Sunday, October 14, 2012

RIWAYAT:Tun Abdul Razak bin Dato' Hussin

 Tokoh ini telah dilahirkan pada 11hb Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan. Beliau dibesarkan di Kampung Jambu, Langgar, Pekan, Pahang Darul Makmur. Pendidikan awal yang diterima oleh beliau adalah di Sekolah Melayu Kg. Jambu. Beliau juga terpaksa berulang-alik ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 4 batu dari rumahnya.
    Arakian, beliau adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam kelas. Setelah menamatkan pembelajaran di peringkat rendah, beliau telah melanjutkan pembelajaran di Malay College Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai MCKK. Berkat usaha yang gigih, beliau menyambung pembelajarannya di Raffles College Singapore (RCS).
    Beliau juga aktif dalam sukan dan berpersatuan semasa berada di MCKK dan RCS. Beliau memilih bidang perundangan sebagai bidang pengkhususan beliau di peringkat yang lebih tinggi. Beliau telah menamatkan pembelajaran beliau di Lincoln's Inn, London dalam masa 18 bulan sahaja.
    Di samping menuntut ilmu di negeri orang, beliau juga mendalami politik di London. Beliau telah menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oleh Parti Buruh British dengan tujuan untuk memberi kesedaran politik kepada anak-anak Persekutuan Tanah Melayu. Selain itu, beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Student's Union.
    Malangnya.... beliau terpaksa balik ke Tanah Melayu dan berhenti belajar disebabkan oleh kepulangan bapanya ke rahmatullah pada April 1950. Kemudian beliau berkhidmat dengan kerajaan Pahang sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan.
    Selepas 2 tahun berlalu, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah berjaya dalam perkhidmatan awam ini dan menunjukkan tanda-tanda kejayaannya dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan.
    Kemudian beliau telah menjadi Ketua Pemuda Umno. Beliau telah dilantik sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan pada 1 Februari 1951. Pada tahun 1951, iaitu semasa Tunku Abdul Rahman menjadi yang Dipertua UMNO, beliau menjadi Timbalan yang Dipertua dalam usia 29 tahun. Beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk menjadi Pemangku MB Pahang selama beberapa bulan pada tahun 1955.
    Semasa beliau menjadi timbalan juga beliau telah menbuat draf-draf untuk Perlembagaan Tanah Melayu dan ikut serta dalam rombongan menuntut kemerdekaan daripada pihak British ke London pada tahun 1956 yang mana pada masa itu negara di dalam jajahan Inggeris. Semasa kemerdekaan umur Tun Abdul Razak ialah 35 tahun. Semasa berkhidmat dengan kerajaan beliau telah memegang beberapa portfolio, di antaranya ialah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Tetapi adalah menjadi kebanggaan Tun Razak semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran yang pertama. Beliau telah mewujudkan satu panduan falsafah pendidikan yang bertujuan menyatupadukan rakyat. Penyata itu dikenali sebagai Penyata Razak 1956.
    Jika dilihat pada diri beliau itu kita dapat melihat bahawa beliau memegang konsep demokrasi berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi dalam setiap kepimpinannya. Semasa Tun menjadi Menteri Pembangunan Negara Dan Luar Bandar, satu gerakan pembangunan luar bandar telah diwujudkan, gerakan itu ialah:
  • merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Dasar itu dikenali sebagai Buku Merah yang dilengkapi dengan Bilik Gerakan yang mencatatkan butir-butir rancangan setiap daerah termasuklah segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangannya.
  • berusaha menjamin pendapatan petani-petani setimpal dengan apa yang diusahakan. Beliau telah mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Dan Negeri (FELDA) untuk membantu petani terutamanya kaum Melayu.
  • membuka tanah-tanah untuk tanaman bagi diusahakan,anak-anak petani disekolahkan dan mengadakan pelbagai aktiviti industri termasuklah kemudahan kewangan dan teknik untuk mereka.
  • memberi peluang kepada bumiputera terlibat dalam perniagaan dengan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA), PERNAS dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat.
Kesemua ini telah membuahkan pembangunan negara pada hari ini.
    Dengan peranan yang begitu cemerlang yang dimainkan oleh Tun Razak, beliau telah digelar sebagai Bapa Pembangunan dan juga Bapa Perdamaian. Kehebatan beliau menghadapi ujian banyak dilihat dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Pelbagai pembangunan yang dibawa oleh Tun Razak telah menjadikan beliau idola pemimpin lain terutamanya pemimpin yang baru hendak meningkat pada masa kini. Semasa darurat tahun 1969 negara diperintah di bawah MAGERAN diketuai oleh Tun Abdul Razak yang memerintah secara 'Decree'.
    Dalam pimpinan itu beliau berpendapat bahawa 'kuasa penuh tak akan memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat'yang bermaksud satu bentuk kepimpinan haruslah mendapat sokongan ramai dan harus menerima pelbagai pendapat terutamanya rakyat. Sebagai Pengarah MAGERAN, beliau telah berjaya memulihkan keamanan dengan memupuk sifat keharmonian dan muhibbah untuk rakyat dan telah kembali mewujudkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.

