solat dhuha dia tanya mengenai kelebihannya. Ayah mentua dan ibu mentua saya selalu bercerita mengenai solat duha kepada dia. Daripada itu minatnya untuk solat duha.

“Bukan solat duha sahaja, Amsyar juga suka solat tahajud, dia selalu berpesan kepada saya supaya kejutkannya solat tahajud tetapi saya tidak galakan sangat pada hari sekolah, bimbang dia mengantuk di sekolah nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Guru, Pintu Geng di sini hari ini.


Katanya, setiap hari anaknya itu tidak makan makanan di kantin dan akan membawa bekal yang disediakan oleh isterinya, Tengku Noor Adlina, 36, yang bekerja sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Bandar di sini pada setiap hari.
Sejak semalam, gambar kanak-kanak itu solat seorang diri di dalam surau sekolah tersebut menjadi viral di laman sosial dan mendapat reaksi positif dari semua pihak.
Sementara itu, Muhammad Haziq Amsyar berkata, setiap kali waktu rehat dia akan meluangkan masa selama beberapa minit pada waktu rehatnya untuk menunaikan solat sunat yang menjadi rutin hariannya pada setiap pagi

“Waktu rehat di sekolah pukul 9.45 pagi, sebelum menunaikan solat saya akan makan bekal yang diberikan oleh ibu dan kemudian bergegas ke surau untuk menunaikan solat Duha.

“Solat ini hanya beberapa minit sahaja dan saya masih ada masa untuk bermain dengan rakan lain kerana waktu rehat setengah jam, ada kawan-kawan ikut solat de­ngan saya sekarang,” katanya.

Tambahya, dia mula bersolat lima waktu sejak berusia lima tahun dan amalan solat duha di sekolah tidak membebankannya.

Sumber : 

MUDAH JALANI RAWATAN BARAH

Kota BJAni ru: Seorang guru yang menghidap barah darah tahap empat sanggup berulang-alik sejauh 110 kilometer setiap hari dari Bukit Panau, Tanah Merah ke tempatnya bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelagat, Jertih, Terengganu sejak bulan lalu.
Mahani Mohd Nor, 37, yang mengajar mata pelajaran Matematik berkata, sebelum ini dia terpaksa berjauhan dengan suami dan empat anak kerana bertugas di SMK Tebobon, Kota Kinabalu, Sabah selama lima tahun.
Katanya, dia kemudian membuat permohonan untuk bertukar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah, bagi memudahkan rawatan penyakit barah yang mula dikesan pada 2014, namun tiada kekosongan di Kelantan sebelum dihantar ke PPD Besut, Terengganu.
“Setiap hari saya akan bertolak dari rumah dengan memandu kereta seawal jam 6.30 pagi untuk ke sekolah selewat-lewatnya jam 7.30 pagi.
“Walaupun agak jauh dari rumah, namun saya bersyukur kerana dapat pulang ke kampung halaman bersama suami, Che Roslan Che Mahmud, 37, yang bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan empat anak yang berusia di antara empat dan 11 tahun biarpun terpaksa berulang alik setiap hari.
“Saya kini tinggal bersama keluarga mentua kerana perlu menjaga mereka yang kini semakin uzur,” katanya di sini, semalam.
Mahani berkata, selepas dipindahkan, ia banyak memberi kemudahan kepadanya untuk menjalani rawatan kimoterapi berkenaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Saya sudah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 10 kali HUSM dan segala ubat dibeli oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan.
“Besar harapan saya jika saya dapat bertukar ke Tanah Merah untuk memudahkan saya mendapatkan rawatan selain menjaga keluarga,” katanya.

MyEG dilantik urus penggajian semula pekerja asing

KUALA LUMPUR - MY E.G. Services Bhd (MyEG) menerima surat pelantikan daripada Kementerian Dalam Negeri berkaitan pengurusan program penggajian semula pekerja asing tanpa izin.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MyEG berkata, surat pelantikan itu menggantikan surat pelantikan bertarikh 4 September 2015.

Semua terma dan syarat yang dinyatakan dalam surat terdahulu akan diganti dengan syarat baharu yang dinyatakan dalam surat bertarikh hari ini, kata syarikat itu.

MyEG berkata projek itu tidak mempunyai nilai tetap memandangkan ia bergantung kepada bilangan pekerja asing tanpa izin yang berjaya didaftarkan.

Ia akan berkuat kuasa dari 15 Februari 2016 hingga 15 Ogos 2016 serta dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan masing-masing berakhir 30 Jun 2016 dan 2017. - Bernama

Program penggajian atasi 2 juta pekerja asing tanpa dokumen


PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dalam talian bermula 15 Februari ini bagi mengatasi masalah pekerja asing tanpa dokumen yang terus menetap di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program tersebut akan dilaksanakan selama tiga bulan pertama untuk melihat keberkesanannya bagi memastikan lebih dua juta pekerja asing tanpa dokumen itu didaftarkan semula secara sah.

