Friday, September 30, 2016

MH17 : MALAYSIA TEGAS DAKWA PENJENAYAH



Amerika nampaknya seolah-olah cuba mencurah minyak  apabila mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dengan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) untuk menyiasat nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17. 


Laporan interim semalam yang dikeluarkan Pasukan Penyelamat Bersama (JIT) membuat kesimpulan, MH17 ditembak jatuh menggunakan pelancar peluru berpandu BUK yang dibawa dari Rusia ke Ukraine.

Maria Zakharova, Jurucakap Kementerian Luar Rusia menyelar laporan tersebut dan menyifatkan ia sebagai berat sebelah dan bermotifkan politik. 

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula dengan tegas mengulangi pendirian Malaysia akan mendakwa mereka yang terlibat dan bertanggungjawab terhadap insiden nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai 2014. 

Menurutnya Malaysia sesekali tidak akan goyah untuk mendapatkan keadilan apatah lagi setelah dengan pengumuman JIT yang akan melanjutkan siasatan tersebut sehingga Januari 2018. Kenyataan yang sama juga yang disuarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan. 

Berdasarkan laporan interim JIT dan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB), Malaysia mahukan tindakan yang komprehensif bagi memastikan komuniti dunia berasa lebih aman dan selamat ketika berada di ruang udara. 

Lebih 100 orang individu yang dikaitkan dengan tragedi MH17 dalam laporan tersebut. Apa yang lebih menarik dalam laporan tersebut pemberontak menjadikan kawasan pertanian berhampiran bandar di Kharkiv, Ukraine sebagai tapak pelancar peluru berpandu BUK 9M38 buatan Rusia.

Laporan inilah yang membuat Rusia berang dan menuduh dunia berat sebelah kepada negaranya. 

Dari awal lagi Rusia menawarkan negaranya untuk sama-sama menyiasat insiden ini, bagaimanapun penyiasat antarabangsa te­lah mengetepikan Rusia daripada mengambil bahagian penuh dalam siasatan berkenaan, sebaliknya hanya memberi peranan tidak penting dalam usaha itu. 

Apatah lagi Amerika dilihat  begitu menyibuk dalam hal ini seolah-olah cuba menentukan setiap keputusan menyebelahi proksinya di Ukraine. Konflik ini mungkin akan berlarutan kerana campur tangan dua kuasa besar ini. Apa pun sebagai rakyat Malaysia kita mengharapkan kerajaan dapat membawa penjenayah sebenar ke muka pangadilan. 











MALAYSIA DIIKTIRAF DUNIA



Malaysia sekali lagi mendapat pengiktirafan dunia apabila Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Azharuddin Abdul Rahman dipilih sebagai Presiden Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada perhimpunan agung ke-39 yang berlangsung di Montreal, Kanada. Ini kerana penglibatan Malaysia yang aktif dalam ICAO.

Pemilihan Azharuddin Abdul Rahman  itu diumum Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menganggap ia sebagai pengiktirafan kepada Malaysia.


Ketika insiden kehilangan pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan ke Beijing pada 8 Mac, 2014, Azharuddin lah  antara pegawai yang sentiasa berhadapan dengan media antarabangsa mewakili Malaysia menjawab semua soalan mereka. 



Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai melahirkan kegembiraannya menerima pengiktirafan ini diatas sokongan aktif dan pernyertaan Malayia dalam ICAO. Dalam pada itu beliau juga turut berpeluang memberi ucapan mengenai hala tuju penerbangan awam global di perhimpunan agung yang sangat berprestij itu.

Ini satu bukti kepercayaan dunia kepada kemampuan dan kekuatan hubungan Malaysia dengan industri penerbangan awam negara lain di seluruh dunia. 

Dalam ucapan itu beliau menekankan akan kepentingan ICAO yang sangat penting bagi memastikan keselamtan , kecekapan dan kemampanan dalam sektor penerbangan awam. Beliau juga melahirkan komitmen Malaysia dalam menyokong inisiatif yang dibawa oleh ICAO ke arah mencapai matlamat tersebut.

Justeru itu Malaysia juga berhasrat  mengemukan pencalonan untuk pemilihan semula kepada Majlis ICAO dengan harapan agar Malaysia dapat terus memberi khidmat dan mampu berperanan serta aktif dalam organisasi antarabangsa itu. 

Thursday, September 29, 2016

PATRIOTISME RAKYAT MALAYSIA



Patriotisme merupakan satu perasaan cintakan watan, kasih sayang dan hormat kepada tanah air sendiri. Ia juga merupakan satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda. Mereka yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi akan mampu mendorong dirinya bekerja keras demi negara, melindungi warisan dan budaya serta sanggup mempertahankan negara dari dimusnahkan oleh anasir luar atau dalaman. 

Patriotisme juga memberi makna dedikasi dan pengorbanan seumur hidup untuk negara. Patriotisme melambangkan semangat kekitaan yang menyatukan rakyat yang biasanya disimbolkan dengan mengibarkan bendera dan menghormati lagu kebangsaan. 

Di Malaysia, sejarah kebangkitan bangsa daripada belenggu penjajahan untuk membentuk negara yang bebas merdeka dan memperlihatkan perjuangan sesuatu bangsa yang penuh dengan semangat patriotisme. Semangat patriotisme yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu sanggup berkorban demi mempertahankan negara adalah contoh yang patut dihidupkan sepanjang masa. Pengkaji sejarah melihat semangat patriotisme di Malaysia bermula sejak Zaman Melaka dan menyemarak pada abad ke 17.

