Friday, May 24, 2013

PUSING SANA PUSING SINI....KENA GANTUNG JUGA


SHAH ALAM 23 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyifatkan tertuduh keempat, R. Kathavarayan, 32, dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, sebagai rakan subahat yang telah memanipulasikan segala keterangan yang telah didengar sebelum ini bagi menyelamatkan nyawanya sendiri.


Sungguhpun begitu, Hakim Datuk Akhtar Tahir menyatakan, adalah tidak wajar untuk mengetepikan kesemua keterangan tertuduh terbabit terutamanya yang disokong dengan keterangan lain seperti kehadiran Sosilawati dan tiga rakannya di Ladang Gadong pada 30 Ogos 2010.
Kehadiran pengasas Nouvelle Visage ke ladang terbabit bersama rakan-rakannya adalah bertujuan untuk mempercepatkan dua keping cek berjumlah RM4 juta sebagai bonus kepada kakitangannya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma beberapa hari.

''Bagaimanapun, terdapat satu bahagian keterangan tertuduh keempat yang tidak pernah timbul pada peringkat awal prosiding yang mana tertuduh keempat telah menceritakannya dengan panjang dan terperinci.
''Ia berhubung dengan tindak tanduk tertuduh pertama memastikan perilaku tertuduh-tertuduh lain sekiranya ditanya oleh pihak polis berhubung kehilangan Sosilawati yang pada ketika itu telah mendapat liputan meluas.

''Dalam erti kata lain, tertuduh pertama sedang menyiapkan ketiga-tiga tertuduh di atas kebarangkalian akan ditangkap dan ditanya mengenai kehilangan Sosilawati dan rakan-rakan.

''Fakta bahawa terdapat perjumpaan bagi membincangkan kehilangan Sosilawati dan rakan-rakan menunjukkan kesemua tertuduh terlibat dalam satu rancangan awal yang telah dilaksanakan pada 30 Ogos 2010 dengan membunuh dan menghapuskan mayat Sosilawati dan rakan-rakannya,'' kata beliau.
Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, beliau memilih untuk mempercayai keterangan saksi pendakwaan ke-33 iaitu pembantu rumah, Siti Hamidah Karnas yang menyatakan dia ada terdengar suara wanita menjerit dan api besar setinggi pokok kelapa sawit.


Ini kerana, sewaktu saksi pembelaan ke-26 yang juga isteri kepada tertuduh keempat itu dipanggil memberi keterangan bagi menyangkal keterangan Siti Hamidah, hakim tersebut mendapati perilaku wanita berkenaan jelas menunjukkan terdapat sesuatu yang sedang disembunyikan.
''Kesemua tertuduh juga gagal memberi penjelasan mengenai barang-barang milik mangsa-mangsa yang ditemui hasil maklumat daripada empat individu yang ditahan.


''Dua daripada pemberi maklumat itu ialah tertuduh kedua (Thilaiyalagan) dan tertuduh keempat yang bekerja dengan tertuduh pertama dan oleh kerana Sosilawati telah pergi ke ladang untuk bertemu dengan tertuduh pertama, maka apa yang berlaku selepas itu boleh dikatakan sebagai arahan daripada tertuduh pertama,'' ujarnya,


Hakim Akhtar turut memberitahu tiada penjelasan diberikan oleh kesemua tertuduh berhubung penemuan darah dan tulang manusia di ladang terbabit.
Penemuan darah dan tulang manusia terbakar di ladang terbabit hanya menimbulkan satu tanggapan mengenai apa yang telah berlaku kepada Sosilawati dan rakan-rakannya iaitu mereka telah dibakar sehingga mati.


GANTUNG SAMPAI MAMPUS...!!!


SHAH ALAM 23 Mei - Selepas perbicaraan berlanjutan hampir dua tahun enam bulan, bekas peguam, N. Pathmanabhan hari ini disabitkan bersalah membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan diperintahkan agar digantung sehingga mati.
Yang turut menerima hukuman serupa ialah tiga pekerja Ladang Gadong milik lelaki berusia 44 tahun itu iaitu T. Thilaiyalagan, 22, R. Matan, 23, dan R. Kathavarayan, 33.
Kesemua mereka menerima hukuman tersebut kerana membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.
Keempat-empat mangsa itu didakwa dibunuh di antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam penghakimannya setebal 16 muka surat, Hakim Akhtar menyatakan, beliau tidak menemui sebarang alasan bahawa kesemua tertuduh tidak boleh disabitkan dengan kesalahan ekoran tiada mayat ditemui.
Ujarnya, bukti yang dikemukakan telah memenuhi elemen yang diperlukan dalam membuktikan pertuduhan membunuh iaitu keempat-empat tertuduh telah menyebabkan kematian Sosilawati dan tiga rakannya dan mereka hanya mempunyai satu niat iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja.
“Kesemua bukti dalam kes ini jika dikumpul kesemuanya bersesuaian dengan pepatah yang menyatakan orang mati tidak akan bercerita. Dalam kes ini, tiga lelaki dan seorang wanita yang mati ‘menjerit’ sekuat hati melalui bukti senyap, satu kisah ketidakjujuran dan penipuan dipacu dengan rasa tamak seorang lelaki yang kerjayanya memperjuangkan kepercayaan dan kehormatan.