HARUN DIN LEBIH LAYAK JADI MURSYIDUL AM


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali meminta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan jawatan itu kepada Timbalannya, Datuk Haron Din demi menjaga keutuhan parti tersebut.
Katanya, sudah sampai masanya Nik Abdul Aziz memikirkan untuk menyerahkan tanggungjawab besar itu kepada Haron bagi menjamin martabat Pas sebagai penjaga kepada perjuangan Islam.
"Sebelum nasi menjadi bubur, Nik Abdul Aziz wajar memikirkan untuk menyerahkan tanggungjawab besar sebagai Mursyidul Am kepada timbalannya yang saya yakin mempunyai kemampuan dan kewibawaan setara dengan beliau,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Jati mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa Pas tetap akan bekerjasama dengan DAP demi mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 meskipun mendapat tentangan daripada ahli Pas di peringkat akar umbi.

852 hari : Pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz




Biodata Ringkas
Nama                  : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu            : Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab
T/Lahir                : 61H
Umur                  : 39 tahun
Tarikh M/Dunia    : 101H
Jawatan              : Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah
Tarikh Lantikan    : Safar 99H @ 717M
Lama Berkhidmat : 2 tahun 5 bulan.

Pendidikan
Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka spt Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.
Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya)

Sifat-Sifat Peribadi
Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah   Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.
Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk  jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.
Pada suatu hari beliau berkhutbah yang mana antara isinya adalah spt berikut ;
"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah."
"Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi  hari tidak akan sampai ke   petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian ditengah-tengahnya"
"Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat."
"Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira ? Saya berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin".
"Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka ? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya."
"Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : "Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga" Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang"
Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Di antaranya ialah :
        1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : "Dari anakku (zuriatku)  akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"
        2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik  telah berkata : "Aku  tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul  Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah"
        3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata : "Aku telah beberapa kali mendengar     suara datang dalam mimpiku yang berbunyi : "Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil"." Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya".
        4) Qais bin Jabir berkata : "Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun"
        5) Hassan al-Qishab telah berkata :"Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz"
        6) Umar b Asid telah berkata :"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang  lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"
        7) 'Atha' telah berkata : "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara  satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka." 
       
Umar Ibnu Aziz Sebagai Khalifah
Beliau dilantik menjadi Khalifah stelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat khalifah tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem fuedal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :
            1) menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran
            2) merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal
            3) memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah
            4) menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan    beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.
Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.
Beliau juga amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebegaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa'  Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW.
Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.
Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.
Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab ! yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.....
Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan
2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan....
Tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat...........kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri..
Semua ini adalah jasa Khalifah Umar b Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada  pemerintahan  zaman moden ini....hanya   852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman..satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan ornag yang benar-benar ikhlas.....!!!

Saturday, October 13, 2012

ELAK NAFSU KUASAI DIRI : TUN 1998



 Manusia biasanya amat gemar melihat yang tinggi jatuh merudum. Perasaan iri hati dan benci memang kuat dalam hati manusia. Tetapi manusia juga dikurniakanTuhan dengan akal fikiran, tahu apa dianya keadilan, tahu menimbang di antara sesuatu dengan yang lain walaupun dengan perkara yang tidak boleh ditimbang atau diukur secara fizikal. Manusia tidak seperti haiwan yang tidak ada akal fikiran dan tidak tahu membanding dan menimbang di antara sesuatu dengan yang lain. Haiwan hanya mempunyai nafsu. Masyarakat manusia yang membenarkan diri mereka dikuasai oleh nafsu semata-mata tidak mungkin dapat mendirikan tamadun yang tinggi, tamadun yang mampu berjaya, yang boleh membawa kebahagiaan hidup kepadanya.