Secara umumnya patriotisme bersifat motivasi, rasional, harapan dan pembaharuan semula, kelangsungan hidup, rela berkorban, organisasi kesukarelaan, kenegaraan dan cinta negara. Maka, dalam konteks negara Malaysia, patriotisme yang ingin diterapkan adalah mempunyai nilai-nilai berikut: 

1. Berbangga sebagai rakyat Malaysia
- berakhlak dan berbudi pekerti mulia 
- menghormati raja dan pemimpin negara
- menghormati lambang-lambang negara (seperti bendera, lagu kebangsaan, jata negara) 
- menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara 
- menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa 

2. Bersemangat setia negara 
- cintakan bangsa dan negara 
- taat dan setia kepada raja dan pemimpin negara 
- sedia berkorban untuk bangsa dan negara 
- bertanggungjawab kepada bangsa dan negara 
- berani dan sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara 
- peka kepada masalah dan isu tentang bangsa dan negara 

3. Bersemangat kekitaan 
- bersatupadu dan berharmoni 
- bertolak ansur dan bertoleransi 
- bekerjasama dan tolong-menolong 
- hormat-menghormati 
- bersefahaman dan bermuafakat
 - muhibah 

4. Berdisplin 
- mempertahankan dan menjunjung Perlembagaan Negara 
- mematuhi peraturan dan undang-undang - berkelakuan sopan dan bertatasusila 
- bertanggungjawab 
- bertindak dengan wajar 
- bersifat amanah dan jujur 
- berlaku adil dan bertimbang rasa 

5. Berusaha dan produktif 
- rajin dan gigih 
- berdikari 
- sentiasa mempertingkatkan usaha 
- tabah menghadapi cabaran 
- menyokong dan melibatkan diri dalam usaha pembangunan 

Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik melalui kata-kata, pemikiran dan tindakan mereka dalam menjaga kepentingan negara. Mereka yang patriotik boleh menyumbang pandangan dan pendapat ikhlas dalam bidang tertentu yang boleh membawa kebaikan kepada negara. 

Patriotisme perlu dipupuk sejak kecil lagi. Kanak-kanak yang telah terdidik dengan cintakan negara akan membesar dengan jatidiri yang kental, menghargai warisan, menerima kepelbagaian, mencintai sejarah negara dan berusaha untuk membangunkan negara dalam semua aspek. Sewajarnya patriotisme diterapkan dalam diri pelajar melalui kesedaran, pendidikan serta perlu disesuaikan dalam menyemai rasa bangga dan kekitaan terhadap negara.

Sebenarnya kanak-kanak boleh dibentuk untuk TIDAK melihat sesuatu perkara berdasarkan warna kulit. Mereka boleh diletakan dan dibiarkan bermain bersama-sama agar mereka dapat mengenali, memehami dan menghargai rakan-rakan yang berbeza dari segi warna kulit dan latar belakang agama. 

Perpaduan haruslah dipupuk dan dibajai bermula di sekolah di mana usaha ini boleh dibuat bagi menyemai nilai keharmonian antara kaum, perpaduan dan keamanan. Pendekatan ini memerlukan kebijaksanaan guru-guru mengunakan kreativiti untuk melibatkan pelajar dari semua kaum untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang boleh meningkatkan integrasi dan perpaduan kaum. 

Seharusnya selepas 59 tahun kita merdeka, rakyat Malaysia perlu lebih bersatu kerana kita berkongsi harapan, cita-cita dan impian yang sama serta berbangga mengenalkan diri sebagai rakyat Malaysia. Tidak akan berkurangnya seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh atau apa sahaja kaum apabila mereka menjadi rakyat Malaysia. 

Dengan penerapan nilai-nilai patriotisme dalam diri, perpaduan dan integrasi nasional akan menjadi lebih kukuh dan bersemangat. Telah terbukti dalam tinta sejarah, Malaysia dapat mengatasi sebarang cabaran apabila rakyatnya bersatu padu. 

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan warna kulit telah melengkapi diantara satu sama lain dan kepelbagaian ini tidak harus menjadi halangan untuk menjalani kehidupan yang harmoni.

Wednesday, September 28, 2016

PERSEMPADANAN SEMULA : MCA BERI CADANGAN



Isu persempadan semula masih menjadi isu hangat bukan sahaja di pihak pembangkang malahan antara parti-parti komponen BN termasuk UMNO, MCA dan MIC. Masing-masing memberi hujah dan alasan bagi menyatakan pendirian masing-masing. 

Kebanyakannya pendapat tidak menunjukkan tanda-tanda menyokong persempadanan semula ini dilaksanakan. 

Bahkan ketika Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Datuk Seri Haji Mohammad Haji Hassan  apabila diajukan oleh pembangkang dalam Dewan Undang Negeri, Negeri Sembilan menjawab sambil berseloroh "Kita (kerajaan) tidak tahu berkenaan pekara ini, SPR tidak pernah berbincang pun dengan kerajaan berkenaan persempadanan semula ini", "jika SPR berunding dengaan kerajaan senanglah, dah lama kita menang semua kerusi dah". disambut gelak ketawa oleh semua ahli dewan.  

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Kaa Siong pula berkata pihaknya bersedia mengemukan cadangan yaang telah dikaji kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) .

Menurutnya lagi semua cadangan tersebut telah dikaji dengan teliti dari setiap sudut dan semua aspek yang penting namun tidak boleh didedahkan lagi kerana tidak mahu pihak pembangkang  mengambil kesempatan. 

Seperti yang dijelaskan oleh Presiden MCA , Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai bahawa persempadanan semula ini perlu melambangkan perpaduan kaum di Malaysia maka oleh itu cadangan ini juga mengambarkan aspirasi perpaduan dan integrasi antara kaum di Malaysia. 

HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA: CABARAN, KESAN DAN PROSPEK





Sejarah hubungan dua hala antara Malaysia dengan China bermula pada abad ke-15 pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Dinasti Ming, khasnya dalam bidang perdagangan.

Sejak Malaysia menjalin semula hubungan diplomatik dengan China pada tahun 1974 hasil daripada kunjungan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, iaitu Datuk Seri Abdul Razak Hussain, pelbagai usaha telah diambil di peringkat Kerajaan dengan Kerajaan bagi melaksanakan beberapa mekanisme kerjasama dua hala bagi memudahkan dan meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara. Usaha-usaha ini telah membantu dalam memupuk hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih erat antara Malaysia dan China.

Ekonomi China yang berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan ia kuasa ekonomi serantau dan global. Ahli perniagaan Malaysia perlu melihat perkembangan rancak ekonomi di China sebagai peluang kepada kedua-dua negara untuk bekerjasama demi faedah bersama.

China telah menjadi pasaran yang penting dan semakin meningkat bagi eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia. China juga boleh dilihat sebagai lokasi yang kompetitif bagi usaha sama antara syarikat Malaysia dan China dalam pasaran serantau dan global dan sumber pelaburan asing ke Malaysia.