“Penyangak profesional ini amat sedikit namun mangsa mereka bukan sahaja yang miskin dan kesempitan tetapi juga yang berkedudukan dan berkuasa.
“Kes ini merupakan bukti kepada satu plot yang keji dilaksanakan oleh seorang penyangak profesional dan pengikutnya dengan sangat kejam," ujar Hakim Akhtar.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd. Ghani, Siti Rohaida Che Hamid dan Deepa Nair.
Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, Puspam Ratnam, Gurbachan Singh, Amer Hamzah Arshad dan Hasshahari Johari Mawi.
Selepas mahkamah berhenti bersidang, dilihat seorang wanita agak berusia mendekati Thilaiyalagan yang sedang menitiskan air mata dan memeluk tertuduh kedua itu sebelum mencium pipi lelaki itu dan berlalu pergi sambil menangis.
Tertuduh-tertuduh lain dilihat tidak menunjukkan sebarang emosi.
Terdahulu ketika menyentuh mengenai beban pembuktian, Hakim Akhtar menyatakan, tanggungjawab tersebut terletak di atas bahu pihak pendakwaan pada setiap masa dan peringkat kes.
Namun, barisan pembelaan mempunyai tugas untuk memberi penjelasan bagi menepis setiap bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan.
Menyentuh mengenai pembelaan Pathmanabhan yang merupakan tertuduh pertama, hakim tersebut menyatakan, tiada sebarang bukti menyokong bahawa dia telah pergi ke Subang Jaya dengan dipandu oleh tertuduh keempat, Kathavarayan.
Sebaliknya, Kathavarayan atau turut dikenali dengan nama Ravi menafikan keterangan itu dan secara tidak langsung menyokong bukti pihak pendakwaan bahawa Pathmanabhan telah pergi ke Subang Jaya dengan memandu kereta salah sebuah kereta mangsanya dan ditemui tidak jauh dari tempat tertuduh itu bertemu rakannya.
Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu kereta milik Ahmad Kamil ditemui di tempat letak kereta Jalan SS12/1B, berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada pukul 10.55 malam, 6 September 2010.
“Tertuduh pertama memberi keterangan bahawa dia mewakili Sosilawati dan seorang lelaki bernama Rahman Palil dalam pembelian dua keping tanah di samping mengaut keuntungan daripada transaksi-transaksi tersebut.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak beretika malah turut menjejaskan sifat adilnya. Tertuduh mewakili Sosilawati dan Rahman Palil dalam transaksi yang sama dan dengan berbuat demikian dia telah terperangkap di antara kedua-dua mereka.
“Adalah keterangan tertuduh pertama bahawa dia berat hati untuk mengaturkan pertemuan di antara kedua-dua pihak. Bila terperangkap, tertuduh pertama mengambil jalan mudah untuk keluar iaitu dengan menghapuskan salah seorang daripada mereka dan malangnya salah seorang itu adalah Sosilawati.
“Tiga lagi yang menemani Sosilawati merupakan mangsa yang berada di tempat salah pada waktu yang salah," kata hakim itu.

MEREKA INIKAH BERADA DI JALAN YANG LURUS ...???

Apabila Rakyat menolak panduan Alquran dan Sunnah Nabi Nya...., mereka tersesat di dalam kegelapan....jiwa , hati , perasaan mereka BLACKOUT...!!! 
Tiada cahaya keimanan, tiada cahaya ketakwaan, yang tinggal jiwa kosong yang diisi dengan kebencian , kejumudan , ketaksuban dan kesesatan.

Dalam surah Sad ayat 79 hingga 83, iblis memohon kepada Allah dipanjangkan umur mereka untuk menyesatkan anak Adam.