 Dalam masalah kegawatan ekonomi yang kita hadapi ini, kita, terutama UMNO, ahli-ahlinya, pemimpin- pemimpinnya di semua peringkat, tidak boleh membenarkan nafsu menguasai pemikiran kita. Sebaliknya pemikiran hendaklah menguasai atau sekurang-kurangnya membendung nafsu. Biarlah orang lain dikuasai perasaan iri hati, benci, dendam dan sebagainya. Apa juga yang kita lakukan hendaklah diasaskan kepada pemikiran dan perhitungan sesuai dengan tamadun yang tinggi, insya- Allah.

 Apakah benar kegawatan dan kemerosotan ekonomi disebabkan oleh Kerajaan-kerajaan negara Asia Tenggara dan Timur tidak cekap, tidak telus, korup, mengamalkan `crony-capitalism` dan sebagainya? Jika benar, sejak bila? Apakah ia bermula pada bulan Julai 1997? Atau mungkinkah dalam beberapa bulan atau tahun sebelum 1997 keburukan pemerintahan negara-negara ini telah sama-sama menjadi begitu ketara? Mungkin. Tetapi sehingga bulan Julai 1997 negara-negara ini dipuji kerana kecekapan pemerintah mereka. Negara mereka digelar `Harimau` dan `Naga Asia`, dengan ekonomi yang berkembang pesat, dengan industri yang bertaraf dunia, yang mampu mengeluarkan barangan yang canggih yang boleh bersaing dengan jayanya di pasaran dunia. Rakyat mereka mewah, mempunyai pekerjaan, tidak merusuh dan pecah kedai untuk mencuri barang.

Tiada siapa menafikan adanya korupsi, ketidaktelusan dan sebagainya dalam Kerajaan-kerajaan di Asia Timur ini. Negara maju di Barat pun tidak bebas daripada gejala ini. Tetapi negara yang terlalu buruk pemerintahannya tidak mungkin dapat dibangunkan dengan pesat. Banyak negara membangun yang tidak dapat dimajukan sama sekali kerana pemerintahan yang korup, tidak telus, tidak cekap dan lain-lain. Kenapakah negara yang jelas mempunyai pemerintahan yang terang- terang korup dan tidak telus tidak mengalami kejatuhan nilai matawang seteruk negara-negara Asia Timur? Kita hairan mengapa ada negara-negara membangun yang dahulu tidak dapat dibangunkan walaupun di tahap yang sederhana tetapi hari ini nilai matawang mereka lebih tinggi daripada matawang kita. Sebaliknya negara-negara Asia Tenggara yang sekarang dikatakan mempunyai pemerintahan yang buruk pernah tumbuh dengan pesat dan tinggi dahulu, sehingga digelar `Harimau` ekonomi.

RIWAYAT HIDUP SALAHUDIN AL AYUBI




Salahudin Al-Ayubi atau nama sebenarnya Sholahuddin Yusuf bin Ayyub, Atau Saladin –menurut panggilan orang Barat– lahir pada tahun 1137M, di kota Tikrit, berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 km dari kota Baghdad.

Beliau dari suku bangsa Kurdish dan semasa dilahirkan keluarganya dihalau dari Tikrit oleh pemerintah Baghdad kerana dituduh penghianat. Dalam perjalanan ke Alleppo Salahudin dilahirkan sehingga ayahnya berkata Anakku ini dilahirkan ketika aku dalam kesusahan. Aku bimbang kelahirannya membawa sial. Tidak siapa menyangka bayi itu menjadi pahlawan terbilang.

Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi mendapat pendidikan ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaddin Shirkuh atau Assaddudin Shirkuwah seorang panglima perang.

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak Kurdish biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka suatu hari nanti dia akan merampas kembali bumi Palestin dari tentera Salib. Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya ke arah itu.