Kepesatan China dalam bidang perdagangan dan ekonomi merupakan persaingan untuk eksport Malaysia di pasaran antarabangsa. Ini merupakan satu trend di mana produk-produk China yang semakin berkualiti dan mempunyai harga yang kompetitif dan ini akan memberi persaingan sengit kepada produk negara lain. Di samping itu, produk-produk China juga mematuhi piawaian dunia dan mendapat pengiktirafan dan penerimaan di kalangan pengguna dalam pasaran tradisional Malaysia seperti Amerika Syarikat, Jepun, dan Kesatuan Eropah.

Syarikat-syarikat China juga telah dinaik taraf penjenamaan mereka , sesetengahnya bertaraf dunia dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Barangan jenama China tertentu hari ini telah diterima baik di negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Eropah. Di samping itu, satu kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa 7 daripada 10 jenama yang paling diiktiraf di China, berbanding lima tahun lalu di mana jenama Jepun menguasai dalam senarai.

Sebenarnya banyak syarikat multinasional terkemuka dan syarikat-syarikat asing telah memindahkan pelaburan mereka ke China. Ada juga yang telah menempatkan semula operasi pengeluaran mereka di China, mengambil kesempatan daripada kos buruh yang lebih rendah termasuklah syarikat yang telah lama bertapak di Malaysia. Sebagai contoh, banyak syarikat elektrik dan elektronik Jepun telah menubuhkan unit pengeluaran di China untuk menghasilkan TV dan radio. Produk yang kemudian dieksport kembali ke Jepun dan negara-negara lain.

China begitu komited dalam melaksanakan segala pembaharuan bagi memenuhi kehendak WTO, dengan kelebihan kos pengeluaran yang lebih rendah, pasaran domestik yang besar dan buruh yang banyak telah menjadikan negara China sebagai magnet untuk pelaburan asing. Dari 1997-2000, China telah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) secara puratanya sebanyak AS $ 42 bilion bersih setiap tahun. Pada tahun 2001, aliran masuk FDI ke China berjumlah AS $ 46.8 bilion. China sahaja telah menguasai lebih 70 peratus daripada aliran masuk FDI ke dalam negara-negara membangun.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran yang sukar dari negara China, komuniti perniagaan Malaysia perlu melihat pembangunan ekonomi yang dilakukan di China dengan cara yang positif. Walaupun China adalah sebagai pesaing, mereka juga membuka peluang untuk kerjasama ke arah aliran perdagangan dan pelaburan merentas sempadan. Oleh itu Syarikat Malaysia perlu meletakkan diri mereka untuk mengambil bahagian dalam potensi perniagaan yang besar di China.

Sejak sekian lama Malaysia dan China telah mewujudkan hubungan perdagangan dua hala yang kukuh. Perdagangan antara kedua-dua negara telah dipertingkatkan selama ini. Sejak tahun 1991, jumlah perdagangan telah meningkat sebanyak 6 kali ganda, eksport ke China sebanyak 7 kali ganda dan import dari China sebanyak 6 kali ganda. Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2002, China telah muncul sebagai pasaran eksport ke-4 terbesar di Malaysia dan juga sebagai sumber import.

Malaysia merupakan antara 10 pelabur terbesar di China pada 2008. China kini rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dan pasaran eksport keempat terbesar. Kebanyakan import Malaysia adalah dari China. China juga merupakan destinasi penting bagi pelaburan Malaysia. Tahun 2008, Malaysia merupakan pelabur asing ke-19 terbesar di China. Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah $39.06 bilion pada 2008, meningkat sebanyak 10.3 peratus berbanding dengan 2007. Pengembangan kuat perdagangan dua hala pada tahun-tahun baru-baru ini mencerminkan potensi yang wujud untuk memperluaskan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

. Hari ini, sekitar 47 peratus daripada eksport Malaysia ke China adalah semata-produk elektrik dan elektronik. Produk-produk lain termasuklah minyak sawit, kimia dan produk kimia, petroleum dan peralatan mesin. Begitu juga, 55 peratus import Malaysia dari China termasuk juga produk elektrik dan elektronik diikuti oleh peralatan jentera, bijirin, dan bahan kimia serta tekstil dan pakaian. Jumlah perdagangan dan pelbagai barangan yang diniagakan boleh terus berkembang. Ini memerlukan usaha yang lebih sengit di pihak pengeksport Malaysia untuk mengakses pasaran domestik yang besar di China.

Sebagai sebuah negara yang paling ramai penduduk di dunia dengan peningkatan KDNK per kapita dan pendapatan boleh guna, China membentangkan satu pasaran yang berpotensi besar untuk berkembang. Sejak tahun 1978, pertumbuhan ekonomi China telah meningkat pada purata 10 peratus setahun. Walaupun kelembapan ekonomi global pada tahun 2001, China masih mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.3 peratus dan pertumbuhan KDNK bagi tahun 2002 dijangka pada tujuh peratus.

Kemasukan dana dan pelaburan dari China dilihat penting bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Berdasarkan maklumat yang dikumpul sebanyak RM42.2 bilion nilai pelaburan syarikat-syarikat China telah dibawa masuk ke Malaysia meliputi sektor hartanah, tenaga, pembinaan, pengangkutan dan pengeluaran.

Sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN bulan lalu, Perdana Menteri China, Li Keqiang turut mengumumkan negaranya akan membeli lebih banyak bon tempatan dalam usaha mengekalkan kestabilan kewangan. Kemasukan dana-dana dari China ini dilihat sa­ngat diperlukan untuk memberi sun­­tikan kepada ekonomi Malaysia. Beliau berkata demikian di dalam nota penyelidikannya mengenai Prospek Ekonomi Malaysia untuk 2016. Jelasnya, kehadiran pelabur China itu merupakan antara perkembangan positif kepada ekonomi negara bagi tahun depan, setelah menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang 2015.

Hubungan erat kedua-dua negara ini bakal memberi impak positif bukan sahaja kepada negara Malaysia, bahkan seluruh rantau ASEAN akan mendapat manfaat dari segi ekonomi, pelancongan dan hubungan antara negara. Dalam masa yang sama, hasil kerjasama yang baik ini kedua-dua negara dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang bersangkut antara kedua-dua negara di meja rundingan.


Tuesday, September 27, 2016

TITP : PEMANDU TEKSI DISARAN AGAR DAFTAR SEGERA


Masanya sudah tiba untuk pemandu teksi membebaskan diri mereka dari belenggu yang menjerut leher mereka hari ini. Pemandu teksi yang telah bebas menjelaskan bayaran teksi mereka, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) mengalakkan mereka mendaftar dengan SPAD.