Mafhumnya : Iblis berkata “Wahai Tuhanku, jika demikian berilah tempoh kepada ku sehingga ke hari mereka dibangkitkan”.

Allah berfirman : “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh hingga masa yang ditetapkan”.

Iblis berkata : “Demi kekuasaanmu wahai Tuhanku, aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas”.

Thursday, May 23, 2013

ADAM ADLI : HEBAT KE BANGGANG ...???

"KALAU ada polis, kalau ada SB, kalau ada agen-agen daripada UMNO sekalipun, nama saya Adam Adli bin Abdul Halim, no kad pengenalan 890703075357, ambil butiran saya, buat laporan polis, kerana hari ini saya nak ajak semua yang ada di sini kita harus susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk rampaskan kuasa, boleh atau tidak?, boleh atau tidak?, boleh atau tidak?


"Kita tak banyak masa lagi, semua siap sedia, beli kasut, beli tracksuit, beli seluar jeans, sedia kita akan turun ke ke jalan raya, sebab akhirnya dalam dunia ketiga macam negara Malaysia, pilihan raya takkan tumbangkan kerajaan, yang boleh tumbangkan kerajaan hanyalah kuasa rakyat."

Sudah pasti semua orang tahu siapakah individu yang melafazkan kata-kata ini. Adam Adli kini berada dalam tahanan reman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 untuk membantu siasatan kerana kata-kata yang dikatakan menghasut.

Sama ada dia bersalah atau tidak, biarlah mahkamah menentukan apabila siasatan yang dijalankan oleh pihak polis selesai.

Tetapi malangnya, pemimpin pembangkang melihat penahanan Adam Adli mahasiswa yang digantung pengajian oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) seolah-olah satu kesempatan untuk mereka terus berpolitik.

Oleh itu, kelmarin beberapa pemimpin pembangkang menghadiri perhimpunan haram di hadapan Lokap Berpusat Jinjang, Kuala Lumpur bagi membantah penahanan Adam Adli.

Antara mereka yang hadir ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Kapar R.Sivarasa, Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr.Nasir Hashim dan beberapa individu lagi.

Persoalannya, apakah istimewanya Adam Adli sehingga kata-kata yang dilafazkan tidak boleh disiasat?

Kita ingin bertanya, apakah Wan Azizah dan pemimpin pembangkang lain akan mendiamkan diri jika kata-kata yang sama dilafazkan dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan pembangkang di negeri-negeri yang mereka perintah.

Sudah pasti tidak! sebaliknya mereka akan berkempen siang malam untuk memastikan orang yang membuat gesaan berkenaan dihadap ke muka pengadilan, kononnya atas alasan bagi menghasut.

Tetapi bagaimana dengan kenyataan Adam Adli? Kenapa pembangkang beria-ia hendak membela pelajar itu?

Semuanya kerana Adam Adli bersuara mengikut rentak politik pembangkang. Oleh itu pembangkang menyifatkan tidak ada apa salahnya Adam Adli berkata demikian.

Hakikatnya, pembangkang hanya akan bersuara kononnya atas nama keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia hanya jika sesuatu perkara itu mempunyai kaitan dengan politik mereka.

Inilah sikap 'double standard' yang tidak sudah-sudah ditunjukkan oleh pembangkang, pemimpin-pemimpin DAP begitu mengecam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau menggesa pembangkang berhijrah ke negara republik jika tidak mahu menerima sistem pilihan raya negara ini.

Malah mereka merancang membawa usul mencela beliau di Dewan Rakyat kerana kenyataan beliau dianggap menghina rakyat dan memperlekehkan demokrasi.

Tetapi kenapakah dalam kes Adam Adli ini, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak membiarkan sahaja proses undang-undang berjalan.

Sama ada Adam Adli bersalah atau tidak biar undang-undang yang menentukannya, kalau dia dihadapkan ke mahkamah pembangkang ada hak untuk menyenaraikan seberapa ramai pun peguam, bukankah pembangkang mempunyai barisan peguam yang hebat-hebat belaka!

Kenapa perlu mengadakan perhimpunan bagi membantah penahanan bagi tujuan penyiasatan itu? Apakah ini amalan politik baru pembangkang iaitu membela sesiapa sahaja yang dilihat melanggar undang-undang asalkan ia boleh mendatangkan keuntungan politik kepada mereka? Wajarkah mengadakan perhimpunan di hadapan balai-balai polis bagi membantah penahanan seseorang individu? Atau ini cara baru politik pembangkang yang semakin 'besar kepala' kerana mendakwa menguasai undi popular dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)?