Kerjayanya bermula sebagai tentera berkuda Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, kemudian dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah. Pada mulanya Salahudin berasa berat hati hendak berangkat ke Mesir kerana lebih sayangkan Aleppo. Sesungguhnya Allah perancang yang Maha Bijaksana seperti yang termaktub dalam Al Quran; Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu (Al-Baqarah:216).

Apabila Salahudin sampai di Mesir keadaan tiba-tiba berubah. Dia yakin Allah telah memberi tanggung jawab kepadanya untuk membebaskan Baitul Muqaddis dari penaklukan Kristian. Dia menjadi seorang yang zuhud dan tidak tergoda dengan kesenangan dunia.

Stanley Lane Poole mencatatkan bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah warak dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Jerusalem. Salahuddin pernah berkata, Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin DIA juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan DIA memenangkan perjuangan Islam.

Sehubungan dengan itu Salahudin telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad. Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin, jurutulis Sultan Salahudin mencatatkan, semangat Salahuddin sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya.Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila dia telah memulakan jihad melawan tentera salib dia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang kehilangan anak. Dia akan bergerak dari satu penjuru ke penjuru yang lain dalam usaha menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Ketika perang berlansung dia lebih suka berpuasa. Semasa mengepung Acre dia demam namun tetap berpuasa. Doktor peribadinya berkata bahawa Salahuddin hanya berbuka dengan beberapa suap makanan sahaja kerena tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu.

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis Hajatnya tercapai pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Israk Mikraj, Salahuddin telah memasuki Masjidil al Aqsa.

Dalam catatan Bahauddin menyatakan inilah hari kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan Allahhu Akbar dan Tiada tuhan melainkan Allah telah bergema ke angkasa.

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman tentera Salib. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Dia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah.Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat dari atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan.

Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin. Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Lane-Poole juga menuliskan dalam setiap peperangan Salahuddin sentiasa berbincang dalam majlis yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Dia sentiasa melakukan sembahyang berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Dia sentiasa mengerjakan sembahyang Tahajjud. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga hari terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan.

Dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Tetapi dia tidak pernah membayar zakat harta kerana tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia tidak meninggalkan harta. Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku. Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kemangkatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan tidak kesampaian. Dia sangat gemar mendengar bacaan Quran. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Quran para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati sehingga air matanya membasahi dagunya.

Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi dari pada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak dia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Dia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.

Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah mereka dan berangkat.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam satu peperangan tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah mereka menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga dia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan.

Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat. Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, kuberikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah yang lain. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi ini sehingga ajalku sampai.

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Dia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat resam mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya orang Kurdish. Dia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Quran dia juga banyak menghafal syair-syair Arab. Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Quran.

Kejayaan terbesar Sultan Salahudin Al Ayubi ialah mengalahkan tentera Salib pada tahun 1171. Baginda memerintah selama 22 tahun telah membina kubu pertahanan dikenali sebagai al-Qalaah (Citadel) yang mana melindungi kota Kaherah dan kota lama al-Fustat dari serangan musuh. Selepas beliau meninggal pada tahun 1193 di Damsyik, Syria, pewaris-pewarisnya telah memerintah Mesir sehingga tahun 1250.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai seorang yang memilliki kelebihan daripada orang lain kerana menunjukkan akhlak yang mulia. Menurutnya pada hari tentera salib menakluk Jerusalem pada tahun 1099, mereka telah menyembelih orang-orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak, bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam. Pada keesokan harinya mayat-mayat orang Islam bertimbun setinggi paras lutut di sepanjang jalan di Jerusalem.

Tetapi apabila Sultan Salahudin al-Ayubi menakluk kembali Jerusalem pada 1187, tentera Islam tidak membunuh seorang pun penduduk Jerusalem , malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut semua agama (tidak kira sama ada Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar tersebut.

Satu lagi kebaikan yang ditunjukan oleh Sultan Salahudin ialah kepada musuhnya Raja Richard Berhati Singa yang datang dari England. Ketika peperangan sedang berlansung, Raja Richard jatuh sakit lalu Sultan Saladin mengirimnya buah-buahan segar, air sejuk dan seorang dokter. Kerana terharu dengan kebaikan Sultan Salahudin maka akhirnya ditandatangani perjanjian damai pada 1 September 1192 sehingga orang-orang Eropah berasa takjub bagaimana agama Islam boleh melahirkan seorang pahlawan yang baik seperti Salahudin Al Ayubi.