Mereka boleh mendaftar untuk proses memohon mendapatkan permit persendirian / individu. Pekara ini ditegaskan sendiri oleh CEO SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah. 

Inilah langkah yang diperkatakan dahulu oleh kerajaan bagi  membantu pemandu-pemadu teksi  di bawah Program Tranformasi Industri Teksi (TTIP). Inilah satu usaha kerajaan bagi membebaskan pemandu teksi dari terbelenggu bekerja untuk orang lain. 

Selama ini pemandu teksi sering terbeban untuk membayar sewa harian yang tinggi  dan membebankan. Ini juga yang menjadi punca rungutan mereka selama ini. Inilah masanya untuk mereka membebaskan dari belenggu pemilik teksi permit teksi yang membelit mereka selama ini.

Jika dahulu pemandu teksi perlu membayar RM55 ke 60 sehari ( kereta proton Pesona) kepada syarikat pengusaha teksi, bermakna pemandu teksi telah membayar dua kali ganda dari pasaran kereta tersebut. Jika pemandu teksi ingin meneruskan teksi tersebut setelah memiliki kenderaan tersebut, dia perlu membaya RM30 sehari kepada syarikat yang mempunyai lesen operasi. Ia bermakna pemandu teksi tersebut perlu membayar RM900 sebulan yang mana ia tetap membebankan pemandu teksi. 

Kerajaan telah membantu pemandu teksi dengan menganjurkan program 'seed money' sejumlah RM 5,000 untuk membantu pemandu teksi membeli kereta baru untuk dijadikan teksi. Walau apapun kenderaan yang dipilih ia mesti mempunyai 3 bintang sejajar denhan peraturan New Car Assessment Program (NCAP)." kata Azharuddin lagi

Dengan kaedah baru ini diyakini dapat memberi kelegaan kepada kira-kira 63% pemandu teksi yang terikat dibawah sistem pajak.


Selepas dengan bermacam-macam bantuan yang kerajaan berikan ini pemandu teksi yang "banyak bunyi" lagi maka lebih baiklah pergi cari kerja lain. Hidup ini kenalah berusaha  bukan nak mengharapkan bantuan sahaja. Jika orang lain boleh berjaya dengan menghadapi pelbagai rintangan kenapa tidak anda ? 




PERANGI RASUAH MUSUH NEGARA


Rasuah berasal dari perkataan arab iaitu yang berbunyi al-risywah. Dalam Al- Quran ia merupakan salah satu perbuatan yang dianggap sebagai jenayah, batil dan amat ditegah di dalam Islam. Walau bagaimanapun, rasuah ini tidak mempunyai maksud yang spesifik di dalam undang-undang Malaysia.
Melalui Transparency International rasuah diklasifikasikan sebagai satu kegiatan yang melibatkan penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk keuntungan peribadi. Ia menyakitkan semua orang yang bergantung kepada integriti orang dalam kedudukan yang berkuasa.
Amalan rasuah amat bercanggah dengan nilai-nilai moral, etika dan agama majoriti rakyat Malaysia. Ia menyebabkan kerumitan prosedur dan kewangan dalam kehidupan seharian rakyat selain menyumbang kepada ketidakseimbangan sosioekonomi dan menghakis sistem nilai negara Malaysia. Menentang rasuah melibatkan pengurusan polariti antara golongan yang tidak berkuasa dan golongan yang mempunyai kuasa dan budi bicara dalam membuat keputusan.
Kedudukan rasuah Malaysia, menurut Transparency International, telah jatuh ke tangga ke-54 pada tahun 2015 berbanding ditangga 50 pada tahun sebelumnya. walaupun mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada rasuah bukanlah mudah, namun kerajaan sentiasa berusaha bertindak lebih telus, lebih bertanggungjawab dan lebih berorientasikan tindakan.
Rasuah dari segi undang-undang pula merupakan satu perbuatan yang telah mencukupi kepada empat aspek iaitu melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan, penyalahgunaan harta negara, merugikan negara dan memperkaya diri sendiri dan kerabat. Menurut perspektif dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Selain dari perbuatan yang jelas, memberi dan menerima sogokan, mengambil dan memberi sokongan (yang tidak sepatutnya diberi) melalui salah guna kuasa, atau campur tangan dengan motif yang tidak betul juga boleh dianggap sebagai rasuah.
Dari sudut perspektif Islam pula ia bermaksud sogokan, wang suap atau yang seumpama dengannya dengan tujuan yang satu iaitu agar pihak-pihak tertentu dapat mengurus dan menyelesaikan sesuatu hal yang dikehendakinya dengan segera dan menguntungkan.
Berhubung dengan persoalan ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: 
"Mereka suka sekali mendengar perkataan yang dusta lagi sangat suka makan yang haram (seperti wang sogokan dan sebagainya)" 
Hadis nabi SAW ada menyatakan : 
"Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang memberi sogokan dan orang yang menerima sogokan dalam soal hukum menghukum" (Riwayat Abu Daud & Tirmizi).
Sumber daripada Bahagian Hal Ehwal Islam Sabah (BAHEIS), Ibnu Mas'ud telah mentafsirkan ayat di atas seperti berikut iaitu sogokan (rasuah) dapat berlaku pada tiap-tiap sesuatu, barang siapa yang telah memberi sesuatu pemberian dalam sesuatu pembelaan kepada seseorang supaya pembelaan itu dapat mengembalikan yang hak atau dapat menolak kezaliman (aniaya) lantas diterimanya maka pemberian itu dinamakan sogokan juga.
Rasuah sehingga kini merupakan isu yang sentiasa hangat diperkatakan samada dalam bidang politik, perniagaan, personel awam, penguatkuasaan dan sebagainya. Kerajaan sentiasa memandang serius permasalahan ini. Justeru itu, Pelan Integrasi Nasional dilancarkan oleh Perdana Menteri antara lain sebagai usaha untuk menangani rasuah. Rasuah antara gejala sosial atau jenayah yang sukar di atasi selain daripada gejala dadah di negara kita.
Malaysia telah mempunyai undang-undang yang tegas iaitu Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:
i-Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
ii-Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
iii-Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
iv-Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009]
Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha membanteras rasuah dari peringkat bawahan hinggalah diperingkat atasan. Kerajaan juga telah mengambil langkah yang lebih signifikan, termasuk mewujudkan Institut Integriti Malaysia pada tahun 2004 untuk mempermudah pelaksanaan Pelan Integriti Nasional dan menaik taraf Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.
Kerajaan juga telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas peringkat atasan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk mengkaji laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap penyelewengan kewangan yang didedahkan oleh laporan itu.
Sejak tahun pertama dilancarkan, NKRA Membanteras Rasuah telah mengadaptasi pelbagai langkah inovatif sejajar dengan hasrat membasmi rasuah, antara lainnya:
●Membina Pangkalan Data Pesalah Rasuah
●Menubuhkan portal MyProcurement di mana lebih 3,500 kontrak telah disenaraikan di laman web,
●Memberi panduan menggunakan surat sokongan,
●Memperkenalkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblower Protection Act 2010)
●Menubuhkan Pelaksanaan Pakatan Integriti (Integrity Pacts) untuk projek Transit Aliran Massa (Mass Rapid Transit).
●Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah
●Pengeluaran garis panduan dalam memberi ganjaran atau pengiktirafan kepada penjawat awam yang membuat aduan rusuah
●Mengendalikan kempen Anti-Rasuah yang lebih interaktif
●Menerbitkan buku kecil Pembaharuan Perkhidmatan Awam
Nyata, insiatif yang telah diambil telah memberi kesan yang ketara dalam menghapuskan jenayah rasuah. Keberkesanan yang sama turut mendapat tempat di hati rakyat dan masyarakat setempat.
Berdasarkan tinjauan oleh Transparency International tentang Barometer Rasuah Malaysia (TIGCB), kadar rasuah negara telah meningkat sedikit dari 48% pada tahun 2010 kepada 49% pada tahun 2011. Walaubagaimanapun, skor Indeks Persepsi Rasuah Malaysia (Corruption Perception Index, CPI) Transparency International menunjukkan pengurangan daripada 4.4 pada tahun 2010 kepada 4.3 pada tahun 2011.
Hakikatnya, Walaupun ukuran Transparency International tertumpu pada rasuah besar dan bukannya pemantauan keseluruhan usaha NKRA Membanteras Rasuah, kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan aktiviti rasuah dicegah habis-habisan.
Terdapat juga tinjauan lain yang melapurkan pendapat dan sentimen umum yang rata-rata sudah berubah menjadi semakin baik, seiring dengan usaha kerajaan yang semakin mendapat momentum dalam membanteras rasuah.