Apa pun kita berharap pihak berkuasa tidak akan tunduk kepada tekanan politik yang dilakukan oleh pakatan pembangkang. Selagi ia dilaksanakan mengikut undang-undang maka pihak berkuasa tidak perlu takut dengan puak-puak yang merasakan mereka sahaja yang betul, benar dan sempurna.

Malah bukan kata Adam Adli sebaliknya siasatan juga harus dijalankan ke atas ramai lagi aktivis pro pembangkang yang dilaporkan secara terang-terangan menghasut rakyat turun ke jalanan untuk menumbangkan kerajaan.

Kita memahami pembangkang kini sedang 'meroyan' kerana kegagalan untuk menawan Putrajaya. Sebab itulah, apa sahaja yang boleh digunakan bagi menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mereka lakukan. Ia termasuklah mengadakan perhimpunan haram demi perhimpunan haram.

Pembangkang gembira kerana perhimpunan haram mereka mendapat sambutan tetapi kita percaya yang hadir itu bukannya mewakili majoriti rakyat negara ini.

Ia hanya dihadiri oleh golongan tertentu yang turut kecewa kerana impian mereka untuk melihat BN tumbang tidak menjadi kenyataan sedangkan pemimpin-pemimpin pembangkang sudah menguar-uarkan PRU-13 milik mereka.

Inilah sikap pembangkang, mereka cuba menggambarkan mereka sentiasa berada di pihak yang benar, begitu juga dalam kes Adam Adli, mereka cuba menggambarkan anak muda yang masih mentah dalam mainan politik itu dianiaya.

Pelbagai tuduhan mereka lemparkan ketika berucap termasuklah menggesa pihak polis dan Ahmad Zahid membebaskan Adam Adli tanpa syarat.

Soalnya, apakah kerana Adam Adli membuat kenyataan yang dilihat menyokong agenda pembangkang, maka dia layak terlepas daripada undang-undang jika dia bersalah?

Oleh itu kepada pemimpin-pemimpin pembangkang, matanglah sikit dalam berpolitik, jangan semuanya mahu disondol sehinggakan soal berkaitan perlanggaran undang-undang mahu dipolitikkan. Terimalah hakikat Adam Adli bukan insan istimewa sebaliknya hanya sekadar seorang mahasiswa yang digantung penggajian akibat terpengaruh dengan mainan politik sempit pembangkang.

Zulkiflee Bakar

Wednesday, May 22, 2013

PEKARA 3 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


CATATAN:
Per. 2: Lihat Per. 22, 113(3), 159(4)(bb).
Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

 (2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.


(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.
CATATAN:
Per. 3(2):
Perkataan "Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja" dalam baris satu dan dua menggantikan "Melaka dan Pulau Pinang" menurut Akta 26/1963, subseksyen 7(1), berkuat kuasa dari 16-09-1963. Per. 3(3):
Perkataan "Negeri-Negeri Melaka dan Pulau Pinang" digantikan dengan "Negeri Melaka , Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak" oleh Akta A354, seksyen 3, berkuat kuasa dari 27-08-1976. 1. Akta 261/1963, subseksyen 7(2), berkuat kuasa dari 16-09-1963, menggantikan "dan Pulau Pinang" dengan "Pulau Pinang dan Singapura". Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 09-08-1965, memasukkan semula versi asal "Pulau Pinang".
2. Lihat Per. 5 Perlembagaan Negeri Melaka dan Pulau Pinang.
Per. 3(5):
1. Ditambahkan oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 01-02-1974.
2. Perkataan "Wilayah Persekutuan" digantikan dengan "Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan" oleh Akta A585, Jadual, berkuat kuasa dari 16-04-1984.
3. Perkataan "Kuala Lumpur dan Labuan" digantikan dengan "Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, seksyen 12, berkuat kuasa dari 01-02-2001.

BUDAK HINGUSAN CARI GLAMOUR




SHAH ALAM - Susulan penahanan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim berhubung siasatan di bawah Akta Hasutan, dunia siber malam tadi seolah-olah "dibanjiri" dokongan tidak berbelah bahagi kepada anak muda ini.

Tidak cukup kata-kata semangat di laman sosial Facebook, Twitter, blog, malah ribuan dari pelusuk tanah air, tanpa mengira kaum, berhimpun di hadapan Balai Polis Jinjang dan di beberapa lokasi lain bagi memberi sokongan kepada Adam Adli.

Nyalaan lilin dilakukan sebagai simbolik kepada bantahan penahanan Adam Adli.