Sebelum meninggal dunia Sultan Salahudin Al Ayubi berpesan kepada anak-anaknya; "Jangan kamu menumpahkan darah, kerana apabila darah telah terpercik tidak ada yang tertidur."

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin.

Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas jatuh sakit, dia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar seorang yang warak telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya membaca al Quran. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Quran. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan.

Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, Memang benar tidak ada Tuhan selain Allah. Selepas dia mengucapkan kata-kata itu dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali 1 dinar 47 dirham. Harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk belanja pengkebumiannya. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Friday, October 12, 2012

BANI JAWI




Bangsa Melayu yang telah wujud berkurun lalu pada hari ini telah semakin luntur sifat jatidirinya. Adab serta adat beransur ditinggalkan, bahkan budaya barat telah mengambil tempat mengisi ruang dalam masyarakat itu hari ini. Pengikisan sifat asli bangsa Melayu sedikit demi sedikit telah melemahkan bangsa yang sebelum itu adalah penguasa agung, pernah memerintah dan menubuhkan empayar-empayar yang menjadi lagenda dunia. Menyedari bahawa bangsa ini mewarisi keagungan mereka, maka wujudlah tindakan tersusun dari musuh tradisi mereka untuk menghapuskan sifat serta jatidiri terhadap keturunan bangsa ini. Selain proses ‘pembutaan’ sejarah kepada anak-anak Melayu, banyak lagi subjek-subjek lain yang menjadi sasaran termasuklah tulisan Jawi yang telah sebati dengan orang Melayu semenjak 800 tahun lalu.

Perkataan Melayu itu sendiri sebenarnya adalah sebutan ‘baru’ kepada kaum yang dahulunya dikenali sebagai bangsa Jawi oleh sebahagian penduduk dunia. Sedangkan makna perkataan Bani Jawi menurut Ibnu Athir al-Jazari di dalam kitabnya, al-Kamil fi at-Tarikh, berasal dari perkataan "BANI JIWI".  Perkataan “Bani” bermaksud “Kelompok atau Kaum”, manakala suku kata “Ji” adalah “Satu” dan “Wi” pula bermaksud “Widhi atau Tuhan”. Dengan sendirinya perkataan Bani Jawi itu adalah merujuk kepada kaum yang meyakini adanya satu Tuhan.

Menurut Ibnu Athir al-Jazari lagi, asalnya kaum Melayu adalah dari kaum penghijrah yang berasal dari negeri “atas angin” yang dinamakan “al-Jawwu” iaitu dari Asia Tengah ke Asia Timur. Kaum yang berhijrah di Asia Timur ini adalah kaum yang mendiami pergunungan atau tanah tinggi. Menurut bahasa Sanskrit, gunung atau tanah tinggi disebut sebagai “Mala”. Bangsa Mala adalah merujuk kepada orang yang mendiami tempat tinggi, iaitu Bani Jawi yang berhijrah dan tinggal di kawasan pergunungan. Kaum ini kemudiannya datang ke tanah tinggi di Indocina yang kemudiannya membentuk Kerajaan Melayu Champa dan Empayar Langkasuka.

Menurut sebahagian sarjana sejarah, asal usul orang Melayu adalah dari kaum yang tinggi tarafnya di dalam suatu tamadun agung purba. Mereka berasal dari golongan pemerintah, pahlawan serta cendikiawan. Kaum ini berhijrah selain menjaga syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Mereka juga turut menyebarkan ajaran dari syariat anutan mereka di sepanjang perjalanan serta pengembaraan mereka menuju ke timur (Asia Tenggara). Bagaimana pun apabila tiba di satu peringkat syariat ajaran Nabi Ibrahim a.s. telah dipesong dan disesatkan oleh golongan mungkar, maka muncullah Bani Jawi dalam mencari kebenaran dalam beragama.