sumber : Friends of Kedaulatan

Monday, September 26, 2016

KADAR BARU PSC MASIH DALAM KAJIAN



Desas-desus khabar akan berlaku kenaikan terhadap Kadar Cas Perkhidmatan Penumpang (PSC) memberikan pelbagai tanggapan rakyat. Rakyat Malaysia yang terkenal dengan mudah mempercayai sesuatu berita tanpa menyiasat dan menyelidik terlebih dahulu sudah pastilah terus menuding jari kepada kerajaan. Apatah lagi ianya berkaitan dengan wang, memanglah ia akan jadi cerita yang panas. 

Jika mengikut semakan terakhir yang dibuat pada 2011 dan selepas itu kerajaan mengekalkan caj perkhidmatan penumpang iaitu RM65 untuk penumpang antarabangsa manakala penumpang domestik RM9 bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Semakan  ini telah diletakkan di bawah kawalan selia Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia.  Peruntukan dalam perjanjian operasi membolehkan kerajaan dan MAHB untuk menyemak semula kadar caj perkhidmatan penumpang dalam tempoh setiap lima tahun.

Justeru itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menerusi satu kenyataan media  menjelaskan bahawa keputusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan mengambil kita pandangan orang ramai, disamping penggiat dalam industri syarikat penerbangan, kerana keperluan pelancong kekal menjadi keutamaan.

Liow tidak menolak kemungkinan akan berlakunya sedikit kenaikan pada caj perkhidmatan penumpang (PSC) namun semua keputusan ini bergantung dari hasil kajian semula kadar caj semula yang akan dilakukan oleh MAVCOM.

Apa yang penting, seperti kenyataan media Menteri Pengangkutan yang menjelaskan bahawa penilaian kadar PSC ini akan memastikan lapangan terbang Malaysia sentiasa berdaya saing di rantau ASEAN ini. 

Apa yang pasti jika kadar PSC naik sekalipun nanti, nilainya masih tetap yang terendah berbanding negara lain. 

Sunday, September 25, 2016

HARGA PROTON YANG BERPATUTAN



- Faktor harga yang murah menjadikan Proton Saga ba­haru yang dilancarkan secara rasmi pada 28 September ini menjadi tarikan utama kepada orang ramai untuk memilikinya.
Keratan Utusan Malaysia semalam.

Tinjaun Mingguan Malaysia di Proton Edar, Jalan Chan Sow Lin dan Bandar Sri Permaisuri mendapati orang ramai sudah mula mengunjungi pusat pameran Proton bagi mengetahui butiran lanjut mengenai Proton Saga baharu yang akan dilancarkan Rabu ini.

Seorang pengunjung, Abdul Syafiq Abdul Samat, 30, berkata, harganya yang murah menjadi salah satu daya penarik untuk menjadikan Saga sebagai salah satu pilihan hatinya.

“Harga jualan Saga baharu antara RM37,000 hingga RM46,000, dan jumlah berke­na­an sangat berpatutan dan se­suai dengan pendapatan orang ramai.

“Walaupun harganya murah, namun saya percaya Saga ini mempunyai tahap kualiti yang tersendiri,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, R. Sivasangar, 55, berkata, dengan keadaan ekonomi semasa, produk yang tampil dengan harga murah berbanding jenama lain merupakan satu kelebihan.

“Bagi saya, ciri yang paling unik dapat saya perhatikan ialah harganya yang berada dalam ka­tegori mampu milik oleh orang ramai.

“Dengan harga sebegini, saya yakin golongan yang berpendapatan sederhana juga mampu memiliknya tanpa perlu memikirkan kualiti dan komitmen bayaran bulanan yang tinggi,” katanya.
Selain itu, seorang lagi pengunjung, Zulkurnain Mardikan, 47, memberitahu, kualiti enjin yang ada pada Saga juga mampu menarik orang ramai untuk membelinya.

“Walaupun ia belum dilancarkan secara rasmi kepada umum, namun berdasarkan pemerhatian saya, bentuk yang ada pada Saga ini pada kali ini lebih kontemporari dan elegan jika dibandingkan dengan Saga yang terdahulu.