Pemimpin-pemimpin pembangkang dan aktivis masyarakat juga terus mengecam di laman sosial masing-masing, mendakwa penahanan Adam Adli sebagai bersifat terpilih dan zalim.

"Najib janji mansuh Akta Hasutan tapi kini tahan pemimpin Mahasiswa Adam Adli disiasat bawah Akta itu. 1 lagi BN tipu," tulis pemimpin DAP, Nga Kor ming menerusi laman mikro Twitter miliknya malam tadi.

Sementara A. Samad Said pula menerusi laman sosial sama menulis, "semakin lama Adam diperam, semakin gema jerit melawan".

Selain itu difahamkan, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut berkumpul di hadapan balai yang menempatkan Adam Adli sebagai tanda solidariti kepada pemuda itu.

"Di depan pusat reman dekat Balai Polis Jinjang, sertai himpunan setiakawan kepada Adam Adli yang ditahan di sana. Ramai betul. Wan Azizah pun ada," tulis Syed Husin Ali  di laman mikro Twitternya.

Adam Adli ditahan reman di Balai Polis Jinjang bermula Ahad sehingga esok.

Penahanan aktivis mahasiswa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Ia ekoran ucapannya yang mengajak orang ramai turun berdemonstrasi jalanan sebagai protes menentang keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dalam program anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM).

Dalam ucapan ringkas itu, Adam Adli didakwa mengajak semua pihak mengadakan demonstrasi jalanan kerana mendakwa PRU13 baru-baru ini tidak sah kerana telah berlaku penipuan.

"Kalau ada polis, SB (cawangan khas), ejen Umno, ejen Barisan Nasional di sini, nama saya Adam Adli Abd Halim... ambil butiran saya, buat laporan polis kerana hari ini saya mahu mengajak semua rakyat, kita susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk merampas balik kuasa.

"Kita tidak banyak masa lagi, kita akan turun ke jalan raya sebab dalam dunia ketiga seperti negara Malaysia ini, pilihan raya tidak akan menumbangkan kerajaan, yang boleh hanyalah kuasa rakyat. Ini sahaja peluang kita ada," katanya dalam ucapan seperti tersiar dalam Youtube.

Kenyataan berbaur hasutan itu disahkan polis berlaku pada minggu lalu di Dewan Himpunan Cina 

AIR ASIA TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN


Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dikecam berikutan mutu perkhidmatan yang mengecewakan serta sikap sambil lewa khususnya dalam memberi penjelasan dan pertolongan kepada penumpang yang berdepan masalah.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kelemahan AirAsia itu bukan sesuatu yang asing kerana sebelum ini pelbagai aduan serta rungutan berhubung perkhidmatan 'tidak serupa bikin' syarikat penerbangan itu dibuat penumpang.

Menurut beliau, AirAsia tidak boleh melepaskan diri dengan alasan mengikut piawaian kesihatan global kerana syarikat itu juga terikat dengan tanggungjawab sosial korporat.

"Walau apa jua masalah yang dihadapi penumpang, AirAsia sepatutnya selesaikan terlebih dahulu apatah lagi insiden tersebut berlaku di luar negara yang sememangnya asing kepada rakyat negara kita," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden malang yang menimpa seorang ibu, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, dan bayinya, Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan, yang dilarang kakitangan AirAsia menaiki pesawat AK 1455 di lapangan terbang Ho Chi Minh, Vietnam, Sabtu lalu.

Walau bagaimanapun, AirAsia dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook semalam memberi penjelasan berbeza selepas mendakwa larangan yang dikeluarkan pihaknya itu selepas disahkan doktor lapangan terbang bertugas yang mengisytiharkan Maryam Sofea tidak sihat.

Sementara itu, Aktivis Pengguna Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustaffa Hamzah memberitahu, pihaknya menerima pelbagai aduan berhubung pelbagai perkhidmatan AirAsia termasuk caj berat barangan yang disifatkan terlampau tinggi dan tidak munasabah.

"Sehubungan itu, pengguna perlu bertindak memboikot syarikat seperti ini yang terlalu mengejar keuntungan sehingga lupa unsur-unsur kemanusiaan serta sikap belas kasihan," katanya.

Dalam masa sama, beliau menyarankan kerajaan mengkaji operasi AirAsia dan mengembalikan sepenuhnya perkhidmatan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan Firefly yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC) sekiranya syarikat tambang murah itu tidak mahu bertanggungjawab dengan pelbagai aduan penumpang.