Jika dilihat dari peninggalan hasil penggalian ahli arkeologi, didapati bumi Nusantara ini mempunyai hasil peninggalan  atau artifak yang menunjukkan anutan agama atau budaya bangsa Melayu terdahulu lebih menjurus kepada Hindu-Buddha. (Bukannya penemuan arkeologi tersebut membuktikan penduduk Nusantara ini berasal dari China atau India, juga bukan sebagai bukti bahawa ianya hasil penaklukan empayar tertentu.) Jika dilihat penghijrahan bangsa Melayu dari Champa yang berbudaya Hindu ke arah  selatan (Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Indonesia), mereka kemudiannya menukar anutan kepada Buddha. Bukan setakat itu sahaja, Nusantara telah menjadi tempat penyebaran dan pembelajaran agama Buddha terbesar di dunia sehinggakan penganut dari China dan Tibet turut datang ke sini bagi mendalami ilmu masing-masing.

Bani Jawi ini cukup sensitif dalam beragama, jika diyakini terdapat kecurigaan dalam pengamalan, mereka akan mencari jalan untuk mendapatkan kebenaran. Sifat MENCARI KEBENARAN ini adalah salah satu sifat orang Melayu jati dan terus hidup dalam seluruh urat saraf mereka. Bangsa ini tidak akan teragak-agak menukar anutan agama mereka, sekiranya syariat baru yang diperkenalkan dapat meyakini bahawa itulah itulah agama dari Tuhan Yang Maha Esa.

Sinar Islam telah tiba di Nusantara seawal abad ke-7 Masehi, sebahagian orang Melayu telah menerima agama baru tersebut dengan baik walaupun penerimaannya masih belum menyeluruh. Gelombang penerimaan Islam di Nusantara pada skala yang besar dan menyeluruh ialah pada abad ke-14 Masehi, walaupun pada abad ke-8 serta abad ke-12 Islam telah berkembang di Pasai dan Langkasuka. Ini menunjukkan Bani Jawi itu terdapat di dalam diri mereka sifat mencari kebenaran dalam menuju kepada Tuhan Yang Maha Esa. Islam diterima tanpa penentang serta pertumpahan darah (kecuali di satu dua tempat yang majoritinya penduduk peribumi/aborigin).

Berbalik kepada perkataan Melayu yang masih baru kepada Bani Jawi, ianya adalah bukan satu hipotesis atau dogengan orang tua. Kemunculan perkataan MELAYU ini hanya bermula pada abad ke-20 berbanding kewujudan bangsa itu sendiri yang paling singkat pun kira-kira 800 tahun dahulu atau jauh lebih lama dari itu! Sebelum itu orang Arab memanggil Melayu sebagai orang Jawi (sekarang ini disebut Malazei untuk orang Melayu di Malaysia), manakala orang Cina menyebutnya sebagai “Mo-lo-yo” atau “Ma-lai-yuer”. Bahkan orang Inggeris menyebut bangsa ini sebagai “Malay”. Bagaimana pula hari ini kita menyebut bangsa agung ini sebagai ‘Melayu”.

Syeikh Ahmad al-Fatani  bin Muhammad Zain bin Mustaffa (1856 – 1908) adalah seorang ulama dan tokok pemikir bangsa Melayu yang masyhur namanya, baik di Nusantara bahkan di negeri Arab telah menulis di dalam kitabnya:

“ … iaitu himpunan kaum-kaum Melayuwiyah nisbah kepada ‘Melayu’ dengan kasrah MIM atau difathahkannya  dan dammah YA. Mereka itu adalah suatu kelompok atau golongan yang besar daripada manusia. Negeri mereka adalah sesubur-subur negeri di dunia. Ianya teletak di antara negeri Hindi dan China dan kebanyakan dari pulau Waq-Waq….”

MIM   LAM-ALIF   YA   WAU   =   MALAYU, kenapa jadi MElayu. Begitu juga…

FA   ALIF   SIN   =  PAS, dalam ejaan Jawi. Tetapi dalam tulisan Rumi sepatutnya ejaan tersebut menjadi PIS!


Cuma sekadar menyebut dua contoh bagaimana bangsa Malayu dimelayukan menerusi penghapusan tulisan Jawi. Sedangkan percakapan asal orang Melayu adalah berlidah Jawi. Contohnya:  SIN ALIF YA.  Huruf YA  disebut oleh orang Kelantan sebagai “Yo” . Sebutan SAYA di Kelantan menjadi “sayo”.