“Saya sendiri akan membuat tempahan sebaik sahaja kereta berkenaan dilancarkan secara ras­mi kepada orang ramai Rabu ini,” katanya.

Bagi Mohd. Rafiuddin Mohd. Ramlee, 28, setelah meneliti pandangan orang ramai dan pakar mengenai Saga baharu telah menarik minat beliau untuk mendapatkannya.

“Terdapat perbezaan yang boleh dilihat dengan jelas seperti spesifikasi yang lebih bagus dan keadaan fizikal sedikit panjang berjaya menambat hati saya.

“Malah, sistem audio di dalam Saga baharu ini memiliki ciri yang sesuai dengan generasi muda apabila dilengkapi dengan teknologi yang dapat mainkan MP3/USB/Aux dan Bluetooth,” jelasnya.
Mat Isa Mat, 48, pula turut menjelaskan harga yang berpatutan dan didatangkan dengan muatan bonet yang lebih besar menjadi pilihannya.

“Saga baharu ini tampil de­ngan bonet yang lebih besar dua peratus berbanding Saga lama. Ia adalah ciri yang sesuai kepada mereka yang berkeluarga kerana memerlukan muatan bonet yang lebih besar terutama semasa ingin pulang ke kampung,” jelasnya.

Saturday, September 24, 2016

FELDA TERBAIK DI DUNIA


Walaupun bangunan Felda tidaklah setinggi KLCC yang menjadi tempat lepak remaja Melayu, tapi usaha yang dibuat Felda memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama orang Melayu. Apatah lagi Felda pula diiktiraf sebagai badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia.

Belum ada lagi negara-negara yang termaju dalam dunia dapat menyaingi apa yang telah dilaksanakan oleh Felda.


Usaha Tun Razak 60 tahun lalu hasilnya masih dinikmati anak cucu sehingga kini, bahkan insya Allah pada masa akan datang pun akan lebih lagi manfaatnya.

Semoga Allah tempatkan Arwah Tun Razak bersama-sama mereka yang beriman dan beramal soleh. Alhamdulilah, terima kasih Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sekeluarga dan mereka yang menjayakan Felda.

Thursday, September 22, 2016

LATARBELAKANG PENUBUHAN MALAYSIA 1963 – SURUHANJAYA COBBOLD



Suruhanjaya Cobbold dibentuk pada 17 Januari 1962 hasil dari perundingan antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pendapat rakyat negeri-negeri di Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) tentang idea penubuhan Persekutuan Malaysia.

Suruhanjaya Cobbold dianggotai oleh lima orang ahli yang dipengerusikan oleh Sir Lord Cobbold, (bekas gabenor Bank England), sementara ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Dalamasa tiga bulan (Feb-Apr 1962), Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum dari pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan Negeri, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang mengemukakan pelbagai pandangan pro dan kontra terhadap idea penubuhan Malaysia. 

Hasil dapatan Suruhanjaya Cobbold mendapati 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong idea penubuhan Malaysia dan disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu. Di samping itu jua, laporan Suruhanjaya Cobbold juga memuatkan cadangan-cadangan dari ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Di sini penulis ringkaskan beberapa pandangan pro dan kontra terhadap idea penubuhan Malaysia;
MENYOKONG IDEA PENUBUHAN MALAYSIA:- 
(i) Parti UMNO bersetuju penyatuan Tanah Melayu, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tanpa Singapura 
(ii) Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu 
(iii) Parti pemerintah PAP dan Kerajaan Singapura 
(iv) Semua parti politik Sarawak kecuali SUPP 
(v) Semua parti politik Borneo Utara (Sabah)
(vi) DYMM Sultan Brunei

MENENTANG IDEA PENUBUHAN MALAYSIA:- 
(i) Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS)
(ii) Barisan Sosialis 
(iii) Parti Buruh
(iv) Parti Rakyat Bersatu 
(v) SUPP Sarawak
(vi) Parti Rakyat Brunei 

Antara alasan yang diberi bagi menentang idea penubuhan Malaysia adalah ia merupakan satu bentuk penjajahan baru (neo-kolonialisme), pandangan dan pendapat rakyat Singapura tidak diminta serta idea penubuhan Malaysia dianggap sebagai hakisan terhadap dominasi politik orang-orang Melayu oleh golongan kiri dan ultra Melayu/Islam.

YM Tunku Abdul Rahman Putra al_Haj selaku Perdana Menteri Tanah Melayu telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan Suruhanjaya Cobbold di mana beliau sendiri telah mempengerusikannya selain dianggotai oleh Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Akhirnya pada 21 Jun 1962, laporan Suruhanjaya Cobbold telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kedua-dua kerajaan telah bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold. 

YM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Sir Harold Macmillan, Perdana Menteri British telah bersetuju untuk mengadakan rundingan selama dua minggu pada Julai 1963 di London bagi membincangkan idea penubuhan Malaysia sebagaimana yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Cobbold. 

Maka, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London dengan ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. 

Pada peringkat awalnya, para pemimpin tersebut bersetuju bahawa tarikh perisytiharan dan penubuhan Malaysia adalah pada 31 Ogos 1963, namun demikian ianya terpaksa ditangguhkan memandangkan laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. 

Dan pada akhirnya, 16 September 1963 telah diadakan upacara perisytiharan Malaysia secara gilang gemilang di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963 dengan dihadiri oleh DYMM SPB Yang Di Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah, anggota kabinet kerajaan Persekutuan, diplomat asing serta jemputan khas.

Selaku Perdana Menteri, YM Tunku Abdul Rahman Putra telah membacakan Perisytiharan Malaysia di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang hadir beserta laungan keramat “Merdeka” sebanyak tujuh kali dengan diselang seli oleh laungan oleh rakyat Malaysia. Upacara majlis sambutan Hari Malaysia yang pertama ini diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Sumber: Friends of Kedaulatan

PERSEMPADANAN SEMULA MESTI MELAMBANGKAN KEPELBAGAIAN KAUM



Sebagai rakyat dan warga negara Malaysia, penulis merasakan keharmonian perpaduan masyarakat antara kaum Melayu-Bumiputera, Cina, India dan lain-lain kaum perlu terus dipereratkan dan ditambah baik perhubungan antara semua kaum. 

Justeru itu, apa sahaja tujuan untuk memisahkan diantara kaum adalah amat tidak relevan dan sesuai dalam masyakarat moden pelbagai kaum ketika ini. 