Beliau berkata, inisiatif itu diambil bagi membanteras penipuan yang didalangi ejen pekerja asing dalam urusan mendaftarkan mereka.
“Sebelum ini ramai majikan mengadu bahawa pekerja mereka tidak didaftarkan secara sah oleh ejen pekerja asing walaupun sejumlah wang sudah dibayar kepada mereka.

“Program ini juga dapat memastikan majikan membayar levi ke atas pekerja asing mereka,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat 2016 dan pelancaran Dasar Keselamatan Dalam Negeri di sini,hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata program itu akan diteruskan jika penyertaan majikan untuk mendaftarkan pekerja-pekerja asing mereka menerima sambutan.

Bagi tujuan itu, beliau berkata kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan majikan terbabit selepas sambutan Tahun Baharu Cina bagi membincangkan pelaksanaan kadar levi baharu untuk pekerja asing.

“Kita akan teliti (malah) Perdana Menteri sendiri menghubungi saya semasa saya berada di Beijing, China supaya melihat semula pelaksanaan levi tersebut mengikut aspek-aspek tertentu seperti kadar dan tempoh,"katanya

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata lagi, pelaksanaan program itu dijangka akan menyumbang kepada pendapatan tambahan sebanyak RM4 bilion kepada negara.

Pengenalan kadar levi baharu itu dibuat seiring dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lalu.

Tuesday, February 16, 2016

JUALAN KERETA MEWAH CATAT REKOD TERTINGGI

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Di sebalik sentimen pengguna yang lemah, jualan kereta-kereta segmen mewah di pasaran tempatan bakal mencatatkan rekod tertingginya pada 2015 dengan anggaran 23,100 buah.

Menurut firma penyelidikan pasaran Frost & Sullivan (F&S), berdasarkan maklumat rasmi yang diperoleh dari Januari hingga November 2015 dengan ramalan bagi Disember, jualan kereta mewah dijangka mencatatkan jualan 23,100 buah mengatasi jualan pada 2014, sebanyak 19,593 buah.

Daripada 23,100 buah itu, 47.8 peratus dikuasai Mercedes-Benz, BMW 31.9 peratus, Lexus 8.5 peratus, Audi 6.5 peratus, Volvo 2.5 peratus, Land Rover 2.3 peratus dan Jaguar 0.4 peratus.

Penganalisis F&S, Vivek Vaidya berkata, hal demikian berlaku kerana pembeli-pembeli kereta mewah merupakan kelompok yang berpendapatan tinggi dan tidak terkesan terhadap sebarang kesukaran ekonomi yang berlaku pada masa ini.

“Golongan pembeli ini mempunyai profil kewangan yang kukuh dan mudah bagi mereka untuk mendapatkan pinjaman membeli kenderaan. Langkah pihak perbankan mengetatkan peraturan pinjaman pembelian kereta tidak beri masalah kepada kelompok ini.

“Selain itu, dengan pendapatan yang kukuh mereka juga tidak begitu terkesan atau risau terhadap perkembangan ekonomi yang mencabar serta kesan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya semasa membentangkan prospek industri automotif Malaysia 2016 di sini baru-baru ini.

Malah jualan kereta mewah secara bulanan adalah lebih tinggi setelah GST bermula pada 1 April 2015 dengan bulan Mei merekodkan bilangan tertinggi dengan 2,272 buah.
Menurut Vivek, peningkatan itu turut disumbangkan hasil tawaran-tawaran model baharu yang berharga lebih murah terutama sekali apabila beberapa pengeluar kereta murah ini mula mengeluarkan kereta secara pemasangan tempatan (CKD).
Tambahnya, hal itu dapat dibuktikan oleh Mercedes-Benz yang mula melaksanakan CKD bagi model C-Class sejak April sekali gus membantu jenama Jerman itu meningkatkan jualannya daripada sekitar 6,956 buah pada 2014 kepada 11,000 buah pada 2015.
“Apapun peningkatan jualan kereta mewah ini merupakan fenomena global dan tidak hanya berlaku di Malaysia. Pembeli-pembeli daripada golongan pendapatan tinggi tidak terjejas akibat kesukaran ekonomi global,” katanya.
Menurut analisis industri sebelum ini, kesan pelaksanaan GST, sukar mendapatkan pinjaman bank serta sentimen pengguna yang lemah lebih menjejaskan pasaran segmen kereta mampu milik khususnya pengeluar kereta nasional seperti Proton dan Perodua.
Khamis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, kesukaran pembeli untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan merupakan penyumbang kepada penyusutan jualan kenderaan keluaran Proton.
-

Utusan