Penghapusan tulisan Jawi adalah salah satu langkah menghilangkan indentiti Melayu dan Bani Jawi itu sendiri yang tercantum dengan agama anutan mereka, Islam.  Selain itu makna asal MALAYU itu sendiri juga telah hilang seterusnya hilanglah juga asal usul bangsa Malayu itu sendiri.

Kini wujud perkataan Melayu yang tidak mempunyai makna kepada bangsa tersebut. Maka wujudlah satu perkataan yang lebih ajaib iaitu UMNO atau ALIF MIM NUN WAU yang lebih dekat dengan orang Melayu kerana ianya merujuk kepada PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU. Maka gugurlah sifat Inggeris pada perkataan UMNO itu sendiri.

Melayu tidak menjadi kuat dengan perkataan FA ALIF SIN dan ALI MIM NUN WAU, tetapi kekuatan sebenar ialah apabila bersatunya orang Melayu dengan kembali kepada sifat Bani Jawi asal, untuk menentukan kedaulatan bangsa dan negara sendiri. Penghayatan ajaran Islam sebenar yang syariatnya lebih tinggi daripada falsafah serta ideologi politik  adalah merupakan kekuatan sebenar bangsa, yang kini semakin MElayu…

MUHAMMAD AL-FATEH



Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”  (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyah.
Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary R.A. telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.


PENGENALAN
 Baginda dilahirkan pada 26 Rejab 835 Hijriah (29 Mac 1432 ) di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (855 – 886H / 451 – 1481M). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada hari Khamis, 4 Rabiul Awal 886 bersamaan dengan 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda diracun.  
PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
Di dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek,  Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik. Di dalam bidang Ilmu politik pula, ayahandanya, Sultan Murad II, ketika memencilkan diri di Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Ia bertujuan untuk mendidik bagina dalam usia yang sebitu muda. Walaupun begitu baginda telah  matang menangani tipu helah musuh.


KEPERIBADIAN
Muhammad al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Baginda seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi (pahlawan Islam dalam Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis.
Baginda sentiasa bersifat tawaduk dan rendah diri. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit.

Bosphorus adalah sebuah selat yang memisahkan Turki bahagian Eropah dan bahagian Asia, menghubungkan Laut Marmara dengan Laut Hitam. Selat ini sepanjang 30 kilometer, dan lebar maksimum 3.7 kilometer pada bagian utara, dan minimum 750 meter antara Anadoluhisar? dan Rumelihisar?. Kedalamannya antara 36 hingga 124 meter.
Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.


MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Byzantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
MENARA BERGERAK
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
BANTUAN DARI POPE VATICAN
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Byzantin.

PERANG DARI PUNCAK GUNUNG
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.
MEMANJAT DAN MELASTIK DINDING
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.


KARISMA SEORANG PEMIMPIN
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
PENAWANAN CONTANTINOPLE
Pada 20 Jumadil Awwal 857 / 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali  Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya itu.
INGATAN
Memikirkan tentang kehebatan al-Fateh dan tenteranya... suatu ketika, dalam perjalanan menuju ke Constantinople, tentera al-Fateh melalui sebuah kebun anggur yang besar dan buahnya sedang masak ranum. Namun, sebelum melalui kebun tersebut, al-Fateh telah mengingatkan tenteranya supaya jangan diambil anggur itu walaupun sebiji.
Perjalanan diteruskan hingga sampai di suatu tempat, mereka berehat. Setelah didirikan khemah dan berehat, pembantu al-Fateh keluar dari khemah dengan wajah yang sugul dan memanggil semua tentera berkumpul. Para tentera diberitahu bahawa al-Fateh telah jatuh sakit. Setelah diteliti oleh tabib, ubat yang diperlukan adalah sebiji anggur. Maka dia bertanya kepada seluruh tentera, siapa yang mempunyai buah anggur, kerana jika tidak, mungkin al-Fateh akan terus sakit dan mati. Malangnya, tiada seorang pun tenteranya mempunyai buah anggur. Lalu tahulah al-Fateh, bahawa tenteranya bukan sahaja kuat dari segi fizikal, malah rohani mereka juga. Benarlah, tidak seorang pun dari tenteranya yang mengingkari perintahnya. Maka keluarlah al-Fateh dr khemah, dan memuji tenteranya dan menerangkan kepda mereka maksud sebenar.