Begitu juga dalam hal persempadanan semula yang menjadi topik panas seminggu dua ini. Persempadanan semula perlu mengambil kira semua kaum. Kita bimbang persempadanan semula ini akan lebih menjarakan hubungan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Oleh itu, penulis sangat bersetuju dengan kenyataan Presiden MCA , Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa persempadanan semula kawasan pengundian berdasarkan kaum boleh mengugat keharmonian masyarakat.

Beliau juga menambah, persempadanan semula ini mestilah melambangkan kepelbagai kaum. Malaysia seharusnya melambangkan nilai-nilai perpaduan dan keharmonian kaum. 

Menurutnya lagi, kerjasama Barisan Nasional tidak akan bermakna jika kelompok masyarakat terpisah. Barisan Nasional seharusnya melambangkan hubungan baik antara semua kaum di Malaysia. 

‘Kita tidak mahu Malaysia menjadi negara rasis dan ekstrim akibat dari cara persempadanan semula ini dilaksanakan, Liow.

Merujuk kepada notis cadangan persempadanan semula kawasan undian untuk sesetengah kawasan parlimen dan DUN bagi semua kawasan kecuali negeri Perlis, Putrajaya dan Labuan. 

Adalah amat wajar kebimbangan yang disuarakan oleh Liow bahawa jika persempadanan semula ini tidak dilakukan dengan cermat dan teliti Malaysia akan menjadi negara yang ekstream, rasis perkauman dan tiada persefahaman. 

MCA lebih fokus kepada konsep kesederhanaan dan keharmonian antara kaum yang mana telah ditunjukkan dalam PRK yang lepas dimana telah memberi kemenangan besar kepada calon Barisan Nasional. Ini semua hasil kerja kuat yang dilakukan oleh MCA bagi menyakin masyarakat bahawa BN adalah suara mereka. 




Tuesday, September 20, 2016

LRT KELANA JAYA : SPAD ARAH SIASATAN SEGERA


Kerosakan teknikal yang berlaku pada jaringan pengangkutan Stesen LRt Kelana Jaya dipandang serius oleh Suruhanjaya Pengakutan Awam Darat  kerana ia telah melibatkan ramai pengguna terjejas disamping faktor-faktor keselamatan yang menjadi keutamaan SPAD. Bertindak dari insiden ini pihak SPAD telah mengarahkan adakan audit bebas dengan segera bagi menyiasat masalah ini. 

SPAD juga mahu Prasarana untuk meningkat dan menaik taraf laluan Kelana Jaya bagi menjamin kebolehpercayaan perkhidmatan dengan meningkatkan ketersediaan bekalan kuasa elektrik dan pengurusan insiden. Bagi SPAD inisiden ini perlu diberi perhatian serius, siasatan menyeluruh perlu dilaksanakan terhadap aspek teknikal dan bukan teknikal.

Prasarana diberi tempoh sehingga 21 September ini untuk menyerahkan laporan audit mereka kepada pihak SPAD. Bagi memudahkan dan menyegerakan audit tersebut SPAD telah melantik juruaudit teknikal bebas bagi melaksanakan penilaian terhadap aspek-aspek kebolehpercayaan, ketersedian, penyelengaraan, keselamatan dan keupayaan operasi LRT.

Dalam masa yang sama Prasarana diarahkan supaya lebih utamakan terhadap pengesanan secara lebih proaktif dan melakukan penyelenggaraan pencegahan terhadap bekalan elektrik LRT serta penyelengaraan Tren bagi mengelakan gangguan pada masa hadapan disamping dapat mengembalika keyakinan dan kebolehpercayaan pengguna terhadap keupayaan tren.

Beberapa penelitian perlu dilakukan terutama dalam  isu-isu  sistem dalam kerangka siasatan Prasarana yang melibatkan beberapa proses semakan semula dan peningkatan penyelengaraan bagi mencapai tahap yang boleh diyakini pengguna. Keseluruhan proses ini dijangka mengambil masa tidak kurang dari tiga bulan.

SPAD juga mahukan Prasarana mengambil tindakan pemulihan segera dengan mengunakan sumber semaksima mungkin untuk menaik taraf 15 pencawang kuasa di sepanjang laluan Kelana Jaya. Jangka masa untuk menyelesaikan semua kerja-kerja tersebut dianggarkan antara tiga hingga enam bulan. 

Usaha-usaha ini penting untuk meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada laluan Kelana Jaya dengan membekalkan kuasa yang mencukupi untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat, peningkatan penumpang pada masa hadapan dan juga bagi memanjangkan jangka hayat perkhidmatan.

Monday, September 19, 2016

JEFF OII TIDAK SENSITIVITI MASYARAKAT MALAYSIA



"Kerana Nila setitik, rosak susu sebelanga", . Inilah peribahasa yang sesuai ditujukan kepada Ahli Parlimen DAP dari Jelutong, Jeff Ooi berhubung  kenyataan biadapnya terhadap "permergian" Mursyidul Am PAS, Arwahyarham Tuan Guru Datuk Dr. Harun Din.

Kenyataan biadap itu bukanlah mewakili masyarakat Cina mahupun penduduk di Jelutong, kenyataan ini adalah daripada sikap biadap Ahli Parlimen Jelutong itu sendiri. 

Justeru itu, sebagai parti yang mewakili masyarakat Cina Presiden MCA mengesa Jeff Ooi memohon maaf kepada keluarga Datuk Dr Haron Din di atas kenyataan yang tidak sensitif tersebut. 

Pada beliau, kematian seorang pemimpin agama tidak sewajarnya dijadikan polemik. Tidak kisahlah apa pun pebezaan politik seseorang itu, sebagai manusia kita patut hormat menghormati.   


“Kami kecewa kerana mereka tidak sensitif terhadap kehilangan seorang tokoh negara. Walaupun tidak sependapat daripada segi politik, kita tidak perlu mempolitikkan perkara itu.
“Kami sedih ini berlaku dan individu itu perlu memohon maaf kepada keluarganya,” Liow Tiong Lai. 


Sebagai pemimpin dari parti yang kononnya menjunjung perlembagaan, sewajarnya Jeff Ooi menunjukkan contoh ciri-ciri pemimpin yang berjiwa besar dan menghormati kawan dan lawan. Namun jelas sekali, kepimpinan DAP penuh dengan dendam kesumat terhadap lawan mereka terutama PAS dan UMNO. 

Bagi Liow, seharusnya dalam negara yang mempunyai pelbagai kepercayaan dan adat resat yang berbeza seperti  Malaysia, perlu ada sikap hormat menghormati,  peka dan cuba memahami kepelbagaian budaya di negara ini.

“Sebagai contoh, kita tahu dalam Islam orang yang mati tidak mengambil masa lama untuk dikebumikan, manakala dalam budaya Cina, mereka akan menunggu beberapa hari.

“Jadi, kita perlu faham budaya adalah penting dan kita harus menghormati kaum lain di negara sendiri. Setiap orang perlu sensitif terhadap pandangan orang lain,” kata Menteri Pengangkutan itu.

Bagaimana agaknya jika DAP di beri peluang memimpin Malaysia, sudah tentulah keamanan, kestabilan dan keharmonian kaum sukar untuk dicapai apabila mempunyai pemimpin yang tidak sensitif terhadap budaya sesuatu masyarakat. 

Dalam pada itu, Jeff Ooi ketika ditemuramah oleh wartawan  dengan bongkaknya menyatakan kenapa dia perlu meminta maaf. Pada beliau dia tidak perlu meminta maaf pada kenyataan tersebut. Ia hanya perkataan biasa sahaja. 

Apa yang peliknya, jika dia rasa tidak bersalah kenapa memadam twit asal "Adios Harun Din. Let there be peace” dan tukar kepada "Received a personal call a while ago. So…Farewell. Let there be peace.” Apa yang lebih kelakar menuduh orang lain membuat kerja photoshop. 

Apa Jeff Ooi ingat ini zaman rakyat boleh diperbodoh-bodohkan lagi? 

Lebih menarik apabila Setiausaha Agung DAP (Yang masih tidak sah) Lim Guan Eng melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan tidak bertamadun Jeff Oii tersebut.

"Saya ingin memaklumkan bahawa Saudara Jeff telah memadamkan perkongsian Twitter terbabit. Saya juga ingin melahirkan rasa kesal terhadap ahli keluarga sekiranya tersinggung dengan apa yang berlaku berkaitan tweet Saudara Jeff kerana ini tidak mewakili pendirian parti," Kata Guan Eng. 



Friday, September 16, 2016

SEGERAKAN AUDIT BEBAS


KENYATAAN MEDIA 

SPAD AKAN MENYEGERAKAN AUDIT BEBAS DAN MENGARAHKAN PRASARANA UNTUK MENAIK TARAF LALUAN KELANA JAYA BAGI MENJAMIN TAHAP KEBOLEHPERCAYAAN PERKHIDMATAN 

Kuala Lumpur, 15 September 2016 - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menugaskan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk melaksanakan beberapa langkah segera bagi meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan dengan meningkatkan ketersediaan bekalan kuasa elektrik dan pengurusan insiden, berikutan penilaian awal mengenai gangguan perkhidmatan LRT di Laluan Kelana Jaya minggu lalu. 

SPAD memandang serius insiden baru-baru ini dan telah memulakan siasatan terhadap aspek-aspek teknikal dan bukan teknikal yang terlibat. Prasarana juga telah diarahkan bagi menyerahkan laporan siasatan awal kepada Suruhanjaya pada 21 September 2016. 

SPAD akan melantik juruaudit teknikal bebas pada kadar yang segera bagi melaksanakan penilaian terhadap aspek-aspek kebolehpercayaan, ketersediaan, penyelenggaraan, keselamatan dan keupayaan operasi LRT laluan Kelana Jaya, dan ini dijangkakan akan mengambil masa selama tiga bulan. Langkah-langkah ini diperlukan bagi membolehkan penelitian terhadap isu-isu sistem yang tidak diliputi di dalam skop siasatan yang dijalankan oleh Prasarana. Ini melibatkan proses-proses semakan semula dan peningkatan penyelenggaraan aset bagi mencapai tahap kebolehpercayaan perkhidmatan yang lebih tinggi. 

Prasarana juga telah diarahkan untuk memberikan lebih penekanan terhadap pengesanan masalah secara proaktif dan melakukan penyelenggaraan pencegahan terhadap bekalan elektrik LRT serta penyelenggaraan tren bagi mengelakkan gangguan pada masa hadapan demi menyediakan perkhidmatan LRT yang boleh dipercayai kepada pengguna. 

SPAD telah mengarahkan Prasarana untuk melaksanakan tindakan pemulihan segera dengan mengerahkan usaha dan sumber yang maksimum untuk menaik taraf 15 pencawang kuasa sepanjang Laluan Kelana Jaya. Kerja-kerja tersebut dijangka siap di dalam tiga hingga enam bulan daripada tarikh pelaksanaan. Usaha-usaha penting ini akan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada Laluan Kelana Jaya dengan membekalkan kuasa yang mencukupi untuk menyokong permintaan yang kian meningkat, peningkatan penumpang pada masa hadapan dan juga bagi memanjangkan jangka hayat perkhidmatan. 

Menuju ke arah pengurusan risiko yang lebih menyeluruh, Suruhanjaya juga akan memastikan pengendali mengemukakan dan menguruskan pelan risiko, analisis trend dan pelan peningkatan bersertakan garis masa terperinci bagi mengenal pasti serta menangani permasalahan teknikal. Ini melibatkan pemantauan laporan berkala yang berpandukan kepada penunjuk prestasi utama bagi mengesan masalah dari peringkat awal lagi serta bagi membolehkan tindakan pencegahan dapat dilakukan.

Di bawah pemantauan SPAD, Prasarana akan menyemak semula dan menambahbaik Tatacara Prosedur Standard (SOP) bagi Pelan Keselamatan dan Pemindahan penumpang. Ini adalah bagi mengukuhkan proses tindakan kecemasan pengendali dan meningkatkan proses komunikasi serta kesediaan kakitangan barisan hadapan untuk menjangka keperluan pengguna dengan lebih baik. Sebagai langkah permulaan, SPAD telah mengarahkan 

Prasarana untuk menghentikan operasi tren sepanjang landasan yang mengalami gangguan ketika proses pemindahan penumpang sedang dijalankan. 

SPAD mengakui bahawa rangkaian rel merupakan tulang belakang kepada pengangkutan awam darat kita, dan ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Suruhanjaya akan gigih berusaha untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan keselamatan sistem LRT untuk manfaat pengguna. 

-Tamat-